MUKADIMAH
RAMAI daripada kita membuat pelbagai dakwaan mengenai khasiat sesuatu herba tetapi ia kebanyakannya berasaskan kepada pengetahuan tradisional yang diwarisi turun temurun.
Ini memang dibuktikan sejak daripada dulu yang menjadi asas pegangan perubatan orang Melayu sebelum wujudnya hospital. Laporan khas siri 5 ini mengupas mengenai inisiatif menghimpunkan tentang khasiat herba didokumentasikan sebagai khazanah orang Melayu untuk tatapan generasi akan datang.
ia juga penting sebelum orang Melayu mengenali sains dan analisis dan hospital dan terbukti memberi kesan mujarab dalamn perawatan dan pencegahan.
Laporan khas mini oleh wartawan Utusan Malaysia, LAUPA JUNUS mengenai pentingnya dunia herba dalam kehidupan orang Melayu.
Jika siri sebelum ini orang ramai diberi galakan menggunakan produk berasaskan herba atau tumbuhan ubatan berasaskan kajian saintifik tetapi satu lagi usaha Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk mendokumentasikan apa yang dipanggil pengetahuan tradisi iaitu pengetahuan berkaitan tumbuhan ubatan yang diwarisi daripada pengamal perubatan tradisional.
Projek itu menghimpunkan dua bentuk pengetahuan tradisi iaitu yang diambil daripada pengamal perubatan tradisional secara lisan dan juga yang tercatat dalam manuskrip perubatan Melayu.
Penyelidiknya, Dr. Nik Musa’adah Mustapha berkata, projek tersebut yang dinamakan Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi Melayu Berkaitan Tumbuhan Ubatan dan Beraroma di Semenanjung Malaysia dilaksanakan dalam tiga fasa sejak 2013 dan dibiayai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Ada banyak manuskrip perubatan Melayu atau kitab Tib di universiti, Perpustakaan Negara dan arkib yang jumlahnya lebih daripada 100 manuskrip termasuklah yang tersimpan di luar negara seperti Belanda dan Belgium tetapi sebahagian besarnya dalam tulisan jawi klasik,” ujarnya.
Justeru kata beliau, usaha tersebut dimulakan dengan program transliterasi iaitu merumikan manuskrip (mengalih aksara daripada jawi kepada rumi) berkenaan supaya lebih ramai dapat membacanya.
Beliau berkata, kerja-kerja tersebut mendapat bantuan daripada Allahyarham Dr. Harun Mat Piah iaitu pakar hal berkaitan manuskrip perubatan Melayu.
Selain transliterasi, projek ini juga menganalisis kandungan manuskrip tersebut dengan mengenal pasti penyakit dan ramuan yang tercatat di dalamnya.
Selain berdasarkan manuskrip, pihaknya juga mendokumentasikan pengetahuan tradisional yang diwarisi secara lisan dengan menemubual pengamal perubatan tradisional dengan bantuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Oleh kerana sasaran mereka lebih kepada orang Melayu berdasarkan tafsiran Perlembagaan, maka JKKK memainkan peranan besar menjayakan misi tersebut.
Justeru, bukan mudah bagi pihaknya menerima dakwaan daripada mereka yang ditemui sama ada bomoh, pawang, tabib, dukun, bidan, tok mudim atau mak andam untuk dibukukan.
Apatah lagi katanya, mereka terpaksa memasuki kawasan pedalaman bagi mencari mereka yang benar benar didakwa mempunyai pengetahuan tradisional tersebut.
Justeru bancian perlu dilakukan terlebih dahulu dengan bantuan JKKK bagi mengenal pasti pengamal perubatan tradisional berkenaan kerana mereka lebih mengetahui latar belakang dan sebagai pemudah cara bagi sesi temu bual yang akan diadakan.
Pada mulanya seramai 4,975 pengamal perubatan tradisional dikenal pasti dengan bantuan JKKK.
Dalam sesi bancian seramai 2,934 pengamal berjaya ditemuduga manakala yang lain tidak dapat diteruskan kerana pelbagai sebab antaranya terlalu uzur, tidak dapat dihubungi atau kedudukannya terlalu jauh di pedalaman.
Bancian ini dijalankan bagi mengenal pasti beberapa ciri-ciri demografi sama ada jantina, umur, pendidikan dan latar belakang pengamalan mereka.
Tinjauan seterusnya melibatkan 355 pengamal terpilih bagi merekodkan profil sosioekonomi dan juga penggunaan tumbuhan ubatan dalam amalan perubatan mereka.
Langkah pendokumentasian seterusnya adalah kutipan sampel tumbuhan dengan bantuan pengamal perubatan tradisional terpilih.
Menurut beliau lagi, semasa fasa pertama projek ini melibatkan 25 orang, fasa kedua (2017-2019) seramai 13 orang manakala fasa ketiga sedang berlangsung tahun ini hingga tahun hadapan.
Setakat ini pihaknya berjaya menghasilkan 12 buku.
Ditanya apakah signifikan projek tersebut, Dr. Nik Musa’adah berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang bertanggungjawab dalam memenuhi keperluan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) iaitu pemuliharaan kepelbagaian biologi, penggunaan kepelbagaian biologi secara mampan dan juga adil serta saksama dalam perkongsian faedah hasil penggunaan sumber genetik.
Kedua, ia juga penting supaya pengetahuan tradisi ini memberi manfaat kepada komuniti dan negara serta menghalang berlakunya biopiracy dan salah guna. Oleh sebab itu projek ini menitik beratkan kepada perolehan prior inform consent (keizinan termaklum awal) atau meminta keizinan daripada pengamal terlebih dahulu selaras dengan keperluan Akta Akses Kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (Akta 795).
Matlamat ketiga adalah memartabatkan perubatan tradisional terutama bagi menggalakkan lebih banyak kajian saintifik berkaitan tumbuhan ubatan pada masa hadapan.
Jadi asas penyelidikan
Sementara itu bagi penyelidik herba Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mahanem Mat Noor, pengetahuan tradisional wajar dijadikan asas kerana ia adalah salah satu sumber rujukan yang telah menjadi amalan tradisi dan terbukti keberkesanannya.
Walau bagaimana pun menjadi tanggungjawab penyelidik untuk mengkaji mekanisme keberkesanan atau khasiat herba sebagai perubatan alternatif.
Kesimpulannya, penyelidikan atau pengetahuan sains dan pengetahuan dan amalan tradisional tidak boleh dipisahkan sebaliknya saling berkomplemantari dalam memperkasakan peranan herba dalam perubatan.
“Antara amalan pengamal herba ubatan tradisional ialah daripada segi masa herba dipetik, di mana mereka memetik herba pada sebelah pagi sebelum jam 12 tengah hari.
“Dipercayai menjelang tengah hari kompaun toksik akan berada pada bahagian pucuk herba. Ini menjadi suatu persoalan yang menarik untuk dikaji dan dibuktikan secara saintifik,” ujarnya.










