Islam, agama yang liberal - Utusan Malaysia

Islam, agama yang liberal

Islam mengangkat martabat wanita dengan tidak mendiskriminasikan golongan itu dalam hal bermasyarakat termasuk menuntut ilmu dan mendapat hak yang adil. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 7 September 2020, Utusan Malaysia meletakkan tajuk Penularan fahaman liberal: Majlis Agama Islam ‘berpeluk tubuh’? pada halaman utamanya. Ia mengundang pelbagai reaksi institusi agama serta masyarakat.

Pada 8 September 2020, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi akaun twitter rasmi @MyJakim membuat satu cicipan tentang apa itu liberal dan sekali lagi, banyak pihak menyindir Jakim dalam balasan mereka.

Apa yang ingin dibincangkan kali ini bukannya tentang reaksi dari institusi agama mahupun masyarakat tetapi gerakan yang menggelar diri mereka sebagai gerakan ‘Islam liberal’.

Agak sukar untuk kita membincangkan sesuatu perkara andai tidak memahami definisi kepada topik yang dibincangkan.

Andai kita lihat definisi liberal di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ia membawa beberapa maksud dan antaranya ialah: (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik (me­nentang hak-hak istimewa kaum bangsawan), (fahaman) bebas; kaum ~ orang yg me­nganut fahaman liberal; bersifat atau ber­pandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya) ; meliberalkan menjadikan liberal (bebas dan terbuka): satu langkah untuk ~ pasaran.

Fokus perbincangan kita adalah definisi yang kedua iaitu mereka yang menganut fahaman liberal.

Mana-mana pihak yang menyindir cicipan Jakim di Twitter merasakan Jakim tidak faham definisi tetapi hakikatnya diri mereka yang bodoh sombong.

Sedangkan, Jakim dengan jelas merujuk kepada definisi yang kedua dan bukannya definisi yang lain.

ISLAM AGAMA LIBERAL

Apabila melihat sejarah ketamadunan dunia dan juga di Semenanjung Arab sebelum Nabi Muhammad SAW menerima wahyu, kita akan faham bahawa Islam merupakan agama yang meliberalkan (membebaskan) dunia pada waktu itu.

Setelah ajaran tauhid dari Nabi Ibrahim a.s dicemari oleh Amr bin Luhaiy bin Qama’ah bin Khindzif yang pertama sekali memperkenalkan penyembahan berhala sehinggakan Hubal, Manat, Al Latta, Uzza menjadi perantaraan kepada Allah pada ketika itu.

Dalam tempoh 23 tahun misi dakwah Nabi SAW, dengan izin Allah SWT, baginda membebaskan masyarakat Arab daripada menyembah tuhan-tuhan palsu yang diperbuat daripada batu, kayu dan besi.

Wanita dipandang hina dan tiada kedudukan dalam masyarakat sehinggakan bayi perempuan ditanam hidup-hidup. Namun Islam mengangkat martabat wanita ke satu tahap yang melangkau segala tamadun dan agama yang wujud pada waktu itu.

Wanita di Amerika Syarikat hanya mendapat kebebasan memiliki dan menguruskan harta mereka pada 1848 setelah The Married Women’s Property Act of 1848 diluluskan sedangkan Islam memberikan kebebasan itu hampir 1,200 tahun sebelum itu.

Wanita di United Kingdom (UK) diberi kebebasan dan hak untuk mewarisi daripada suami pada 1922 dan wanita di UK juga hanya diberi kebebasan menjual harta mereka sama seperti lelaki pada 1926 sedangkan Islam memberi kebebasan itu 1,300 tahun lebih awal.

Tatkala majoriti agama dan tamadun dunia berdiam diri apabila manusia dibezakan dengan warna kulit dan diperhambakan sesuka hati, Islam tampil berani memberi kebebasan kepada hamba abdi.

Bukan itu sahaja, Islam juga dengan beraninya membebaskan manusia dengan tidak membezakan bangsa dan warna kulit, sehingga Nabi Muhamad SAW bersabda dalam khutbah terakhir: “..tidaklah seorang Arab lebih baik daripada yang bukan Arab dan tidaklah seorang bukan Arab lebih baik dari seorang Arab.”

Allah SWT juga berfirman yang maksudnya: Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). (al-Hujurat: 13)

MUSLIM MENCINTAI ‘LIBERAL’

Sebagai Muslim, kita menyukai kebebasan kerana agama Islam adalah agama yang liberal. Namun persoalannya, golongan yang menggelarkan diri mereka sebegai gerakan Islam liberal ini ingin membebaskan Muslim daripada apa? Sebagaimana slogan change (ubah) itu adalah bagus tetapi persoalan yang perlu ditanya adalah mahu ubah daripada apa kepada apa?

Persoalan yang sama harus diajukan kepada kepada gerakan Islam liberal iaitu mahu meliberalkan Muslim daripada apa kepada apa? Apa yang ingin diliberalkan?

Jika kita melihat kepada sejarah perjuangan dan apa yang golongan itu (golongan Islam liberal) masih juangkan sehingga ke hari ini, mereka sebenarnya mahu meliberalkan (baca membebaskan; melepaskan) muslim daripada tafsiran Islam menurut tiga generasi terbaik Islam yang disabdakan oleh Nabi Muhamad SAW; Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari)

Apa yang jelas, hasil usaha gerakan Islam liberal ini mahu meliberalkan (baca menyelewengkan) Muslim daripada tiga generasi terbaik yang telah diredai Allah SWT.

Ia sebagai mana firman Allah SWT: Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar. (at-Taubah: 100)

Mereka berselindung di sebalik perkataan yang baik iaitu liberal yang bermaksud bebas. Mereka mahu meliberalkan muslim dan itu usaha yang wajar dipuji tetapi mereka umpama musang berbulu ayam. Mereka hanya mahu meliberalkan muslim daripada tafsiran al-Quran dan sunnah tiga generasi terbaik yang diredai oleh Allah SWT kepada tafsiran hermeneutik yang diredai oleh manusia agar Islam sesuai dengan hak asasi manusia yang dicipta manusia.

KESIMPULAN

Memadai saya mengakhiri artikel kali ini dengan memetik kata seorang sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Rabi ibn Amir r.a; “Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah SWT daripada kesempitan dunia kepada dunia akhirat yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Golongan Islam liberal mahu membebaskan manusia daripada penyerahan kepada Allah SWT kepada penyerahan kepada hawa nafsu manusia yang tak berpenghujung. Membawa manusia daripada kelapangan dunia akhirat kepada kehidupan dunia yang sempit dan daripada keadilan Islam kepada kepada kezaliman ideologi ciptaan manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN