Air mesin basuh pencemar alam sekitar - Utusan Malaysia

Air mesin basuh pencemar alam sekitar

Air basuhan mesin basuh menghasilkan plastik mikro yang mencemarkan alam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh Dr. Sarva Mangala Praveena

Mesin basuh telah menjadi satu keperluan utama di setiap rumah pada masa sekarang. Mesin tersebut bukan sahaja memudahkan proses mencuci pakaian malah menjimatkan masa dan tenaga.

Idea penciptaan mesin basuh giat berkembang bermula dari era 1850-an, dengan mesin basuh elektrik mula diperkenalkan di pasaran pada awal abad ke-18. Sejak itu, terdapat pelbagai model dan jenis mesin basuh yang diperkenalkan di pasaran.

Mesin basuh yang dilihat mampu memberi pelbagai kebaikan kepada pengurusan masa anda. Namun air sisa basuhan yang dihasilkan oleh mesin basuh dilihat berupaya memberikan pelbagai kesan kepada alam sekitar.

Antara bahan pencemar yang dikaji di dalam air sisa basuhan adalah microplastic (plastik mikro), adalah bahan pencemar yang mula mendapat perhatian.

Plastik mikro merupakan partikel plastik dengan saiz diameter kurang daripada lima milimeter menyerupai saiz sebiji bijan.

Plastik mikro di dalam air sisa basuhan terhasil daripada jenis pakaian sintetik seperti nilon, akrilik dan polyester.

Apabila pakaian sintetik dibasuh di dalam mesin basuh, plastik mikro di dalam bentuk mikrofiber berupaya terkeluar daripada pakaian ke dalam air sisa basuhan.

Walaupun ada sebahagian daripada kita yang mengalirkan air sisa basuhan ini ke bilik air dan akhirnya sampai ke dalam sistem kumbahan, ramai pula kalangan kita yang mengalirkannya ke longkang.

Pada tahun 2011, hasil kajian oleh kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Browne menunjukkan setiap pembasuhan sehelai pakaian di dalam mesin basuh mampu mengeluarkan mikroplastik di dalam bentuk serat (fiber) melebihi 1,900 helai serat.

Di Malaysia, kajian yang dijalankan oleh ahli penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati, bahan pencemar dibasuh di dalam mesin basuh, plastik mikro di dalam bentuk mikrofiber berupaya terkeluar daripada pakaian ke dalam air sisa basuhan.

Plastik mikro juga didapati hadir di dalam air sisa basuhan mesin basuh melibatkan kawasan Greater Kuala Lumpur seperti yang diterbitkan di dalam jurnal antarabangsa, Environmental Science and Pollution Research pada bulan September 2020.

Hasil kajian ini juga mendapati plastik mikro di dalam air sisa basuhan adalah di antara 6.9E-3 dan 0.183g/meter padu dengan purata panjang 2258.59 μmikrometer. Ukuran ini merupakan berat partikel yang keluar dalam air sisa mesin basuh.

Bentuk plastik mikro pula terdiri daripada serat erta serpihan yang kebanyakannya terdiri daripada jenis pakaian nilon, akrilik dan polyester.

Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan dengan kehadiran plastik jenis itu di dalam air sisa basuhan mesin.

Antaranya, jenis pakaian yang dimasukkan di dalam mesin basuh, jenis dan usia mesin basuh yang digunakan, tempoh proses pembasuhan serta bahan pencuci  yang digunakan.

Kajian ini juga mendapati lebih daripada 90 peratus daripada responden dari kawasan Greater Kuala Lumpur menggunakan mesin basuh jenis top loading.

Hasil kajian luar negara mendapati bahawa mesin basuh jenis mesin basuh jenis top loading menyumbang tujuh kali lebih banyak plastik mikro semasa mencuci daripada mesin basuh jenis front loading.

Oleh kerana 91 peratus daripada responden menggunakan air pada suhu bilik semasa proses pembasuhan, suhu air dilihat bukan faktor yang perlu dikaji dengan lebih mendalam di Malaysia berbanding negara-negara Eropah yang menggunakan air sejuk bagi proses pembasuhan mereka.

Dalam pada itu, walaupun terdapat penapis dipasang di dalam mesin basuh, ia perlu dibersihkan setiap tiga atau empat bulan sekali bagi memastikan keberkesanannya dalam memerangkap serat dan peratusan kecil plastik mikro yang terbebas semasa proses pembasuhan.

Bagi kebanyakan mesin basuh front loading, penapis akan berada di sudut kanan bawah di bahagian luar mesin basuh manakala top-loading, penapis diletakkan sudut kanan bawah mesin.

Kajian oleh The Swedish Environmental Protection Agency mendapati, keberkesanan alat penapis yang sedia ada di dalam mesin basuh ini mampu memerangkap sebilangan kecil saja amaun plastik mikro yang terbebas di dalam air sisa basuhan.

Namun demikian, alat penapis yang sedia ada di dalam mesin basuh perlu dibersihkan untuk memastikan ia dapat memerangkap sebilangan kecil amaun plastik mikro yang terbebas.

Air sejuk dilihat mampu mempengaruhi plastik mikro terkeluar daripada pakaian ke dalam air sisa basuhan mesin.

Selain itu, 69 peratus daripada responden tidak mengasingkan jenis dan membasuh semua jenis pakaian sekali gus di dalam mesin dengan jumlah basuhan 21 hingga 40 minit.

Tambahan lagi, lebih 50 peratus responden menggunakan sabun pencuci jenis larutan di dalam mesin basuh.

Faktor-faktor ini dilihat mampu mempengaruhi pengeluaran plastik mikro di dalam air sisa basuhan yang perlu dikaji dengan lebih mendalam.

Walaupun dapatan ini memerlukan kajian mendalam bagi mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran plastik mikro daripada pakaian di dalam mesin basuh, hasilnya dapat dimanfaatkan sebagai medium untuk meningkatkan kesedaran pengguna, industri teksil dan penggubal dasar di Malaysia mengenai pencemaran senyap yang berupaya memberikan kesan yang berbahaya kepada alam sekitar dalam jangka masa yang panjang.

Di negara-negara membangun yang sudah mempunyai kesedaran mengenai kesan plastik mikro daripada air basuhan, pengeluar alat perkakas mula menghasilkan inovasi alat tapisan bagi menyingkirkan mikroplastik di sumber pelepasan sisa air basuhan mesin basuh sebelum disalurkan ke dalam sistem air kumbahan.

Namun demikian, keberkesanan alat tapisan yang dihasilkan dalam penyingkiran plastik jenis itu dalam air basuhan sebelum disalurkan ke dalam sistem air kumbahan masih giat dijalankan.

Oleh yang demikian, sehingga terdapatnya alat bagi menyingkirkan plastik mikro di dalam air basuhan, pencemaran plastik mikro daripada air basuhan dijangka berterusan ke sistem air kumbahan.

 

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM),

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya