Kecanggihan teknologi bantu diagnosis awal kanser paru-paru - Utusan Malaysia

Kecanggihan teknologi bantu diagnosis awal kanser paru-paru

PENGESANAN awal kanser bantu pesakit mendapat rawatan sesuai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP 30 saat, seorang mati akibat kanser paru-paru di Malaysia. Bukan hanya bilangan pesakit tinggi, tetapi dalam kebanyakan pesakit didiagnos pada tahap kritikal.

Namun kehadiran versi ujian Next Generation Sequencing (NGS) terbaharu dan canggih iaitu Ion Torrent Genexus Integrated Sequencer di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), dijangka bakal meningkatkan kualiti rawatan penyakit berkenaan di negara ini.

Perunding Patologi dan Pengarah Makmal SJMC, Prof. Dr. Pathmanathan Rajadurai berkata, teknologi ini memberikan kelebihan dari segi tempoh masa.

Katanya, keputusan ujian boleh didapati dengan cepat iaitu satu hingga tiga hari berbanding rawatan konvesional mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu.

GAYA hidup pengaruhi kesihatan individu.

“Pesakit dapat memulakan rawatan terapi bersasar secepat mungkin. Penemuan mutasi genetik spesifik dalam sel kanser paru-paru membolehkan mereka membuat sasaran terhadap sel kanser secara tepat tanpa mengancam sel normal.

“Pemilikan dan penggunaan platform teknologi canggih terbaru ini memendekkan masa dari peringkat diagnosis hingga permulaan rawatan terapi bersasar. Ini merupakan faktor sangat kritikal dalam rawatan kanser yang berpotensi untuk membawa maut,” katanya.

Biarpun serba canggih, inisiatif itu diletakkan di bawah program akses pesakit bersubsidi, bagi membolehkan pesakit tahap kritikal menjalani ujian profil genetik NGS komprehensif dengan kos lebih rendah.

Kanser paru-paru beri impak besar kepada pesakit. Metodologi inovatif dan pantas, mengubah rawatan kanser paru-paru kritikal dan berisiko tinggi di rantau ini dengan hasil klinikal lebih baik kerana pesakit memperoleh rawatan tepat dan lebih awal.

BERSUBSIDI
Program bersubsidi itu adalah hasil usahasama SJMC dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca dan Pfizer. SJMC menyediakan ujian manakala dua syarikat berkenaan bakal memberikan subsidi kos.

Dr. Pathmanathan berkata, inisiatif ini turut dibuka kepada semua pengamal perubatan profesional di negara ini yang mahu menggunakan teknologi terbaharu itu untuk melakukan ujian terhadap pesakit.

“Pesakit tidak perlu mendaftar bagi program berkenaan sebaliknya doktor akan melakukannya dan menghantar gen pesakit untuk uji kaji,” katanya.

Sementara itu, Presiden Negara bagi AstraZeneca Malaysia, Dr. Sanjeev Panchal berkata, inisiatif itu dapat membantu golongan menghadapi masalah kewangan mendapatkan akses kepada teknologi canggih yang dapat merawat kanser dengan segera dan teliti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×