Buku lengkap salur darah tersumbat, sesuai bacaan umum - Utusan Malaysia

Buku lengkap salur darah tersumbat, sesuai bacaan umum

BUKU memperinci penyakit salur darah tersumbat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN kematian penumpang akibat pembekuan darah atau trombosis dalam pesawat beberapa tahun lalu, riuh.

Pelbagai langkah keselamatan diambil syarikat penerbangan mengingatkan penumpang menggerakkan badan ketika duduk dalam pesawat, khususnya membabitkan penerbangan tempoh lama.

Serpihan daripada pembekuan itu boleh mengalir mengikut aliran darah hingga ke paru-paru, menyebabkan berlakunya pulmonari embolism atau pembekuan darah dalam saluran darah, boleh meragut nyawa.

Kini penyakit itu tidak lagi begitu ‘popular’ sungguhpun ia sebenarnya masih mengancam nyawa sekiranya leka terhadapnya. Trombosis salur darah vena dan arteri berlaku satu dalam per seribu dalam kalangan orang dewasa bagi tempoh setahun.

Namun pengetahuan rendah dan terhad mengenai penyakit itu, menjadikan langkah pencegahan dalam kalangan orang awam masih rendah.

Pesakit hanya sedar apabila sudah menderita.

Buku Salur Darah Tersumbat Mengancam Nyawa ini disifatkan hadir tepat pada masanya.

Di kala ramai dalam kalangan kita mahukan maklumat jitu dan tepat dalam sebuah buku yang mudah dirujuk dan senang disimpan.

FOKUS
Ia memberi fokus kepada penyakit berkaitan trombosis yang berlaku dalam organ termasuk jantung atau dalam pembuluh darah yang mana boleh mengancam nyawa. Sungguhpun kulit buku jelas ‘menggerunkan’, berwarna merah darah dengan lukisan grafik rentas salur darah tetapi bahasa digunakan mudah difahami orang awam.

Penggunaan rajah, grafik dan gambar dalam memberikan penerangan berhubung trombosis dilihat suatu usaha baik dalam memberikan lebih pemahaman kepada pembaca.

Buku ini hasil penulisan pakar bidang berkaitan, antaranya Dr. Mohd Nazri Hassan, Dr. Wan Haslindawani Wan Mahmood, Dr. Wan Suriana Wan Ab Rahman, Dr. Zefarina Zulkafli dan Prof. Madya Dr. Muhammad Farid Johan.

Ia dipecahkan kepada enam bab bermula dengan dengan mengenali trombosis dan bagaimana ia berlaku sedemikian.

Pada bab terakhir ia membincangkan hubung kait antara amalan gaya hidup dengan risiko trombosis.

Realitinya pengetahuan mengenai penyakit ini amat membantu untuk bagaimana kita menangani dan langkah rawatan diperlukan sekiranya berisiko. Bak pepatah Melayu, cegah sebelum parah, buku ini harus dimiliki semua orang demi menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN