MENJADI sasaran kecaman netizen sejak beberapa bulan lalu, nama Ali Puteh mungkin antara yang cukup popular di laman sosial ketika ini. Malah bukan sesuatu yang mengejutkan untuk melihat ada yang menggelarkan ahli kumpulan Puteh ini dengan pelbagai perkataan tidak manis. Dalam keadaan ini mungkin ada yang membayangkan pelawak ini sedang berhadapan dengan waktu yang sukar.
Namun benarkah adik kepada pelawak Allahyarham Abam ini berada dalam keadaan tertekan. Berkongsi kisah dengan Utusan Malaysia tentang apa yang dilaluinya dalam tempoh beberapa bulan ini. Kata Ali dia sebenarnya berada dalam keadaan yang cukup tenang.
“Sepanjang tempoh ini apa yang boleh dikongsi, saya berada dalam keadaan yang tenang. Benar menerima pelbagai kecaman di media sosial mungkin akan menjadi sesuatu yang menyakitkan tetapi bukan kepada saya. Sebab sebagai seorang ketua keluarga, fokus saya adalah untuk melindungi keluarga saya.
“Saya akui pernah tertekan, tetapi bukan kerana kecaman netizen. Keadaan yang membuatkan saya cukup tertekan ketika itu adalah disebabkan kehilangan anak dan abang saya,” katanya.
Dituduh dengan kata-kata kesat selain turut mendapat gelaran penunggang agama, makan harta anak yatim dan sebagainya. Kongsi Ali dia cukup bersyukur untuk sentiasa didekati dengan mereka yang banyak membawanya ke arah kebaikan. Malah dia juga sehingga kini masih menerima nasihat seorang ustaz yang juga rakan baik dia dan arwah abangnya.
“Apa sahaja saya buat tidak kena di mata netizen. Berkopiah juga tidak boleh. Ada sahaja kata-kata negatif yang akan ditinggalkan. Bagi saya soal ini sedikitpun tidak merunsingkan sebab saya sering menerima nasihat agar sentiasa memaafkan orang-orang seperti ini.
“Sebab itu saya tidak pernah menyimpan dendam selain turut berharap apa yang dilalui saya ini tidak dilalui mereka,” jelasnya.
Tidak pernah gentar untuk berhadapan dengan netizen, Ali atau nama sebenar, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Rizuan, 31, memberitahu, ketika ini dia cukup terbuka untuk bertemu sesiapa sahaja. Malah tiada istilah untuk dia hidup dalam ketakutan memandangkan hari-hari yang dilaluinya masih sama. Walaubagaimanapun ada amaran yang mahu disampaikan Ali kepada pengguna laman sosial di luar sana.
“Apa boleh saya cakap mereka yang menulis kecaman di laman sosial ini hanya berani dalam ruangan itu sahaja. Tetapi bila ajak berjumpa ada yang sudah menyekat saya dan sebagainya. Malah ketika berada di luar juga tiada yang datang menghemburkan kata-kata secara berdepan, itulah realitinya.
“Namun dalam tempoh ini segala kecaman yang ditinggalkan untuk saya sedikitpun tidak memberi kesan. Tetapi jika ada yang terlalu melampau sehingga menganggu emosi keluarga saya, ada tindakan undang-undang yang akan saya ambil dalam memberi pengajaran kepada mereka ini,” katanya tegas.
Dulu semeja kini sendiri
Tidak berselindung memberitahu ada rakan-rakan artis yang menunjukkan warna sebenar diri. Tambah Ali sebagai seorang anak seni dia tahu ini adalah adat dunia. Malah dia sedikit pun tidak melihat perlu rasa sesal mengetahui akan perkara sebenar.
“Saya tidak nafikan memang ada rakan-rakan dahulu yang dahulu baik kini tidak lagi mahu dikaitkan. Saya faham ada yang tidak mahu terkena tempias kecaman. Mungkin ini berkaitan soal periuk nasi jadi saya sedikit pun tidak terasa. Bagi saya ini adalah adat dunia.
“Arwah abang saya pernah beritahu, tidak mengapa orang tidak suka sebab akhirnya tanggungjawab utama kita adalah untuk memastikan ada makanan atas meja untuk keluarga.
“Namun apa yang saya tidak sangka saat kehilangan mereka yang saya rapat ketika ini, hadir mereka yang cukup-cukup ikhlas dalam berkongsi nasihat dengan saya. Malah ada juga yang sentiasa menyampaikan kata-kata semangat buat saya,” katanya.
Bercakap soal karier, ulas Ali tiada apa yang mampu diterangkan jelasnya ini berkaitan soal rezeki. Tahu tidak mampu mengawal apa yang berlaku dia tidak pernah salahkan sesiapa dalam soal ini.
“Memang ada beberapa tawaran yang dibatalkan, saya faham ada pihak yang tidak mahu melibatkan artis yang kontroversi dalam produk mereka. Dalam soal ini saya lihat soal rezeki bukan kawalan kita dan saya akan tetap berusaha.
“Tetapi Alhamdulillah ada juga yang masih percaya dengan kemampuan saya tanpa menilai apa yang dilalui. Bila saya tanya mengapa memilih saya, bagi mereka dalam keadaan sekarang kontroversi yang berlaku tidak ada kena mengena dengan bakat saya dalam bidang seni,” katanya lagi.
Tunggu kehadiran ‘Syed Umar’
Bakal menimang anak ketiganya tidak lama lagi. Ali cukup bersyukur dalam kesulitan ini dia turut dihadiahkan dengan rezeki yang tidak ternilai. Ternyata selepas kematian anak keduanya Sharifah Nur Ainul Mardhiah, akibat komplikasi jantung dan pemergian Abam tentunya ini amat menggembirakan dia dan isterinya Melati Fitri Abdullah.
“Alhamdulillah ketika ini memang isteri saya sedang menunggu hari saya untuk melahirkan anak ketiga saya. Jika tiada apa saya akan mendapat anak lelaki, sebab mengikut imbasan yang dibuat doktor, memberitahu saya akan mendapat anak lelaki.
“Insya-Allah jika semuanya mengikut perancangan, saya juga sudah meminta izin ibu saya untuk menamakan anak saya ini kelak dengan nama arwah abang saya, Syed Umar Iskandar. Ikutkan nama Iskandar itu memang menjadi pilihan abang saya juga untuk anak dia sebelum ini, ”ujarnya.
Mengelak untuk berkongsi gambar keluarga dan isterinya ketika ini, kata Ali dia lebih rela berhadapan netizen seorang diri tanpa melibatkan isteri dan anak-anaknya.
“Bila saya kongsi gambar dengan isteri dan anak ada yang turut mengecam mereka dengan pelbagai kata-kata tidak elok. Sebab itu saya memilih untuk berkongsi gambar keluarga saya di laman sosial, sebab saya tidak mahu mereka turut terpalit.
“Mujur isteri saya tidaklah terlalu tertekan dengan keadaan ini, sebab saya juga sudah jelaskan kepada dia yang kita tidak akan mampu berlawan dengan netizen, jadi dia juga faham,” jelasnya.










