Langgar Rindu dibina tanpa pelan lakaran - Utusan Malaysia

Langgar Rindu dibina tanpa pelan lakaran

Seni bina kreatif dan mempesonakan surau Langgar Rindu adalah berdasarkan ilham spontan pemiliknya, Abdul Karim Embong. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat keunikan reka bentuk surau kayu yang terletak di tepi Jalan Kuala Terengganu-Merang di Kampung Rhu Tapai, Terengganu tentu tiada siapa yang menyangka kerja-kerja pembinaan rumah ibadah itu dibuat tanpa sebarang pelan lakaran.

Sebaliknya, seni bina kreatif dan mempesonakan surau dikenali sebagai Langgar Rindu itu hanya tercetus secara spontan menerusi ilham pemiliknya, Abdul Karim Embong, 61.

 

                                                                        ABDUL KARIM EMBONG

 

Walaupun tidak memiliki kemahiran bertukang terutama berasaskan kayu, itu bukan halangan buat bapa kepada enam anak ini untuk menyempurnakan hajat mendirikan surau bagi melengkapi penubuhan Madrasah Al Insan Saka Iman kepunyaannya.

Menurut Abdul Karim, selain sebagai komponen utama madrasah, pembinaan Langgar Rindu yang dimulakan sejak Julai 2018 itu dalam masa sama menjadi infaknya kepada tiga insan tersayang yang telah kembali ke Rahmatullah, iaitu bapa, Embong Muhammad; Chik Taib (ibu) dan Meriani Nazrah Nurhayati Rani (isteri).

Berbekalkan keringat dan kudrat empat keratnya, surau yang menggunakan 100 peratus kayu pokok tembesu itu kini sudah 80 peratus siap dan pembinaannya dijangka selesai akhir tahun ini.

Bagi yang tertanya-tanya kenapa rumah ibadah itu dinamakan Langgar Rindu, katanya, istilah langgar turut membawa maksud surau atau madrasah berdasarkan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Rindu pula merupakan satu interpretasi yang indah serta tinggi nilainya sebagai contoh rindu kepada ibu bapa dan keluarga, rindu kepada Allah, rindu kepada Nabi Muhammad dan Rasul, di samping rindu kepada amalan kebaikan termasuk rindu ke masjid, jadi tercetuslah ilham menamakannya dengan Langgar Rindu.

“Langgar Rindu mula mendapat perhatian masyarakat apabila video dan gambar mengenainya tular di media sosial sejak pertengahan tahun lalu hingga menerima kunjungan ramai orang termasuk pelancong asing, walaupun pada masa itu kita masih belum siap sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Karim bersyukur kerana kalangan pengunjung turut mengimarahkan surau itu dengan menunaikan solat selain terpikat dengan faktor reka bentuknya yang istimewa.

Dalam perkembangan sama, katanya, Madrasah Al Insan Saka Iman yang bakal beroperasi Januari tahun depan akan menyediakan pendidikan agama secara percuma kepada remaja asnaf dan kurang berkemampuan di negara ini.

Katanya, buat permulaan seramai 20 pelajar akan diambil mengikuti pengajian tahfiz di kompleks madrasah yang terletak berhampiran Langgar Rindu.

Menurutnya, Madrasah Al Insan Saka Iman mampu menampung sehingga 50 pelajar di samping turut mempunyai tempat penginapan tenaga pengajar, kelas, dewan makan dan ruang dapur.

Sementara itu, Abdul Karim yang juga penulis puisi dengan nama pena Arif Karimi turut bercadang membina rumah penginapan untuk musafir secara percuma di sebelah Langgar Rindu.

“Mudah-mudahan penat lelah saya membangunkan surau ini dapat memotivasikan pelajar madrasah untuk terus mengimarahkan Langgar Rindu di samping menjadi sumber hidayah kepada para pengunjung lain untuk singgah beribadah di sini,” katanya.

Jadi produk pelancongan negeri

    Ruangan solat di surau Langgar Rindu yang selesa untuk orang ramai menunaikan ibadat.

\

Seni bina Langgar Rindu yang tersendiri dan tidak ditemui di mana-mana membolehkan destinasi ini muncul lokasi tumpuan pengunjung.

Bukan hanya pelancong tempatan, malah surau yang didirikan 100 peratus menggunakan kayu tembesu itu turut menarik perhatian pelancong asing.

Pemiliknya, Abdul Karim Embong, berkata, antara tetamu paling jauh surau itu ialah pasangan suami isteri warga Jepun yang sanggup datang ke Malaysia selepas tamat percutian di Bali, Indonesia semata-mata untuk melihat Langgar Rindu.

Di samping itu, katanya, terdapat juga pasangan muslim dari Austria yang singgah melawat selepas menonton video mengenai Langgar Rindu di YouTube.

“Malah, mereka juga mahu meninggalkan dua anak mereka di Madrasah Al Insan Saka Iman, tetapi saya terpaksa tolak kerana tahfiz itu belum beroperasi lagi,” katanya.

Turut melawat rumah ibadah itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Kunjungan Zulkifli itu turut dikongsikan di laman Facebooknya sambil menyarankan orang ramai singgah bersolat di situ di samping menikmati keindahan seni binanya.

Langgar Rindu
 Terletak di tepi jalan Kuala Terengganu-Merang di Kampung Rhu Tapai, Setiu.
 Pembinaannya dibuat tanpa sebarang pelan lakaran bermula sejak Julai 2018.
 Didirikan menggunakan kayu tembesu yang dicari pemiliknya di hutan berdekatan.
 Surau ini adalah sebahagian daripada komponen Madrasah Al Insan Saka Iman.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN