JIKA dilihat pada nama, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang mungkin ditafsirkan bahawa agensi keselamatan itu hanya menjaga kawasan di daerah itu sahaja.
Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya apabila APM Klang adalah agensi keselamatan itu yang paling sibuk di Selangor apabila mereka bukan sahaja menjaga kawasan Klang tetapi meliputi Petaling.
Kawasan pentadbiran APM Klang yang bukan sahaja meliputi daerah itu, tetapi Petaling iaitu antara sempadan Kapar sehingga ke Sungai Buloh, Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Klang, Mejar (PA) Juddie Turusi berkata, walaupun mempunyai kawasan pentadbiran yang agak luas, pihaknya kekal komited menggalas amanah dan tanggungjawab dalam pelbagai operasi khidmat kemanusiaan selama 24 jam sehari.
Malah, biarpun negara masih dibelenggu penularan Covid-19, faktor itu bukan batu penghalang kepada mereka untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Menurutnya, secara purata, pihaknya menerima kes kecemasan 30 kes sehari yang kebanyakannya melibatkan operasi menangkap haiwan berbisa dan pemusnahan serangga.
“Setakat ini, kita mempunyai kekuatan seramai lapan pegawai dan 80 anggota yang sentiasa bersiap siaga untuk menjalankan tugas.
“Kita akui berdepan cabaran terutama berkaitan faktor masa untuk bertindak dalam sesuatu operasi atau kes yang diterima. Daerah Klang dan Petaling rata-ratanya berada dalam kawasan bandar yang juga berkepadatan tinggi penduduknya.
“Berikutan itu, kita menerima banyak kes setiap hari sehingga menyebabkan respond time (masa bertindak) mungkin agak lewat,” katanya ketika ditemui di Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Klang, baru-baru ini.
Menurut Juddie, 40, berdasarkan statistik terkini direkodkan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Klang, sebanyak 914 kes diterima sepanjang Oktober lalu diikuti 706 (September), 711 (Ogos) dan 704 (Julai).
Katanya, pihaknya berupaya menyelesaikan kes namun masa yang diperlukan agak panjang berikutan faktor lokasi.

“Dengan aset kenderaan yang terhad, anggota kita perlu menguruskan sesuatu kes dengan teliti dan teratur.
“Selain kawasan yang luas, faktor kesesakan trafik terutamanya pada waktu puncak menjadi punca kelewatan kita di lokasi kejadian,” kata anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu.
Tawar khidmat secara sukarela
Dalam pada itu, Juddi berkata tugasan APM Klang turut meliputi pemantauan fenomena air pasang besar, pokok tumbang, kes orang sesat atau cedera dan bantuan penghantaran air minuman kepada penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air.
Katanya, anggota APM juga ditempatkan bagi penugasan menjaga hotel yang dijadikan pusat kuarantin bagi pesakit Covid-19 di Selangor.
“Sepanjang Covid-19, kita sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi setiap operasi atau kes. Penetapan khusus ini antaranya memfokuskan kepada penggunaan peralatan pelindungan diri (PPE) dan saringan suhu sebelum memulakan tugasan.
“Sekiranya dikesan mempunyai simptom, kita akan mengarahkan anggota terbabit supaya segera pulang untuk menjalani pemeriksaan doktor,” katanya.
Ujar beliau, semua kekangan itu bagaimanapun tidak melunturkan semangat pasukannya terus berkhidmat demi negara.
“APM dianggap unik kerana menawarkan khidmat sukarelawan yang boleh disertai orang awam daripada pelbagai golongan kerjaya.
“Selain mempelajari ilmu pertahanan awam secara percuma bagi operasi harian, ini dapat dimanfaatkan sekiranya berlaku kes kecemasan ketika di luar tugasan atau kawasan masing-masing.
“APM juga sentiasa menyediakan kursus atau latihan kepada anggota baru bagi mengendalikan kes terutama teknik sebenar menangkap haiwan berbisa,” katanya.
Juddi berkata, kira-kira 30 peratus pegawai dan anggota APM Klang turut terdiri daripada golongan wanita dan pasukannya pula merangkumi tiga unit iaitu Alpha, Bravo dan Charlie.
Sementara itu, Ketua Skuad Pasukan Bravo, Sarjan (PA) Muhammad Asyraf Ulol Azmi, 29, berkata, dia menyertai agensi itu kerana meminati badan beruniform sejak di bangku persekolahan dan mahu menabur jasa kepada rakyat.
“Sepanjang menyertai APM sejak 2012, pelbagai pengalaman berharga sudah ditempuh yang sememangnya tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
“Saya pernah terlibat dalam operasi tanah runtuh, banjir, mencari mangsa lemas di Sungai Klang dan bertugas di pusat kuarantin Covid-19 melibatkan kluster Tabligh sebelum ini,” kata bapa kepada seorang anak itu.
Sementara itu, anggota wanita, Prebet (PA) Norfarah Adila Assary, 27, berkata, pengalaman mengalami kecederaan akibat digigit ular sawa di tangan kanan pada 2015 tidak melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat.
Jelas anak sulung daripada empat beradik itu, dia juga pernah disengat tebuan ketika operasi sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.
“Sepanjang lapan tahun berkhidmat, saya sudah menangkap ribuan haiwan terutama ular dan membuktikan bahawa kerjaya ini juga boleh dilakukan wanita.
“Walaupun berkhidmat di APM paling sibuk di Selangor, saya berpuas hati melakukan pekerjaan yang diminati sejak kecil,” ujarnya.










