Memahami kaedah Sadd al-Dhari’ah - Utusan Malaysia

Memahami kaedah Sadd al-Dhari’ah

SUASANA di pondok Bahth al-Masail, iaitu program mencari jawapan bagi isu-isu semasa dengan bersandarkan pendapat para ulama silam yang terdapat di dalam kitab-kitab lama. Kegiatan ini bertujuan melatih kepakaran para pelajar pondok untuk berijtihad secara bersama-sama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENA DR AYMAN
Oleh DR AYMAN AL-AKITI

AHLI fikah Islam atau digelar fuqaha wajib memiliki disiplin ilmu dalam usaha menggali hukum (istinbat). Ilmu ini dikenal di dalam tradisi Islam sebagai ilmu Usul al-Fiqh. Imam kita, iaitu al-Imam al-Shafie (w. 204H) dikenali sebagai ulama terawal yang mengkodifikasi ilmu ini dengan kitab beliau yang terkenal berjudul al-Risalah.

Walaupun Imam al-Shafie sebagai pelopor terawal, ilmu ini dikembangkan oleh banyak ulama lain termasuk mazhab-mazhab lain dalam Islam seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali. Maka sumber hukum atau kaedah-kaedah untuk berijtihad juga berkembang luas seperti al-Maslahah al-Mursalah, al-Istihsan, al-‘Urf, pendapat sahabat r.a, Istishab dan lain-lain.

Salah satu yang terpenting ialah Sadd al-Dhari’ah atau Sadd al-Dhara’i’. Kaedah ini didefinisikan oleh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli sebagai: “Mencegah segala perkara yang dapat membawa kepada perkara yang ditegah iaitu kerosakan atau mudarat. Oleh itu, jika perkara tersebut adalah wasilah yang membawa kepada keharaman, maka haramlah ia”. Daripada definisi ini, kita dapat mengetahui bahawa Sadd al-Dhari’ah adalah kaedah yang bersifat pencegahan.

Contoh yang diberi oleh ulama bagi Sadd al-Dhari’ah adalah mengorek perigi di depan pintu yang pasti akan membuatkan orang lalu-lalang jatuh ke dalam lubang jika tidak ada tanda. Maka perbuatan mengorek perigi ini dianggap perbuatan yang ditegah (mamnu’). Jika ia berlaku, maka pelakunya wajib membayar ganti rugi atas apa-apa yang hilang akibat perbuatannya.

Secara usul, kaedah Sadd al-Dhari’ah bersumberkan kefahaman firman Allah SWT: Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (al-An’am: 108)

Di dalam ayat ini, ulama menjelaskan bahawa orang kafir akan mencerca Allah SWT ketika umat Islam mencerca berhala orang kafir. Bagi mengelakkan Allah SWT dicerca maka Allah SWT melarang umat Islam mencerca berhala-berhala orang kafir. Ayat ini memberi dalalah (penunjukan hukum) daripada Allah SWT bagi Sadd al-Dhari’ah di dalam Islam.

JAM matahari di Masjid al-Qarawiyyin, Fez, Maghribi (universiti tertua di dunia) yang terdapat ukiran lakaran capal Nabi Muhammad SAW.

Walau bagaimanapun, kaedah ini bukanlah kaedah yang disepakati ulama dalam penggunaannya. Cara penggunaannya juga bermacam-macam.

Misalnya, mazhab Maliki, dengan kaedah ini menghukum makruh puasa enam sunat Syawal secara bersambung kerana menutup kemungkinan (Sadd al-Dhari’ah) akan dianggap puasa Syawal sebagai wajib.

Perkara ini ditolak oleh mazhab Syafie yang tegas menyatakan kesunatan berpuasa enam hari bulan Syawal selepas hari raya, walaupun secara bersambung. Kesimpulannya, Sadd al-Dhari’ah adalah kaedah yang diperselisihkan ulama juga diperselisihkan dalam cara menggunakannya.

Ulama turut memberi contoh Sadd al-Dhari’ah yang ditolak. Antaranya, mengharamkan penjualan anggur kerana bimbang anggur itu digunakan untuk dibuat khamar atau wain.

Seperti yang dimaklumi, wain berasal dari anggur. Maka logiknya, dengan mengharamkan tanam atau jual beli anggur tentu akan membasmi minuman yang diharamkan ini. Walau bagaimanapun, ulama menganggap Sadd al-Dhari’ah dengan cara ini adalah batil dan tidak sah dalam fikah Islam.

Sayangnya, ada dalam kalangan ilmuwan Islam yang tidak cermat menggunakan kaedah Sadd al-Dhari’ah ini dalam berijtihad. Ia digunakan dengan terlalu mudah untuk mengharamkan perkara yang kadang-kadang sunat atau mustahab dalam fikah.

Contohnya, melarang bersungguh-sungguh bermusafir untuk menziarah kubur Nabi Muhammad SAW atau para aulia muslim yang lain.

Imam al-Nawawi (w. 676H/1277M) menyatakan, menziarahi makam Nabi SAW adalah ibadah sunat dan beliau mengajarkan cara-cara bertawasul dengan baginda Rasul SAW.

Justeru, bagaimana pula ada yang melarang ziarah kubur Nabi SAW bahkan menganggapnya sebagai safar maksiat yang menyebabkan tidak boleh mengambil keringanan (rukhsah) seperti solat jamak qasar hanya dengan alasan Sadd al-Dhari’ah takut-takut ada penziarah yang menyembah Rasulullah SAW? Inilah contoh bahayanya salah guna kaedah ini.

Dekan Fakulti Usul al-Din di Tetouan Maghribi, Prof. Dr. Muhammad al-Faqir al-Timsamani di dalam tesis beliau al-Ijtihad al-Dhara’i (ms 534 dan 546) berpendapat, Sadd al-Dhari’ah tidak boleh digunakan untuk sampai kepada darjat menghina lawan atau mengkafirkan lawan. Dapat difahami ia adalah langkah pencegahan. Ia lebih bersifat keputusan pentadbiran dan mengurus masyarakat, bukan normatif.

Isu semasa yang berbangkit dan menyebabkan perbalahan dalam kalangan ilmuwan di negara ini adalah bab bertabarruk dengan lakaran atau logo capal. Bagi yang mengharamkannya menganggap ia adalah perbuatan yang membuka pintu kesyirikan dan kekufuran kerana bimbang menyembah Rasulullah SAW. Maka dengan Sadd al-Dhari’ah inilah mereka melarangnya.

Bagi yang membelanya, mereka melihat bertabarruk dengan lakaran atau logo capal adalah harus iaitu dengan cara meletaknya sebagai lakaran yang akan mengingatkan mereka kepada Nabi SAW.
Sudah tentu hal ini tidak boleh masuk dalam ruang Sadd al-Dhari’ah dan tidak boleh ditegah. Lebih-lebih lagi, beberapa ulama yang merekodkan bertabarruk dengan lakaran capal baginda SAW adalah seperti Imam al-Qasthalani (w. 923H), Maulana Zakaria al-Kandahlawi (w. 1982M) dan lain-lain.

Walaupun ia hanya sekadar lakaran namun kerana ia berkait dengan Nabi SAW, ia sepatutnya dihormati sebagaimana kita membuat lakaran Kaabah, Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjid al-Quds.
Selain itu, tiada dalil khas yang melarangnya. Sedangkan memakai logo buatan bukan Islam saja tidak ditegah, lalu mengapa kita perlu bersangka buruk kepada umat Islam yang menjadikan lakaran capal baginda SAW sebagai logo? Wallahu a’lam.
——————–
Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felow Kehormat IKIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN