Tidak mahu harapkan wajah - Utusan Malaysia

Tidak mahu harapkan wajah

Mendapat sokongan keluarga sepenuhnya untuk meneruskan cita-citanya dalam dunia lakonan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPUNYAI impian untuk bergelar pelakon sejak berumur lima tahun, ternyata laluannya untuk berada dalam dunia seni bukanlah semudah disangka. Melalui beberapa kegagalan sebelum mampu membuktikan dirinya kini.

Jelas jejaka kacak ini dia tidak akan sesekali mempersiakan peluang yang diberikan. Tahu tiada laluan mudah untuk dia menyakinkan penonton, tambah Meerqeen dia tidak kisah untuk terus belajar.

“Memang sejak dahulu lagi impian saya adalah untuk bergelar seorang pelakon. Melalui beberapa kegagalan sebelum ini memang saya tidak pernah letih untuk mencuba.Cuma pada tahun 2017 saya diberi peluang berada dalam sebuah iklan.

“Selepas itu saya mencuba nasib dalam program Hero Remaja 2020, jangkaan saya hanya untuk dapatkan pendedahan. Siapa sangka rezeki saya untuk berada di tempat ketiga sekali gus membantu saya mengorak langkah dalam bidang lakonan lebih cepat,”kata pelakon berusia 19 tahun ini.

Menolak dakwaan hanya mengharapkan wajahnya sahaja untuk berada dalam bidang ini. Kongsi Meerqeen atau nama sebenar, Shameer Shauqeen Shaiful Izam ketika ini dia yakin penonton lebih bijak dalam menilai kemampuan seorang pelakon.

“Saya tidak akan pandang remeh soal bakat, sebab itu ketika ini memang impikan watak yang jauh lebih mencabar. Malah saya juga memang tidak kisah untuk membawakan watak antagonis.

“Sebagai seorang pelakon saya mahu dinilai melalui kemampuan. Saya memang ambil masa membaca setiap komen yang dilemparkan pengikut saya di laman sosial dalam usaha memperbaiki mutu lakonan,” kata anak saudara kepada pelakon dan penyanyi Safura Yaacob ini.

Turut berbakat dalam bidang nyanyian, bagi Meerqeen ketika ini tiada keperluan untuk dia bersikap tamak. Mahu memastikan fokusnya dalam bidang lakonan tidak terganggu, dia tidak melihat ada ruang untuk dirinya bergelar penyanyi dalam tempoh terdekat.

“Saya memang ada perancangan untuk ke arah itu, tetapi buat masa sekarang lakonan adalah fokus utama saya. Impian utama saya adalah untuk bergelar seorang pelakon dan ini adalah waktu penting untuk saya buktikan sesuatu dahulu.

“Tidak ada tempoh masa yang saya peruntukan dalam bidang lakonan sebelum saya boleh beralih ke bidang berbeza, sebab antara dua bidang ini lakonan tetap menjadi pilihan utama,” katanya yang cukup meminati muzik bergenre RnB.

Mahu elak kontroversi

Tidak mahu terkait dengan sesuatu yang boleh mencalarkan namanya dan keluarga. Meerqeen akui dalam tempoh sekarang perjalanannya masih terlalu jauh. Tiada janji yang mampu diberikan, namun dia yakin untuk sentiasa memegang kepada prinsip diri.

“Realiti sebagai anak seni kita tahu sendiri akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Sebab itu yang saya tanamkan dalam diri untuk sentiasa letakkan amanat keluarga sebagai penguat.

“Buat masa ini juga, saya memang elakkan sesuatu yang boleh menganggu fokus sebagai anak seni. Bila ada yang menghantar pelbagai mesej bukan-bukan di laman sosial memang saya tidak layan. Tetapi saya sangat hargai mereka yang tidak putus-putus beri kata semangat,” jelasnya.

Mahu memberikan sesuatu yang berbeza melalui lakonannya. Ketika ini tiada strategi yang mahu dikongsi Meerqeen sendiri dalam memastikan namanya akan terus diterima. Namun dia yakin sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan sedikit sebanyak memberi peluang untuk dia sentiasa berwaspada.

“Terus menjadi diri sendiri dan bersikap profesional adalah perkara yang akan saya amalkan sepanjang bergelar anak seni. Dalam tempoh ini kita sendiri tidak dapat menduga apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

“Bukan lambat atau cepat yang menjadi persoalan kini tetapi bagaimana penerimaan penonton terhadap lakonan saya itu lebih penting,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Kelaster

Mendapatkan pujian pelakon terkenal Nora Danish melalui lakonan bersama mereka dalam filem Kelaster yang kini sedang ditayangkan. Ternyata Meerqeen akui ini antara momen penting dalam permulaan kerjayanya dalam bidang glamor ini.

“Bila diberi peluang berlakon bersama Nora Danish dan Achey perkara pertama yang saya fikir sikap mereka.

“Tetapi apa yang mengejutkan bagaimana layanan mereka untuk pelakon baharu sangat berbeza. Selain memberi semangat saya juga turut belajar banyak perkara.

Kelaster juga menjadi filem pertama saya, tentunya peluang berlakon dengan mereka yang jauh lebih senior memberi pengalaman yang baik,” jelasnya

Kelaster yang ditayangkan sejak 24 September lalu di saluran Astro First, adalah sebuah filem seram yang menampilkan pelakon-pelakon terkenal seperti Nora Danish, Azhan Rani, Achey, Amyza Aznan dan ramai lagi.

Diarahkan Razif Ajiboy Rashid filem ini berkongsi kisah tentang tiga pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung dan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sepanjang berada di kolej mereka juga diganggu pelbagai kejadian pelik dan misteri. Lebih mendebarkan apabila turut terlibat dengan satu insiden ngeri sehingga menganggu kehidupan harian mereka.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya