Platform perkhidmatan perniagaan dan pekerjaan profesional, Linkedln tampil dengan pendekatan baharu bagi membantu orang ramai mencari pekerjaan dengan lebih meluas merentasi bidang.
Pendekatan itu membantu orang ramai mengenal pasti bidang kerjaya baharu dan juga kemahiran baharu untuk bersaing dalam cabang kerjaya yang berbeza.
Naib Presiden Penyelesaian Bakat dan Pembelajaran Linkedln Asia Pasifik, Feon Ang berkata, dalam tempoh yang mencabar pada ketika ini amat sukar mencari peluang pekerjaan yang baharu.
“Disebabkan itu, amat penting untuk pencari kerja mengembangkan pembangunan pemikiran. Tidak kira walau apa pun yang telah dipelajari atau di mana anda pernah bekerja, anda harus bersedia untuk meningkatkan kemahiran untuk melangkah ke industri yang berbeza.
“Di Linkedln, kami komited untuk membantu pencari kerja membuat peralihan ini dengan pelbagai kemudahan dan sumber yang ada di platform kami.
“Kami juga mendorong organisasi untuk mengambil pekerja berdasarkan kemahiran berbanding hanya berpandukan sijil dan pengalaman sebelumnya untuk membantu melahirkan tenaga kerja yang serba boleh,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, melalui ciri baharu itu, pencari kerja akan berpeluang menyertai kursus pembelajaran LinkedIn untuk membina kemahiran yang diperlukan.
Di samping itu, platform ini juga dapat menghubungkan pencari kerja dengan ahli Linkedln lain yang mempunyai peranan sama sekaligus dapat menawarkan bimbingan kerjaya.
Tidak hanya itu, Linkedln juga menggalakkan majikan untuk memilih pekerja berdasarkan kemahiran dan bukan hanya semata-mata bergantung kepada kelayakan dan pengalaman terdahulu.
Pendekatan yang digunakan untuk membantu pencari kerja meneroka bidang baharu.
Penilaian Kemahiran
• Membolehkan pencari kerja menunjukkan tahap kemahiran mereka kepada majikan dan rangkaian mereka, membantu mereka menonjol antara calon yang mempunyai pengalaman terdahulu.
• Di Linkedln terdapat hampir 100 penilaian kemahiran yang tersedia.
Persiapan Temuduga
• Pencari kerja dapat menggunakan pendekatan persiapan temuduga merangkumi soalan yang sering ditanya, panduan menjawab soalan, tips serta maklum balas segera mengenai jawapan latihan yang direkodkan.










