Rabtahwati bangkit selepas dua spa ditutup akibat pandemik - Utusan Malaysia

Rabtahwati bangkit selepas dua spa ditutup akibat pandemik

RABTAHWATI (empat dari kiri) bersama pelanggan ketika spa Rabsha Therapy @ Bendang masih beroperasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JATUH bangun dalam bidang perniagaan merupakan antara lumrah dihadapi oleh seorang usahawan. Namun ujian pandemik dibaratkan sebagai melumpuhkan peniagaan dalam bidang kesihatan dan kecantikan seperti spa, bak jatuh menunggu rebah.

RABTAHWATI RAMLI.

Pengalaman pahit tetapi mematangkan diri itu dirasai usahawan dan pengusaha spa, Rabtahwati Ramli, 47, apabila dua buah spa miliknya di Balik Pulau dan Batu Feringghi di Pulau Pinang terpaksa ditutup akibat tiada pelanggan.

Beliau semasa ditemui bagaimanapun mengakui tidak mahu larut dek kesedihan. Sebaliknya pantas bangun membina kekuatan diri dan perniagaannya dengan membuka spa, Rabsha Therapy @ Bendang pula.

“Pandemik Covid-19 menyebabkan pelanggan bimbang untuk mendapatkan perkhidmatan urutan tradisional dan penjagaan kecantikan wajah dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Rabtahwati memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perniagaan spa, kesihatan tradisional dan juga kecantikan. Ibu kepada 12 anak itu berkata, spa di Balik Pulau yang diusahakannya sejak 2018 ditutup awal tahun ini manakala spa di Batu Feringghi yang baru sahaja beroperasi tujuh bulan terpaksa ditutup April lalu.

“Siapa yang tidak sedih apabila perniagaan yang diusahakan dan semakin berkembang terutama di Batu Feringghi terpaksa ditutup kesan daripada Covid-19.

“Saya tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menutup operasi spa kecantikan dan kesihatan ini ekoran ketiadaan pelanggan,” katanya.

ORANG ramai sentiasa memenuhi spa Rabsha Therapy @ Bendang di Balik Pulau, Pulau Pinang sebelum terpaksa ditutup akibat Covid-19.

Rabtahwati atau lebih mesra dipanggil Kak Rabta berkata, dia bernasib baik kerana mempunyai produk-produk herba aduan tersendiri dengan menggunakan jenama Rabsa Herbs.

Produk keluaran Rabsha Herbs iaitu jamu, set peralatan bersalin dan sebagainya yang diusahakan sejak dua tahun lalu menjana pendapatan yang lumayan kepadanya sepanjang spa miliknya ditutup.

“Produk herba Rabsa Herbs ini membantu saya menjana pendapatan sepanjang operasi spa ditutup dan saya bersyukur kerana sambutan produk herba ini sangat memberangsangkan.

“Produk ini dikilangkan di Kulim dan saya sendiri mengadun rempah ratus, akar kayu dan herba hasil ilmu yang dipelajari daripada nenek moyang saya yang mempunyai ilmu perbidanan,” katanya.

Tambahnya, bagi membantu golongan wanita yang terjejas atau kehilangan pendapatan akibat pandemik ini, dia merancang untuk menjalankan program mentor mentee khas untuk golongan berkenaan.

“Saya menerima banyak permintaan daripada wanita-wanita yang berminat untuk mempelajari selok belok perniagaan spa termasuk penjagaan selepas bersalin di rumah selepas Covid-19 melanda.

“Program ini dijangka bermula tahun depan. Saya akan membuka peluang kepada 20 wanita yang berminat untuk menjalankan perniagaan spa di rumah,” katanya yang turut mahir dalam urutan tradisional Melayu.

Rabtahwati menjelaskan, ramai golongan wanita yang bekerja di pelbagai sektor terutama di sektor kecantikan terjejas akibat kelembapan ekonomi ekoran situasi Covid-19.

“Banyak spa termasuk spa saya ditutup, namun sebenarnya perkhidmatan rawatan kesihatan dan kecantikan untuk wanita masih diperlukan.

“Sebagai contoh, masih ramai wanita yang melahirkan anak dan memerlukan penjagaan selepas bersalin dan ketika waktu pantang, jadi inilah peluang yang saya nampak berpotensi untuk dikembangkan,” katanya.

Tampil program mentor mantee
Menerusi program mentor mentee itu, Rabtawati berkata, segala ilmu serta kelengkapan spa akan dibekalkan kepada mereka.

“Semuanya adalah percuma untuk mentee saya namun mereka perlu berdisiplin dan berminat dengan apa yang mereka lakukan setiap hari.

“Kerja tanpa minat tidak akan berjaya, mentee yang terpilih mengikuti program ini perlu memastikan program spa di rumah berjaya dilaksanakan selama dua tahun,” katanya.

Mereka yang berminat boleh berhubung dengan Rabta menerusi Facebook Rabsha Therapy atau menghubungi talian 017-944 4428 atau 017-4721182.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×