AKW sasar 30 peratus wanita pembuat keputusan - Utusan Malaysia

AKW sasar 30 peratus wanita pembuat keputusan

SEBAHAGIAN peserta program webinar Kepimpinan Wanita secara dalam talian, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKADEMI Kepimpinan Wanita (AKW) komited melaksanakan agenda memperkasa kaum wanita sebagai pembuat keputusan dengan memberi peluang pendidikan dan latihan berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, AKW ditubuhkan pada tahun 2019 untuk memberi peluang kepada aktivis wanita menjadi sebahagian 30 peratus pembuat keputusan di pelbagai sektor pada masa depan.

“Syarat untuk menyertai AKW adalah dengan kelulusan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bila tamat program AKW, pelajar-pelajar yang cemerlang dan berkelayakan akan diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

“Saya yakin mereka boleh pergi jauh jika diberi peluang. Biasiswa Wanita Berdaya Selangor tajaan Kerajaan Negeri Selangor akan diberi kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program webinar bual bicara, Kepimpinan Wanita- Apa Rahsia Mereka secara maya di laman Facebook rasmi AKW-Dinamik baru-baru ini.

Antara panel webinar tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Perumahan Tempatan, Rodziah Ismail, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Zahariman Ariffin dan pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Dr. Norizan Abdul Razak.

Sementara itu menurut Rodziah, sebagai ahli politik setiap cabaran yang dihadapi memerlukan seseorang pemimpin menguruskan isu dan persepsi dengan bijaksana.

“Jika tiba-tiba ada isu yang mendatangi kita jangan melenting. Kita tengok subjek yang menjadi isu, jika boleh kita nafikan kita nafikan.

“Selalunya saya tukarkan perkara negatif menjadi positif. Perkara ini kita perlukan penelitian dan perancangan bersama rakan-rakan apa yang harus kita buat,” katanya.

Sementara itu Pengarah Program Bual Bicara AKW, Noranita Mat berkata, pihaknya turut mengadakan sesi diskusi berasingan bertajuk Sembang Mak Lang bagi mengupas input-input di dalam sesi bual bicara dalam kalangan pemimpin dan ahli akademik tersebut.

Katanya, melalui perbincangan di dalam program Sembang Mak Lang tersebut, para peserta AKW dan webinar terlibat didedahkan dengan masalah-masalah yang dihadapi dan penyelesaian yang perlu diambil.

“Sebagai pemimpin dalam sesuatu komuniti mahupun kumpulan yang besar sudah pasti kita menghadapi pelbagai bentuk masalah dan cabarannya adalah bagaimana masalah tersebut diatasi.

“Walaupun kita telah didedahkan dengan ilmu kepemimpinan dan akademik setiap masalah sewajarnya diuruskan secara realistik berdasarkan keadaan semasa hari ini,” katanya.

Beliau menambah, melalui kedua webinar tersebut peserta berbincang bagaimana sesuatu masalah mampu diurus dengan bijak dan sistematik.

Jelasnya lagi, seseorang pemimpin wanita memerlukan pendekatan berbeza dalam usaha menyelesaikan kes keganasan rumahtangga, anak tidak sah taraf dan kes buang bayi di komuniti mereka.

Mengulas lanjut mengenai AKW, akademi ditubuhkan bagi mewujudkan pemimpin yang bukan sahaja diberi peluang pendidikan semata-mata tetapi meningkatkan potensi diri dalam kerjaya dan kepimpinan.

Ujarnya, Open University telah bersetuju bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan tempat serta kursus-kursus yang bersesuaian dengan misi kerajaan negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×