Oleh Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad
Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik penciptaan. Dianugerahkan akal untuk menguruskan kehidupan dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Sudah tentu kewujudan kita di dunia ini mempunyai tujuan yang besar.
Allah SWT menyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: Aku tidak cipta jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku. (Zariyat: 56)
Hubungan manusia dengan pencipta mestilah utuh dan kuat. Syukur dengan nikmat yang dianugerahkan dengan cara taat dan patuh perintah-Nya. Allah SWT mensyariatkan banyak ibadah. Yang paling tingginya ialah kalimah tauhid dan terakhirnya membuang perkara yang menyakiti di jalan.
Solat adalah satu ibadat yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Paling hampir manusia dengan tuhannya ialah ketika sujud maka perbanyakkan doa. (Riwayat Muslim).
Jika seorang tukang melihat hasil kerjanya sama ada kerusi atau meja dan melihat ada kerosakan sudah tentu tukang tersebut akan memperbaikinya. Begitulah juga ketika hamba solat iaitu mengadap Allah SWT yang menciptanya sudah tentu Allah akan memakbulkan doanya dan memperbaiki kehidupan hambanya.
Nabi SAW menjadi uswah (contoh) yang terbaik dalam melakukan solat. Baginda SAW melakukan solat dengan sempurna dan berqiyam waktu malam sehingga bengkak kakinya. Perbuatan tersebut adalah untuk mencari reda Allah dan menjadi hamba yang bersyukur.
Setiap kali menghadapi situasi yang genting, perkara pertama yang NAbi SAW lakukan ialah solat. Begitulah gambaran betapa pentingnya solat dalam kehidupan Rasulullah SAW.
Para sahabat r.a menerima didikan dan asuhan secara langsung daripada Rasulullah SAW. Mereka adalah kumpulan yang sering melakukan solat sehingga disifatkan dalam ayat terakhir surah al-Fath: Muhammad adalah
Rasulullah. Orang yang bersamanya amat berkasih sayang antara mereka dan bersikap tegas terhadap golongan kuffar. Kamu sentiasa melihat mereka berada dalam keadaan rukuk dan sujud hanya kerana mereka mahu mencari reda tuhan mereka… (al-Fath:29).
Sehinggalah apabila pihak musuh datang mengintip apakah latihan atau amalan yang dilakukan oleh para sahabat kerana selalu menang dalam peperangan, mereka balik kepada pemimpin mereka dengan berkata: Pada waktu malam mereka kuat beribadat seperti rahib dan pada waktu siang mereka adalah panglima perang yang gagah.
Mendirikan solat dengan sempurna dengan semua rukun dilakukan mengikut aturannya akan memberi kesan yang besar dalam kehidupan manusia. Firman Allah: Sesungguhnya solat mampu mencegah dari melakukan perkara yang keji dan mungkar. (al-‘Ankabut: 45).
Setiap muslim diarah bertaubat dengan menyesal perbuatan mungkar yang lepas. Salah satu cara menggugurkan dosa ialah mendirikan solat. Nabi SAW telah memberi perumpamaan kehidupan muslim yang beribadat dengan sebatang sungai.
Baginda SAW bertanya kepada sahabatnya: apa pendapat kamu jika sebatang sungai berada di pintu rumah kamu dan kamu mandi setiap hari sebanyak lima kali adakah masih ada kekotoran di badannya? Para sahabat menjawab: sudah tentu tidak ada kekotoran pun. Baginda SAW berkata: begitulah perumpamaan solat lima waktu, Allah SWT menghapus segala dosa dengan sebab solat.
Jika diperhatikan dalam lafaz azan yang dilaungkan oleh muazzin terdapat panggilan supaya melakukan solat. Dan selepasnya panggilan untuk mencapai kejayaan. Maksudnya kejayaan yang sebenar adalah jika hamba patuh dan beribadat kepada Allah SWT.
Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya telah berjaya orang beriman. Yang dalam solatnya mereka khusyuk (al-Mukminun:1-2)
Justeru, dekatkan diri kepada Allah dengan melakukan solat. Ajaklah kaum keluarga dan sahabat untuk melakukan solat jika masuk waktunya. Kepada mereka yang leka dan lalai mendirikan solat dan mengadu kesusahan hidup, kerjakanlah solat dengan sebaiknya, perelok hubungan kita dengan Allah maka Allah akan berikan kehidupan yang baik untuk kita.
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.










