Saya tetap ‘gila’ - Utusan Malaysia

Saya tetap ‘gila’

Iq mahu kembali merancakkan dunia seni setelah beberapa tahun ‘memerhati’ gelagat pemain industri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAR sebenarnya menggali apa yang ada dalam benak fikiran pelakon lelaki ini. Dia seperti menyimpan seribu satu rahsia dan hanya tuhan yang tahu, isi hatinya.

Bersua bicara dengan Iq Dinzly, dia cukup santai bila berbicara. Sopan dalam melontarkan jawapan, tidak ‘segila’ seperti dalam persepsi masyarakat. Mungkin ada yang gerun bertemunya, namun percayalah dia baik-baik sahaja.

Mengakui mengambil masa lama untuk bernafas kembali menghirup udara ruang seni, dia mengkaji apa yang berlaku di dalam media sosial. Masih ada persepsi negatif masyarakat terhadap dirinya.

Dikata gila, otak tak sihat dan pelbagai lagi label yang cukup mengguris hati, Iq teguh berdiri. Dia percaya, ada sinar yang menanti di sebalik awan hitam yang bergulung. Tidak usah dia ikutkan rentak negativiti.

“Memang, saya tetap gila. Saya tak mahu dengar apa orang cakap. Selalu main emosi dan kemahuan sendiri. Mungkin itu yang masyarakat tidak boleh hadam. Jadi jalan pintas, kecam dan gelar saya dengan pelbagai label.

“Saya memang mahu kembali beraksi dalam industri tetapi ‘kecewa’ itu masih ada. Situasi tidak sihat industri turut memaksa saya jadi begini. Tetapi tiada yang cuba faham dan akhirnya mereka mengecam dan terus mengkritik.

“Jangan anggap kemurungan itu sebagai sesuatu yang menyedihkan. Itu adalah ujian tuhan untuk angkat darjat kita ke tahap lebih tinggi. Percaya dengan percaturan tuhan,” jelas pelakon Dunia Baru ini.

Kembali melangkah dengan nafas lebih segar, Iq berkolaborasi dengan penyanyi duo, Aishahanim menerusi lagu Leka. Berkonsepkan kerohanian, lagu tersebut menampilkan pelakon itu sebagai penyanyi rap. Bukan biasa-biasa.

Malah, semasa majlis pelancaran single baharu itu baru-baru ini, Iq sempat menunjukkan bakat lakonan menerusi gimik mengamuk kerana lambat sampai ke lokasi. Kejutan tersebut membuatkan tetamu yang hadir meluahkan rasa rindu menonton lakonan Iq.

“Saya sebenarnya sudah lama kenal dengan penyanyi duo itu. Bersahabat cukup lama. Jadi mereka berani untuk tawarkan saya peluang berkolaborasi menerusi lagu Leka.

“Alhamdulillah, mereka tetap percaya dengan bakat dan kemampuan saya. Paling penting, ini adalah antara sebab saya mahu kembali ke dunia seni,” jelas pelakon yang sering dihimpit kontroversi dek perkongsian video di media sosial.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN