Sambal Tahun Kulit Lembu - Utusan Malaysia

Sambal Tahun Kulit Lembu

BAHAN-bahan yang digunakan untuk memasak Sambal Tahun Kulit Lembu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menu berasaskan kulit lembu kedengarannya agak pelik namun ada sahaja yang menggemarinya. Segelintir orang mungkin ‘geli’ membayangkan bahagian kulit haiwan itu tetapi tidak bagi orang Jawa.

‘Sambal Tahun Kulit Lembu’ sememangnya popular dalam kalangan orang Jawa, lebih-lebih lagi dalam musim perayaan ataupun kenduri-kendara.

Rasanya yang pedas dan berlemak itu memang enak dimakan dengan nasi panas, menariknya ia mampu bertahan lama hingga dua minggu jika disimpan dengan cara yang betul.

Sekali pandang, menu itu kelihatan seakan-akan masak lemak cili api namun berbeza pada kuahnya yang sedikit cair.

Bercerita berkenaan sejarah menu, Mahadon Long, 57, memberitahu, menu itu berasal dari Indonesia dan cukup terkenal dalam kalangan orang Jawa di negara ini.

“Mengikut sejarah orang dulu-dulu, masakan ini boleh bertahan untuk tempoh yang lama diibaratkan macam bertahun-tahun, sebab itu ia dinamakan Sambal Tahun.

“Kalau tak habis dimakan hari ini, esok akan dipanaskan semula dan ditambah apa-apa yang kurang. Ia macam rendang, lagi dipanaskan lagi sedap,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Haji Sirat, Kapar baru-baru ini.

Ujarnya, terdapat juga mitos yang mendakwa ia dinamakan Sambal Tahun kerana ia hanya dimasak setahun sekali sahaja iaitu pada hari raya.

“Itu cerita yang saya pernah dengar, mungkin zaman dahulu menu itu dimasak pada hari raya sahaja. Namun kini ia sudah berubah mengikut peredaran masa.

“Kalau sekarang pergi kenduri rumah orang Jawa, menu ini wajib ada. Menu ini dengan orang Jawa memang tak dapat dipisahkan” katanya yang mempelajari cara memasak menu itu melalui kakak iparnya ketika berusia 30 tahun.

 

MAHADON Long menunjukkan Sambal Tahun Kulit Lembu yang siap dimasak. -UTUSAN/NOR AZIHAN MD. GHAZALI

 

PENYEDIAAN RENYAH

Menurut Mahadon, paling renyah adalah proses untuk membersihkan kulit lembu yang perlu dilakukan secara berperingkat.

“Kalau dulu memang kita proses sendiri kulit lembu, ia perlu melalui proses pengeringan, bakar, kikis dan potong.

“Bila nak potong tak boleh guna pisau biasa, selalunya kita guna parang atau mesin pemotong kerana bahagian itu agak pejal. Kemudian ia akan direbus hingga lembut.

“Berbeza dengan sekarang, kita terus beli kulit lembu yang sudah siap direbus daripada pembekal di Bukit Kapar yang menjualnya pada harga RM15 sekilogram,” ujarnya.

Berkenaan bahan-bahan yang diperlukan dalam masakan itu pula ia sangat mudah didapati.

Kata Mahadon, bahan tersebut adalah lengkuas muda, halia, serai, ikan bilis, bawang putih, bawang merah, cili, asam keping, gula, garam dan sedikit perasa.

“Bagi menambahkan kesedapan, kita boleh tambah sama ada petai, jering atau kerdas mengikut selera masing-masing.

“Bagi yang kurang menggemari kulit lembu, boleh campurkan menu itu dengan kerang ataupun kaki ayam. Rasanya lagi sedap,” jelasnya.

Beliau yang mengambil tempahan memasak menu itu sejak beberapa tahun lalu terutamanya untuk kenduri kahwin memberitahu, menu itu semakin terkenal bukan sahaja dalam kalangan orang Jawa bahkan juga orang Pantai Timur dan Utara.

“Saya gembira menu ini semakin diterima ramai terutamanya oleh generasi muda. Saya harap salah seorang anak dapat mewarisi ilmu memasak menu ini satu hari nanti,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN