Nama Muhammad Anis Fakhri Mohd. Nesfu, 36, mungkin tidak lagi begitu asing bagi penggemar atau pengumpul koleksi tegar pelbagai karakter adiwira serta kartun retro termasuk daripada siri televisyen popular suatu ketika dahulu.
Pernah menghiasi dada-dada akhbar sebelum ini kerana memiliki pelbagai koleksi istimewa dan ada antara koleksi tersebut mungkin satu-satunya koleksi karakter adiwira atau kartun retro yang terdapat di negara ini, dia juga pernah dikenali kerana berjiwa luhur.
Hal ini demikian kerana, bapa kepada tiga anak itu sanggup ‘mengorbankan’ antara 20 hingga ke 30 koleksi kesayangannya kira-kira tujuh bulan lalu demi membantu mereka yang kesempitan hidup sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada ketika itu.
Biarpun hampir semua koleksinya mempunyai nilai sentimental yang tersendiri, Muhammad Anis Fakhri yang kini menetap di Seberang Jaya, Pulau Pinang nekad menjual koleksi berkenaan dengan harapan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan.
“Wang hasil jualan koleksi tersebut kemudian diserahkan kepada rakan-rakan terdekat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membeli barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak dan telur sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau ditemui dalam Pameran Koleksi Adiwira Kartun Retro dan Siri Televisyen di Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Di sebalik semua itu, Muhammad Anis Fakhri yang kini bertugas sebagai Pengurus Kanan Kejuruteraan Fasiliti di sebuah syarikat juga tidak pernah lokek berkongsi cerita atau pengetahuan mengenai hobi uniknya itu.
Sehingga kini katanya, dia telah berjaya mengumpul hampir 8,000 karakter khususnya berkaitan adiwira berbeza sejak lebih 20 tahun lalu.
Katanya, boleh dikatakan hampir semua koleksi berkenaan disimpan dalam kotak dan disusun dalam bilik dan ruang khas di rumahnya.
Bagi koleksi yang dianggap retro atau klasik pula akan diberi lebih perhatian bagi memastikan ia sentiasa berkeadaan baik iaitu tidak rosak, patah atau pudar.
Muhammad Anis Fakhri berkata, antara koleksi kesayangannya termasuk Star Wars, Marvel, Transformers, Batman, Power Rangers, Captain Planet, Macross, M.A.S.K, He-Man and the Master of Universe, Spiral Zone, Metal Gear Solid, Mospeada dan Thundercats.
Kata anak kelahiran Batu Uban, Pulau Pinang itu, karakter lain termasuk dari siri televisyen popular seperti Captain Power & The Soldier of The Future, The Real Ghostbuster, Voltron Defender of Universe, VR Troopers dan sebagainya dengan ada di antara koleksi tersebut mencecah harga ribuan ringgit atau lebih.
Berhabis RM600,000 kerana minat
Sehingga kini Muhammad Anis Fakhri berhabis hampir RM600,000 semata-mata untuk mengumpul dan mendapatkan pelbagai koleksi tersebut secara eksklusif sama ada dari dalam atau luar negara.
“Paling saya minat pastinya Captain Power & The Soldier of The Future kerana teknologinya mendahului zaman.
“Setakat ini juga, saya merupakan satu-satunya pengumpul koleksi ini di Malaysia yang mempunyai set lengkap untuk siri televisyen tersebut yang mula disiarkan di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada lebih 30 tahun lalu itu,” kata bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Selangor (Unisel) itu.

Ujar Muhammad Anis Fakhri, keterujaannya terhadap siri Captain Power & The Soldier of The Future juga mendorong dia dan beberapa rakannya menubuhkan sebuah laman peminat berkaitan di Facebook yang sehingga kini berjaya menarik hampir 800 penyertaan peminat atau penggemar siri televisyen yang sama.
Lebih menarik katanya, dua pelakon utama siri televisyen itu iaitu Tim Dunigan dan Sven-Ole Thorsen juga bersetuju untuk turut serta dalam laman Facebook tersebut sebagai jemputan khas.
“Paling saya tidak dapat lupakan ialah Dunigan pernah membalas satu post (hantaran) Facebook saya seolah-olah terkejut kerana tidak menyangka orang Malaysia juga begitu meminati siri Captain Power & The Soldier of The Future,” katanya.
Jelas Muhammad Anis Fakhri, ketika ini, impiannya adalah memiliki sebuah galeri khas bagi memuatkan semua koleksi yang dikumpulnya sejak kecil selain menganjurkan pameran berkaitan dalam skala yang lebih besar.
“Bagi saya, mengumpul koleksi adiwira seperti ini lebih daripada sekadar hobi untuk mengenang zaman kanak-kanak.
“Pada masa yang sama, ia juga boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan jika kena caranya,” katanya.
Beliau menggabungkan ilmu kejuruteraan, kesihatan dan keselamatan persekitaran yang pernah dipelajarinya dengan minat ini untuk menghasilkan prosedur operasi standard (SOP) ketika menganjurkan sesi pameran karakter adiwira yang berkaitan.










