Revathy berkorban demi kerjaya, masa depan - Utusan Malaysia

Revathy berkorban demi kerjaya, masa depan

SENYUMAN dan positif merupakan antara kunci kejayaan wanita ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih sembilan kali menghadiri sesi temuduga di syarikat media sama, bagi merealisasi impian bergelar personaliti televisyen!. Ia sudah cukup menjelaskan kecekalan pemilik hati – Revathy Mariappan.

Personaliti televisyen ini ketika ditemubual mengakui bukan semua orang memiliki kekentalan jiwa dan semangat seperti dirinya.

“Saya tidak berputus asa walaupun tidak berjaya kerana saya yakin boleh melakukannya. Sehingga kru-kru di tempat itu sudah mengenali saya kerana terlalu kerap menghadiri temuduga,” katanya tertawa besar mengimbau kenangan sewaktu mula-mula menyertai dunia penyiaran di Astro.

Berkongsi cerita bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, beliau menjelaskan kesanggupan diri berbuat demikian semata-mata menggapai cita-cita bergelar personaliti televisyen.

“Sejak kecil saya selalu berangan-angan untuk muncul di kaca televisyen. Saya tidak mahu ia hanya tinggal khayalan dan saya tahu, saya perlu bekerja keras ke arah itu,” katanya.

Revathy kian menempa nama sebagai pengacara terkenal malah turut diberi kepercayaan mengendalikan program di saluran Tamil terbitan Astro.

Setiap orang pasti mempunyai impian dan cita-cita. Apa yang membezakan adalah sama ada seseorang itu berusaha merealisasikan impian atau membiarkannya sekadar tinggal angan-angan.

Revathy membuktikan cita-cita adalah pemangkin semangat untuk dirinya mencapai perkara diingini, selain menjadikan ia sebagai matlamat utama dalam hidup yang membentuk diri dan kerjayanya kini.

Begitupun, figura berusia 33 tahun itu mengakui perjalanan kariernya tidak semudah disangka. Banyak onak dan ranjau harus ditempuhi sebelum sampai ke tahap sekarang.

PELUANG
Peluang sulung mengendalikan program siaran langsung hiburan Tamil digunakan sebaik mungkin. Bertitik tolak daripada itulah beliau terus aktif menonjolkan bakat. Hingga kini lebih 20 program dikendalikannya.

Pesona kerjayanya semakin menyerlah apabila diberikan kepercayaan mengacara program bual bicara pagi yang disiarkan secara langsung sejak tiga tahun lalu.

Biarpun permulaan kariernya agak lambat iaitu pada usia 25 tahun, namun peluang yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadi seseorang disegani dalam industri media suatu hari nanti.

“Saya seorang yang berdikari. Saya masuk ke industri ini dengan susah payah atas usaha sendiri kerana saya tiada saudara-mara atau kenalan dalam bidang ini. Jadi, saya tak mahu sia-siakan peluang yang ada.

“Apa yang saya kecapi hari ini merupakan langkah permulaan sahaja. Saya mahu teruskan usaha keras ini untuk melangkah ke satu persada lebih mencabar lagi.
Sekiranya diberi peluang, saya mahu kendalikan rancangan dalam bahasa Melayu atau Inggeris pula,” jelas gadis kelahiran Klang, Selangor ini.

Tiga kerja pada satu masa

Pemegang ijazah dalam bidang perbankan ini turut meminati dunia keusahawanan.

Beliau menjinakkan diri dalam bidang perniagaan sejak tiga tahun lalu dengan membuka sebuah butik selain kerja hakiki sebagai pengurus pengembangan perniagaan di syarikat muzik ternama.

Menurutnya, minatnya dalam berfesyen dan mengetengahkan idea-idea ‘suai padan’ dicurahkan melalui butik Vrayzdesign miliknya yang terletak di Klang, Selangor.

“Saya sukakan fesyen baharu dan segar seperti memakai sari dengan t-shirt dan sebagainya. Jadi, saya mahu berkongsi idea ini dengan ramai orang.

“Ia memerlukan pemikiran kreatif dan segar. Setakat ini saya cukup berpuas hati dan gembira apabila dapat menghasilkan beberapa helai baju mengikut citarasa saya dan ia berjaya dipasarkan,” kata anak sulung daripada dua beradik ini.

Ditanya sama ada pernah berasa lelah atau tidak, beliau sebaliknya menyifatkan ia sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan sehariannya.

“Pengurusan masa membantu saya dalam menyeimbangkan antara peribadi dan kerjaya. Biasanya aktiviti pagi saya adalah ke pejabat. Hanya selepas waktu kerja atau sebelah malam saya mengendalikan rancangan siaran langsung.

“Kala hujung minggu pula saya meluangkan masa di butik atau memanfaatkan ia untuk bersama-sama rakan dan keluarga,” katanya.

Deepavali disambut sederhana

Mengakui terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu, Revathy menyifatkan sambutan Deepavali pada tahun ini agak perlahan dan sederhana.

Selain tempahan baju di butiknya sedikit perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini, beberapa program televisyen turut dibatalkan akibat pandemik.
Begitupun, beliau tetap bersyukur kerana mampu menyambut Deepavali bersama keluarga tercinta.

“Segala berlaku adalah dugaan buat kita semua. Kita masih dapat merayakan bersama keluarga, yang penting sekarang ialah misi untuk menyelamatkan negara kita,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×