MELAHIRKAN puteri sulungnya pada 17 Julai tahun lalu, siapa sangka, si cantik Che Puan Juliana Sophie Evans kini sudah setahun bergelar seorang ibu.
Benar-benar menikmati hidupnya di fasa baharu, ibu kepada Tengku Kamilah Zanariah Josephine Ehsan Shah ini menguntum penuh dengan senyuman tatkala ditanya mengenai perkara tersebut.
Kata Jue, tiada kata yang dapat diungkap melainkan kesyukuran dan baginya, segala yang dimilikinya kini juga adalah kurniaan kasih sayang daripada Yang Maha Esa.
Diberi nikmat untuk menjaga dan melihat tumbesaran puterinya itu di depan mata, kata Jue, ia adalah satu kurniaan yang barangkali tidak semua ibu berpeluang untuk memilikinya.
“Dia sangat menakjubkan dan aktif setiap hari. Dia tidak pernah gagal untuk membuatkan saya berasa kagum dengan tingkah lakunya yang ada-ada sahaja.
“Lebih-lebih lagi apabila dia sudah masuk ke usia setahun lima bulan, maka macam-macam perkara baharulah yang dipelajarinya termasuk belajar bercakap dan berlari ke sana ke mari.
“Perihal-perihal seperti itulah yang membuatkan saya sebagai ibu begitu bahagia mendakap segala momen ini dan merasa bertuah kerana dapat melihatnya sendiri di depan mata,” katanya.
Mengaku kehadiran anak kini sebenarnya telah mengubah banyak perspektif pada dirinya, isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah ini menganggap ia sebagai satu proses yang pasti akan dilalui oleh setiap wanita.
Berbanding usianya ketika awal 20-an misalnya, kata Jue, tidak sedikit perubahan yang dirasakan sehinggakan dia turut memuji dirinya sudah semakin matang pada usia 32 tahun sekarang.
“Kalau hendak dibandingkan, memang saya kini seakan sudah menjadi seorang individu yang berbeza. Menjadi ibu, siapa sangka bukan?
“Tetapi saya sangat sukakan fasa ini, setiap inci daripadanya, baik tentang alam perkahwinan, kehidupan dengan anak termasuk progres kerjaya pada tahap ini, semuanya bagi saya bertumbuh dengan baik,” katanya.

Kongsi pelakon ini lagi, merasakan kehidupannya tidak terkejar-terkejar kini, Jue lebih selesa untuk tidak ke mana-mana dan cuma duduk di rumah andai tidak ada kerja-kerja penggambaran.
“Berbanding sewaktu saya masih single, kehidupan memang tenang sekarang. Dulu masa seakan tidak cukup sahaja dan kebanyakan waktu saya asyik bekerja.
“Waktu muda dan bersekolah saya sudah bekerja, jadi sekarang Tuhan kurniakan saya masa untuk berehat dengan keluarga pula,” katanya.
Mengajaknya berbual mengenai pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan belum pulih sepenuhnya pada waktu ini, Jue melihat segalanya punya hikmah tersembunyi.
“Alhamdulillah, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan, secara tidak langsung, semua orang punya banyak masa di rumah bersama keluarga masing-masing.
“Memang ada turun dan naiknya pada tahun ini, tetapi cuba lihat hikmah yang ada. Di akhirnya nanti, kita semua tumbuh sebagai seorang individu yang lebih kuat untuk berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang,” katanya.
AJAK PUSING SELANGOR DULU
Bercakap mengenai keinginannya untuk berjalan-jalan, Jue mengaitkannya dengan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ yang menyaksikannya sebagai duta pilihan Tourism Selangor.
Menurut Jue, dia berbangga membawa gelaran duta kempen tersebut dan menyifatkannya begitu dekat dengan jati dirinya sebagai seorang anak Selangor.
“Dari dulu lagi, saya akan buat atau suka sesuatu itu jika ia berkaitan dengan diri. Macam kempen ini, saya bangga bila dapat mewakili negeri sendiri.
“Kecintaan saya terhadap Selangor ini sebenarnya sudah lama, Malah, kalau ada yang perasan, saya juga pernah menghasilkan rekaan loket barangan kemas dengan bentuk peta negeri Selangor.
“Jadi apabila terpilih menjadi duta kempen ini, memang saya rasa terujalah sebab ia sangat signifikan dengan diri,” katanya.
Menganggap setiap orang pasti memiliki sifat sayangkan negeri sendiri, kata Jue, sudah tentu semua orang juga gembira apabila berpeluang mewakili negeri dalam apa juga sektor.
“Ia lebih kepada semangat patriotik. Kita secara automatik lebih menghargai tanah air, warisan dan tempat di mana asal kita. Macam apa yang ada di Selangor, bukan sahaja tempatnya yang cantik-cantik, semuanya ada di sini.
“Alam semulajadi, makanan malah bagi mereka yang hendak mencari aktiviti sukan lasak juga ada terdapat di negeri ini di pelbagai lokasi,” katanya.
BUKAN SEBAB JADI DUTA
Menurut Jue, jika ada tanggapan mengenai dirinya cuma tahu mengenai keindahan dan keistimewaan negeri Selangor hanya kerana dia dilantik sebagai duta kempen, itu adalah tanggapan yang salah.
Katanya, perihal itu tidak wujud kerana dia sudah lama mengenali negeri sendiri meski ada tempat yang belum lagi sempat dijejaki.
“Saya memang tahu di Selangor banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi. Tetapi tidak dinafikan, saya lebih banyak mendapat info sejurus selepas terlibat dalam kempen ini.
“Masih banyak yang tempat yang belum saya terokai kerana belum ada kesempatan. Contohnya, Sky Mirror dan kawasan tanaman padi di Sekinchan, ternyata menarik dan cantik.
“Kalau ada kesempatan, memang saya nak pergi lagi bersama keluarga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jue memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani pengambaran telemovie berjudul Air Mata Biru dan Instafamous.
Selain itu, dia juga diberi peluang untuk menjadi hos untuk program televisyen berjudul Hey Doc! yang akan ditayangkan di saluran unifi.










