DI KALA pandemik Covid-19 melanda dunia, pastinya industri perfileman antara yang terjejas. Tidak terkecuali pawagam terpaksa menutup pintu beberapa bulan demi menjayakan langkah membendung penularan wabak tersebut.
Mengambil inisiatif untuk membantu penerbit filem tempatan khususnya, platform pawagam dalam talian, E-wayang diwujudkan. Langkah tersebut dilihat mampu memberi pendapatan berterusan sekali gus memberi sinar kepada industri perfileman tempatan.
Bukan mahu ganti wayang. Itu penegasan Pengarah Urusan E-Wayang, Azmi Ismail yang yakin platform penstriman video tersebut mampu memberi pulangan keuntungan kepada penerbit, pelakon dan juga penonton.
“Kita mahu bantu penerbit filem yang turut sama terkesan dengan penularan wabak tersebut. Filem-filem yang pernah ditayangkan sebelum ini juga boleh ditonton semula di E-Wayang.
“Tiada hak eksklusif dan keuntungan juga dibahagi sama rata. Penonton boleh memilih filem kegemaran mereka dengan hanya RM15 dan boleh ditonton selama 48 jam.
“Kita lihat langkah itu mampu membawa keuntungan berterusan kepada penerbit filem. Banyak filem kita yang berkualiti namun tidak mendapat sambutan ketika ditayangkan dahulu. Jadi E-Wayang adalah jawapannya,” katanya.

Platform penstriman video yang mula dilancarkan Jun lalu itu mendapat kerjasama Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).
Tidak hanya membuka satu pintu untuk penerbit dan pelakon menjana pendapatan, penonton juga boleh mendapat keuntungan dengan kaedah referral yang dilaksana.
Hanya perlu berkongsi link, sesiapa sahaja boleh mendapat RM1 sekiranya ada pengikut yang berminat. Itu antara cara mudah untuk mendapat keuntungan terutama bagi mereka yang sedang berusaha menambah pendapatan.
“Sesiapa sahaja yang membeli filem di E-Wayang dan berkongsi link tersebut di media sosial, mereka boleh mendapat RM1 bagi setiap individu yang berminat menonton sama.
“Malah, sekiranya anda berkongsi gambar ketika menonton filem di E-Wayang di media sosial, kami akan memberi RM50 sebagai tanda penghargaan. Itu adalah antara kaedah pemasaran yang kami laksanakan,” katanya.
Halang cetak rompak
Sebagai langkah membendung aktiviti cetak rompak, E-Wayang juga memperkenalkan kod individu yang membenarkan pihaknya mengenal pasti siapa dalang yang merakam secara haram filem-filem yang ditayangkan di platform itu.
“Tiada masalah cetak rompak kerana sekiranya ada pihak yang merakam dan menyebarkan filem yang ditempah, pihak kami secara automatik dapat mengenal pasti dan terus menjejaki pesalah menerusi kod individu.
“Itu adalah langkah kami kerana cetak rompak ini bukan satu isu kecil. Sudah banyak filem yang berdepan masalah tersebut walaupun di aman teknologi ini. Kita mahu mengelakkan itu berlaku di E-Wayang,” katanya.
Bercakap soal perancangan masa hadapan, Azmi tidak menolak kemungkinan pihaknya bakal bekerja sama dengan beberapa produser untuk menerbitkan filem di bawah E-Wayang sendiri.
“Kita lihat itu sebagai satu perancangan masa hadapan. Kami bukan hendak bersaing dengan mana-mana platform penstriman video sedia ada. Ini adalah usaha kami membantu penerbit dan pelakon.
“Namun, kami masih mengutamakan kualiti sebagai syarat sesebuah filem itu ditayangkan di E-Wayang. Kami tak mahu tangkap muat dan ada panel khas untuk memilih filem terbaik,” katanya.
Dalam tempoh tujuh bulan kewujudan E-Wayang, sebanyak lapan filem antaranya Tyickoouns, Wangi, Misi Operasi X9 MOX), Azura dan lain-lain sudah mendapat perhatian peminat.
Malah, Disember ini E-Wayang turut membariskan filem-filem lain antaranya Kanang Anak Langkau, The Iban Warriot dan Kastil Tua Malaysia dalam platform tersebut.










