Azrin mahu terus ‘terbang’ tinggi, Kapten Corner rawat kerinduan di awan biru - Utusan Malaysia

Azrin mahu terus ‘terbang’ tinggi, Kapten Corner rawat kerinduan di awan biru

AKSI Azrin Mohamad Zawawi di gerainya sewaktu menyiapkan pesanan daripada pelanggannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA siapa menjangkakan krisis kemanusiaan, akibat pandemik Covid-19, melumpuhkan hampir keseluruhan sektor ekonomi dengan lebih 80,000 orang hilang pekerjaan.

Antara 2,647 kakitangan Malindo Air diberhentikan tugas ekoran pengecilan operasi syarikat penerbangan, 30 Oktober lalu, Kapten Azrin Mohamad Zawawi, 44, antara nama tersenarai.

Pandemik dan diberhentikan kerja bukanlah penamat kehidupan. Bagi bekas juruterbang ini, kehidupan harus diteruskan. Bersandarkan pegangan itulah, Azrin memberanikan diri membuka gerai sebagai mata pencarian baharu, berbeza daripada kerjaya juruterbang yang sudah 20 tahun sebati dalam dirinya.

Mengekalkan ‘trade mark’ sebagai juruterbang, pemilik gerai Kapten Corner ini mengenakan uniform ketika melayani pelanggan. Lengkap dengan tanda pangkat ‘empat bar’, topi, lencana sayap dan apron merah. Identiti ditampilkan itu, nyata menarik perhatian, hinggakan kadangkala Azrin ‘tidak menang tangan’ melayan pelanggan.

GAMBAR Azrin bersama ahli keluarganya.

“Sebenarnya seminggu sebelum diberhentikan saya merancang untuk membuka gerai. Kalau ditanya mengenai perbezaan antara keduanya, memanglah bagai langit dengan bumi. Lebih-lebih saya tiada pengalaman,” katanya memulakan bicara kepada Utusan Malaysia.

Kapten Corner menyediakan hidangan mi kari Ipoh, bihun sup, laksa Utara dan rojak buah. Ia beroperasi dari jam 2 petang hingga 7 malam di Boom Town Cafe, USJ 11, Subang Jaya, Selangor. Sejak dibuka Oktober lalu, lebih 300 bekas dijual.

Anak jati Pasir Mas, Kelantan ini memberitahu kekuatan dirinya membuka gerai kerana ketekunan keluarga mertua memiliki perniagaan katering sejak 30 tahun lalu.

“Merekalah memberi inspirasi kepada saya,” katanya yang memberitahu hidangan disediakan mendapat sentuhan ibu mentua dan isterinya, Latun Noralyani Meor Aminudin, 41 bermodalkan RM2,000.

Pernah bercita-cita menjadi angkasawan ketika di bangku sekolah, luah Azrin, merubah kerjaya glamor ke gerai tepi jalan, bukan mudah. Lebih-lebih lagi berdepan tanggapan masyarakat yang meletakkan kerjaya dalam industri penerbangan sebagai gah lagi hebat.

Malu, rendah diri dan kecewa bercampur baur, namun kata Azrin dalam situasi mencabar ketika ini, dia tidak memiliki banyak pilihan, melainkan membuang jauh rasa itu.

“Pada saya, setiap apa kita lakukan, haruslah berpaksikan keikhlasan dan tangungjawab tanpa mengira pangkat atau darjat,” katanya.

Azrin turut menitipkan nasihat kepada yang terjejas pendapatan pada situasi ini supaya tidak berputus asa sebaliknya kuatkan semangat, sentiasa berfikiran positif dan harus pandang ke hadapan.

“Insya-Allah banyak lagi peluang yang ada di luar sana. Teruskan usaha kita untuk menggarap apa saja peluang yang ada,” ujarnya.

Mengenai kemungkinan kembali terbang di awan biru, kala Covid-19 berlalu pergi, Azrin hanya tersenyum. Ringkas katanya, dirinya akan terus terbang tinggi, di mana-mana walaupun tidak lagi di awan biru. Namun dia tidak sekali-kali serik jika ditakdirkan kembali mengemudi pesawat.

Uniform juruterbang jadi identiti
Bapa kepada empat orang cahaya mata ini, memberitahu cintanya terhadap dunia penerbangan tidak pernah akan pudar. Insiden berdepan situasi cemas mengendalikan pesawat mengalami kegagalan enjin masih basah dalam ingatannya.

Pengalaman terbang ke seantero dunia termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan China kekal dalam lipatan kenangan.

AZRIN bersama teman sewaktu menjadi juruterbang.

Justeru, mengenakan pakaian seragam juruterbang, sebagai ‘trade mark’ alasan konkrit dirinya terus memesrai kenangan lalu.

Begitupun katanya, rekaan uniform itu akan diubah suai untuk memberikan lebih keselesaan dengan cuaca tempatan, namun masih mengekalkan ciri juruterbang.

Mengenai perancangan masa depan, Azrin berkata beliau ingin membuka satu tapak gerai baharu.

“Saya berharap tapak baharu kelak dapat memberi peluang kepada rakan senasib untuk sama-sama berniaga dan mencari rezeki,” katanya mengakhiri pertemuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya