KAJIAN Kaspersky mendedahkan sebanyak 47 hingga 51 peratus kanak-kanak di Malaysia menghabiskan sebahagian besar masa dengan penggunaan internet terutamanya untuk sesi pembelajaran dalam talian bagi tempoh Mac hingga Mei 2020.
Sebanyak 63 peratus ibu bapa bersetuju, kecenderungan menggunakan internet turut lebih kerap.
Situasi berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, khususnya daripada aspek keselamatan menggunakan internet bagi sesi pembelajaran atau permainan dalam talian dan lain-lain.
Mereka bimbang sekiranya kelekaan anak-anak terhadap internet, menyebabkan ketagihan atau digital drug. Situasi berkenaan, mendorong kelemahan komunikasi dan pendedahan terhadap siber buli serta kemurungan.
Presiden Majlis Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Malaysia (Majlis ECCE), Datuk Dr. Chiam Heng Keng berkata, peningkatan penggunaan internet berlaku sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Katanya, ia menyebabkan lebih ramai kanak-kanak mempunyai alat elektronik sendiri.
Situasi itu katanya, sekaligus mendedahkan risiko berdepan pelbagai aspek keselamatan dalam talian.
PERANAN
“Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyelia dan memantau aktiviti anak-anak dalam melayari internet dengan selamat supaya tidak terdedah bahaya atau risiko keselamatan yang boleh memberi impak negatif,” katanya dalam sesi perbincangan mengenai Let’s Talk About Keeping Your Kids Safe Online menerusi Zoom baru-baru ini.

Turut serta Pengurus Besar bagi Asia Tenggara di Kaspersky, Yeo Siang Tiong, Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Danny Lee, dan pengacara, pelakon serta usahawan, Nazrudin Habibur Rahman.
Sesi perbincangan itu dikendalikan model dan pengacara serta pengasas bersama Fugee School, Deborah Priya Henry.
Dr. Chiam berkata, antara kaedah dalam membantu anak-anak kekal selamat menggunakan internet adalah berbincang sewaktu dan selepas sesi pembelajaran di rumah atau ketika bermain permainan video secara dalam talian.
Katanya, penilaian program diakses oleh anak-anak perlu dilakukan bagi memastikan mereka tidak berkongsi maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali.
“Tekankan apa boleh dan tidak dilakukan. Penjelasan atas semua larangan itu perlu diberikan kepada kanak-kanak kerana mungkin mereka belum boleh memahami,” katanya.
Contohnya, jika ada pihak tidak dikenali ingin mengetahui maklumat peribadi seperti alamat rumah atau gambar, ingatkan kepada anak-anak supaya mengabaikan atau memaklumkan segera kepada ibu bapa kerana individu tidak dikenali itu mungkin boleh mendedahkan diri dan keluarga terhadap jenayah.

Sementara itu, Siang Teong berkata, dapatan kajian Kaspersky, peningkatan penggunaan internet secara produktif dalam kalangan kanak-kanak di negara ini ketika pandemik Covid-19.
Katanya, ia menunjukkan satu petanda baik bahawa kanak-kanak di Malaysia menggunakan teknologi secara produktif.
Bagaimanapun, kajian turut mendapati ibu bapa mulai takut akan keselamatan anak-anak mereka melayari internet, kerana tidak meluangkan masa berbincang.
“Kami mencadangkan pemasangan keselamatan dalam talian, Kaspersky untuk melindungi mereka daripada penjenayah siber,” katanya.
Berkongsi pengalaman keselamatan internet, Nazrudin Habibur Rahman berkata, beliau menetapkan peraturan terhadap penggunaan masa mengikut perkembangan usia.
Katanya, ibu bapa tidak biasa meluangkan masa dengan anak-anak ketika mereka bermain permainan di internet, mungkin akan melarang sepenuhnya anak mereka daripada bermain.
“Larangan bukanlah penyelesaian terbaik kerana kanak-kanak mungkin mempunyai rakan sebaya bermain permainan di sekolah. Apabila kita tidak membenarkan mereka bermain, mungkin mereka akan berasa terpinggir. Jadi, perlu ada keseimbangan dalam mendidik anak,” katanya.
Mengurangkan kebergantungan terhadap internet dan telefon pintar, Nazrudin menjelaskan, salah satu cara paling berkesan adalah ibu bapa perlu menjadi role model kepada anak-anak.
“Untuk #teamnazrudin, kami tidak menggunakan telefon pintar semasa waktu makan. Kami turut mewujudkan perbincangan berkaitan keselamatan siber bagi membolehkan anak-anak mendapat maklumat tepat,” katanya.
Nazrudin menjelaskan, bagi mencapai keseimbangan dalam menjaga keselamatan anak-anak menerusi penggunaan internet, beliau turut memasang jaringan keselamatan internet bagi memantau aktiviti dilakukan bagi mengekang perkara tidak sepatutnya daripada berlaku.










