Mohd. Anuar Ramli
Kita sedang memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19. Tercetusnya kluster-kluster baharu telah menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat. Semakin hari kes jangkitan semakin bertambah setelah kita berjaya melalui fasa jangkitan sifar. Pada ketika ini juga, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kembali dikenakan di beberapa zon merah bagi mengekang penularan virus Covid-19.
Rabu lalu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Oktober ini di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah.
Seiring dengan itu pelbagai pihak cuba mencari penawar vaksin bagi mencegah jangkitan dan juga antiviral sebagai ubatan bagi yang dijangkiti virus. Ironinya, terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan menawarkan ‘vaksin’ dan juga perubatan alternatif jarak jauh bagi mengubati Covid-19.
Malangnya ada juga pihak yang mempercayai rawatan yang ditawarkan kerana terdesak dan ingin menyelamatkan diri dari ancaman maut virus Covid-19. Lebih parah lagi, khidmat yang diberikan perlu dibayar dengan jumlah bayaran tertentu, tetapi tiada jaminan keberkesanannya. Sikap menangguk di air keruh ini amat dikesali kerana mengambil kesempatan mencari keuntungan di atas penderitaan pihak lain.
Sedangkan di satu pihak yang lain, pasukan perubatan berganding bahu untuk cuba mencari penawar vaksin dan antiviral dengan sepenuh tenaga bagi menyelamatkan nyawa manusia. Penawar yang dihasilkan perlu melalui tiga kajian klinikal bagi memastikan keberkesanannya di samping tiada kesan sampingan yang teruk.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat lebih 100 vaksin Covid-19 sedang dalam proses penghasilan dan beberapa di antaranya dalam proses percubaan klinikal. WHO bekerjasama dengan pakar, industri dan organisasi kesihatan awam untuk menghasilkan vaksin yang selamat dan berkesan.
Melalui inisiatif COVAX kerjasama ini dijalinkan memastikan semua pihak dapat akses kepada vaksin yang murah, selamat dan berkesan. Setakat ini, vaksin yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Rusia pada 11 Ogos 2020 adalah Sputnik V yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Gamaleya di Moscow. Baki yang lain masih berada dalam peringkat ujian klinikal.
Antaranya adalah Novavax (NVX-CoV2373) yang dihasilkan oleh sebuah syarikat bioteknologi yang berpusat di Gaithersburg, Maryland; Pfizer (BNT162b2) oleh syarikat farmaseutikal berpusat di New York, bekerjasama dengan syarikat bioteknologi Jerman BioNTech dan University of Oxford (ChAdOx1 nCoV-19) dengan kerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal AstraZeneca.
TIUP KEGUSARAN
Namun, di sebalik usaha pelbagai pihak tersebut, terdapat pihak yang cuba meniupkan kegusaran terhadap masyarakat Islam tentang kandungan vaksin yang bakal disuntik di samping gendang teori konspirasi dimainkan kembali kononnya virus dihasilkan untuk mendapatkan keuntungan kepada pengusaha vaksin kemudian hari.
Di barisan hadapan pekerja sektor kesihatan dan keselamatan, nyawa mereka dipertaruhkan, masa dan tenaga dikorbankan untuk memastikan keselamatan masyarakat awam. Amat menyedihkan jika mereka ditohmah bersama-sama dengan syarikat farmaseutikal menjana keuntungan di sebalik pandemik yang berlaku.
Kita masih berperang dengan virus COVID-19. Setiap kita mempunyai peranan dalam memutuskan rantaian Covid-19 dan meratakan kembali graf jumlah pesakit. Justeru dalam situasi genting ini, kita perlu berganding bahu bersama barisan hadapan menghapuskan virus Covid-19.
Kerjasama ini selari dengan firman Allah SWT: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan (al-Ma’idah: 2)
Berdasarkan ayat tersebut, kita digesa bersatu padu dan bekerjasama dalam perkara kebaikan. Memerangi Covid-19 adalah tanggungjawab kita bersama. Di samping itu, tidak boleh bekerjasama dalam perkara yang dilarang dan dosa. Justeru jangan mengambil kesempatan dalam menawarkan perkhidmatan rawatan yang palsu untuk mencari keuntungan, dan jangan meniupkan kebimbangan masyarakat tentang vaksin atau menguar- uarkan komplot petugas kesihatan dan syarikat farmaseutikal.
Malah perbuatan menakut-nakutkan orang ramai ini ditegah oleh Rasulullah SAW. Ini dijelaskan oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud: Tidak halal bagi seorang Muslim menakut-nakutkan Muslim yang lain. (Riwayat Abu Dawud)
Sebaliknya dalam mengharungi gelombang ketiga Covid-19, semua pihak perlu lebih berdisiplin dalam mengamalkan pembudayaan normal baharu dengan amalan kawalan kendiri seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan sosial di samping mendengar panduan pihak berwajib. Justeru, kita mampu menang.
Dr. Mohd. Anuar Ramli, Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di emel: [email protected]










