Kuarantin amanah dengan Allah - Utusan Malaysia

Kuarantin amanah dengan Allah

Kerajaan sedang berusaha untuk memastikan rakyat lebih yakin dengan kuarantin di rumah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Fahimi Zakaria

Amanah sifat yang mulia dalam Islam yang mesti menjadi perisai yang gagah dalam diri seorang muslim. Al-Quran dan hadis sebagai dalil utama yang membawa konsep amanah begitu banyak sekali sama ada dalam bentuk perintah, larangan, sejarah dan pengajaran buat manfaat kehidupan orang yang beriman khususnya dan manusia sejagat umumnya.

Sikap amanah yang wujud dalam diri mukmin akan memelihara dan memandunya ke arah ketakwaan dalam segenap aspek kehidupannya. Jika dia seorang anak, maka dia akan menjadi anak yang soleh manakala jika seorang ayah, dia pasti menjadi ayah yang bertanggungjawab ke atas keluarganya.

Bahkan jika seorang pemimpin, dia akan berusaha mengutamakan kebaikan dan keselamatan rakyat jelata. Firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah ke atas orang yang berhak dengannya… (al-Nisa’: 58).

Imam al-Maraghi ketika menafsirkan ayat ini, beliau membahagikan amanah kepada tiga bahagian iaitu amanah dengan Allah, amanah sesama manusia dan amanah dengan diri sendiri (Tafsir al-Maraghi).

Amanah dengan Allah menurutnya, mentaati segala perintah dan larangan-Nya sama ada suka atau tidak manakala amanah sesama manusia pula menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin, ketua keluarga, jiran tetangga, sahabat, ibubapa, isteri atau anak.

Amanah dengan diri sendiri ialah menunaikan hak-hak keperluan asas diri yang membawa manfaat kepada kehidupannya di dunia dan kematiannya di akhirat.

Ketika negara kembali berhadapan dengan kenaikan statistik penularan wabak koronavirus (Covid-19) sejak beberapa hari yang lalu, sikap amanah perlu dihayati dengan sebaiknya agar wabak ini tidak menular secara agresif lantaran sikap segelintir individu yang tidak amanah dengan Allah, bahkan khianat kepada dirinya sendiri.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 432 kes yang direkodkan pada Isnin, 5 Oktober yang sekaligus mencatatkan jumlah tertinggi sejak virus itu menular dalam negara.

Menurut KKM lagi, daripada angka tersebut, sebanyak 235 kes melibatkan pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan ke negeri Sabah sejak 20 September lalu. Pihak kerajaan melalui KKM sering mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti arahan (SOP) yang ditetapkan demi menjaga nyawa semua pihak.

Namun ada individu yang hanya mementingkan diri sendiri, akhirnya gagal mengikuti SOP yang diamanahkan ke atasnya. Kuarantin selama 14 hari salah satu SOP yang wajib diamalkan apabila seseorang yang pulang atau pergi atau berada di tempat-tempat yang disahkan jangkitan Covid-19.

Kewajipan ini jelas kedudukannya seperti yang diputuskan oleh pihak kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sejak 18 Mac yang lalu apabila kerajaan mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua bulan untuk mengekang penularan virus ini.

Darul Ifta’ Mesir melalui muftinya dengan tegas mewajibkan kuarantin dan berdosa besar ke atas sesiapa yang keluar dari rumah dalam tempoh tersebut serta dia wajib bertaubat.

Kuarantin bukanlah perkara yang baharu, ia merupakan perintah yang datang daripada Allah secara umum yang sesuai dengan kesan dan akibat buruk. Firman-Nya yang bermaksud: Janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam bahaya kebinasaan… (al-Baqarah: 195).

Imam al-Baghawi menyatakan, apa sahaja yang membawa kerosakan kepada agama dan dunia, maka ia termasuk dalam ayat ini (Maa’lim al-Tanzil). Justeru tidak syak lagi, hilangnya sifat amanah kepada Allah dalam diri seorang muslim akhirnya membawa kerosakan, pembaziran dan pastinya ia dosa kepada Allah dan orang ramai yang menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut.

Sejarah juga mengajar kita tentang larangan Rasulullah SAW ke atas mereka yang berada dalam bahaya wabak penyakit. Kisah ini diceritakan oleh Saa’d bin Abi Waqas melalui sabda baginda yang bermaksud: …Dan jika penyakit (taun) itu berada di tempat kamu, maka janganlah keluar dari tempat tersebut. (Riwayat Bukhari).

Larangan keluar dalam hadis ini ialah kuarantin yang difahami secara kontektual dalam dunia hari ini. Ini antara lain menunjukkan sifat amanah yang ada dalam diri Rasulullah SAW sehingga baginda dikenali sebagai al-Amin dalam kalangan musuhnya sendiri. Amanah antara sifat yang ada pada setiap orang nabi yang mesti menjadi ikutan orang yang beriman kerana para nabi itu merupakan contoh ikutan yang terbaik (uswah hasanah) seperti yang dinyatakan dalam al-Quran (al-Ahzab: 21).

Kuarantin amanah dengan Allah kerana hanya individu itu sahaja yang tahu tentang keadaan dirinya. Jika dia amanah, maka dia akan melaksanakan pengasingan diri di rumah.

Jika dia khianat, pastinya akan membahayakan orang ramai bahkan kemungkinan membunuh nyawa orang yang lemah seperti warga emas yang mempunyai risiko penyakit kronik, ibu mengandung dan kanak-kanak yang tidak mengerti.

Ia persis individu itu membunuh orang dan sesungguhnya perbuatan itu mendatangkan dosa yang besar dan wajib bertaubat serta memohon maaf kepada mangsa perbuatan khianatnya.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Fundamental Management & Science University

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN