RAMAI boleh berbicara mengenai keperluan nutrisi untuk tubuh badan anak-anak.
Tetapi berapa ramai ibu bapa di luar sana yang benar-benar disiplin menjadikan pengambilan pemakanan yang seimbang sebagai satu amalan wajib dalam perkembangan keluarga mereka?
Menurut Pengarah Perubatan Unit Unitrisi Abbott Malaysia, Dr. Nina Mazera Mohd. Said, tanpa nutrisi yang betul, kemerosotan tumbesaran atau tumbesaran terbantut boleh berlaku pada tubuh kanak-kanak.
Situasi itu katanya, boleh membawa kepada masalah lemah perkembangan kognitif dan kemudaratan serius dalam kehidupan kanak-kanak tersebut.
“Tumbesaran terbantut merupakan sejenis penyakit malnutrisi. Ia merupakan satu keadaan di mana kanak-kanak mengalami kenaikan ketinggian atau berat badan yang lebih lambat daripada jangkaan berdasarkan umur dan jantina,” katanya pada program diskusi virtual Pediasure di sini baru-baru ini.
Panel lain terbabit dalam sesi berkenaan ialah Perunding Pediatrik, Hospital Pakar Kanak-Kanak dan Wanita AVISENA, Dr. Tan Eng Kian dan Pakar Dietetik, Pusat Perubatan Sunway, Celeste Lau dan Pengurus Besar Unit Nutrisi Abbot Malaysia, George Mountrichas.
PEMAKANAN
Dr. Nina berkata, nutrisi dan status pemakanan berkait rapat dengan soal kesihatan tubuh badan seseorang. Apalagi pada peringkat usia berkenaan, proses perkembangan fizikal mereka perlu menjadi keutamaan ibu bapa.

“Pengambilan nutrisi seimbang penting untuk lima tahun pertama kanak-kanak bagi mencapai potensi tumbesaran maksimum.
“Apabila tindakan pengesanan dibuat lebih awal, ia dapat membantu mengaktifkan semula plat pertumbuhan dan meletakkan kanak-kanak pada landasan betul untuk mencapai potensi optimum,” katanya.
Dr. Nina menjelaskan, genetik penentu proses pertumbuhan tulang, namun faktor persekitaran termasuk nutrisi yang betul pula diyakini dapat membantu kanak-kanak mencapai potensi ketinggian sebenar mereka.
Beliau berkata, bekalan nutrisi yang baik mampu menyumbang sehingga 80 peratus perkembangan fizikal kanak-kanak.
“Nutrien seperti vitamin D, kalsium, protein dan serat penting untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak. Misalnya, vitamin D dan kalsium, ia menyumbang kepada pembinaan tulang yang sihat dan kuat.
“Serat pula berperanan menyokong sistem pencernaan. Sementara protein memainkan peranan penting dalam banyak fungsi badan termasuk pemulihan dan membaiki tisu-tisu otot, kulit, organ, darah, rambut dan kuku,” katanya.
PENCEGAHAN
Sementara itu, George Mountrichas berkata, tumbesaran dianggap sebagai masalah kesihatan awam semakin membimbangkan dengan satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun menghadapi masalah berkenaan.
“Ia dilihat semakin meruncing di Malaysia dengan berlakunya peningkatan ketara daripada 16.6 peratus pada 2011 kepada 21.8 peratus pada 2019,” katanya.
Membantu kemelut itu, Abbot Malaysia memperkenalkan Pediasure dengan formula baharu 0 peratus sukrosa diyakini mampu menjadi salah satu jalan penyelesaian terbaik.
Dalam masa empat minggu, ibu bapa dapat menyaksikan peningkatan selera anak-anak di samping dapat meningkatkan kesihatan usus dan menyumbang kepada perkembangan kanak-kanak dengan lebih menyeluruh.
“Walaupun tanpa sukrosa, ia sarat dengan dengan Arginina, vitamin K2 semula jadi, kalsium dan 36 nutrien utama lain serta probiotik dapat menyokong perkembangan fizikal kanak-kanak,” katanya.










