NARATHIWAT (THAILAND): Kerajaan Thailand menolak tuntutan autonomi dan kemerdekaan bagi tiga wilayah Selatan Thai yang bergolak, sebaliknya bersedia menawarkan bentuk pentadbiran lain bagi mencapai keamanan berkekalan.
Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanut Suvarnananda berkata, tuntutan berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam proses dialog damai yang sedang berlangsung.
Katanya, sistem tadbir urus Thailand ketika ini mempunyai tiga peringkat iaitu kerajaan pusat, serantau dan tempatan.
“Kita boleh bincang untuk menyediakan dasar sesuai bagi menyelesaikan konflik secara mampan melibatkan semua pihak berkaitan dengan mengambil contoh Bangkok dan Pattaya, iaitu wilayah pentadbiran khas di bawah kerajaan pusat tetapi bukan wilayah yang mempunyai autonomi penuh.
“Jika mahu menjadi Bangkok 2 atau Bangkok Selatan, siapa yang akan menguruskan pengangkutan awam, kesihatan awam dan hal ehwal luar negara? Jika mereka mahu mentadbir diri mereka sendiri, bagaimana mereka akan melakukannya? Kita boleh bincang,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang merupakan kumpulan pemisah terbesar di Selatan Thailand mahu pemerintahan sendiri secara menyeluruh di tiga wilayah bergolak.
Bagaimanapun, BRN tidak menuntut kuasa mutlak atau kemerdekaan, sebaliknya mahu pemerintahan berasaskan perkongsian kuasa bagi mentadbir Narathiwat, Pattani dan Yala menjadi satu wilayah.
Thanut berkata, pemisahan wilayah atau pembentukan sebuah negara merdeka yang baharu di Asia Tenggara adalah mustahil dan sukar dilaksanakan.
Katanya, ini kerana semua keputusan mesti berakhir di Parlimen, pentadbiran pusat, Majlis Keselamatan Negara serta wakil khas negara-negara lain.
“Saya fikir, pembahagian wilayah untuk mewujudkan sebuah negara merdeka baharu terutama di Asia Tenggara bukanlah mudah. Justeru itu, perbincangan untuk memperoleh pemerintahan sendiri secara menyeluruh atau pemisahan (merdeka) bukan lagi satu pilihan yang ada.
“Usaha menamatkan konflik adalah langkah sejagat di mana setiap proses keamanan di seluruh dunia mesti bermula dengan membina kepercayaan dalam kalangan pihak berkepentingan dan kemudian menghentikan keganasan,” ujarnya.
Thanut berkata, beliau akan membawa semua kumpulan pembebasan Patani duduk di meja Proses Dialog Damai Selatan Thai dengan BRN kekal sebagai kumpulan utama.
Katanya, proses dialog damai itu bukan bukan bermakna kerajaan bersedia menawarkan sesuatu sebagai pertukaran kepada senjata.
“Thailand tidak mempunyai apa-apa untuk ditukar. Saya tidak dapat bayangkan apa yang boleh kita (kerajaan) tukar. (Tetapi) jika (tiga wilayah itu) hendak menjadi seperti Bangkok, kita sedia mengkajinya
“Tetapi saya tidak akan bercakap mengenai wilayah pentadbiran khas. Sama ada mereka (pemisah) akan bercakap, saya tidak tahu. Saya tidak akan bercakap tentang gencatan senjata lagi. Ia sudah ketinggalan zaman. Jika kita membuat janji dan tidak dapat menunaikannya, kita akan kehilangan kredibiliti, baik untuk mereka mahupun untuk kita,” katanya. – UTUSAN










