Oleh Dr. Ayman al-Akiti
Alhamdulillah, segala syukur kepada Allah SWT, atas kejayaan berlangsungnya Multaqa Ahli Jawatankuasa (AJK) Fatwa bagi seluruh negeri-negeri di Malaysia yang diadakan di Hotel Sama-Sama, Sepang, baru-baru ini.
Acara yang sudah lama ditunggu-tunggu menjadi lebih berseri dan berkat, kerana telah dirasmikan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Multaqa ini dianggap penting kerana selain usaha menyelaras kefahaman hukum-hakam dan fatwa negeri-negeri Malaysia di peringkat kebangsaan dalam kalangan Ashab al-Samahah Mufti-mufti di Malaysia. Ia juga usaha untuk menyelaras di peringkat AJK-AJK Fatwa di mana mereka memiliki peranan yang sangat penting di dalam institusi kefatwaan negara.
AJK-AJK Fatwa negeri-negeri seluruh Malaysia ini berperanan besar dalam membantu Sahib al-Samahah Mufti di negeri masing-masing untuk mengeluarkan fatwa dan mereka juga mendapatkan tauliah dari Sultan yang memerintah di negeri tersebut.
Salah satu resolusi dan cadangan yang dihasilkan dalam multaqa ini adalah meletakkan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) serta manhaj akidah Asy’ariyyah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri di Malaysia. Ini amat disokong dan didokong, seperti yang dicatatkan oleh Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar di dalam FB beliau.
Andai perkara ini dilaksana, Malaysia akan makin kukuh menjadi negara yang kuat mempertahankan ASWJ di mata dunia. Selain itu, menjadi negara yang sudah sekian lama bersikap moderate (wasatiy) atau kesederhanaan dalam penghayatan Islamnya seperti yang dipegang oleh Universiti al-Azhar, Universiti al-Qarawiyyin dan Universiti al-Zaytounah.
Selama ini, ASWJ dengan manhaj Asy’ariyyah dalam akidah terlihat kuat diperjuangkan di peringkat negeri sahaja. Contohnya, Negeri Sembilan yang menjadi negeri pertama mewartakan Enakmen Tarekat Tasauf.
Negeri Johor pula dilihat sangat tegas memperkasakan ASWJ di seluruh masjidnya dan menolak sebarang pengaruh yang dianggap menyeleweng seperti Syiah dan Wahabi. Sabah pula berjaya meletakkan definisi ASWJ sebagai Asy’ariyyah dan Maturidiyyah dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri 1995 melalui pindaan tahun lalu, seperti disebut Mufti Sabah.
Negeri-negeri lain pula giat melakukan kursus, pengajian dan penerangan tentang definisi ASWJ iaitu ulama Asy’ariyyah dan Maturidiyyah.
Selain resolusi dan cadangan yang penuh bernas ini, beberapa langkah boleh diambil oleh institusi fatwa Malaysia agar dapat memartabatkan fatwa-fatwa mereka, mudah diterima oleh masyarakat dan ahli akademik tempatan dan luar negara.
Dalam mengeluarkan fatwa, ia memerlukan kepada ahli-ahli yang betul-betul memiliki kepakaran dalam ilmu yang akan difatwakan. Maka oleh itu, harapannya Ashab al-Samahah para mufti Malaysia harus betul-betul teliti dalam melantik pasukan kajian atau unit buhuth di jabatan mereka.
Ini kerana sesuatu ilmu apabila dibicarakan oleh bukan ahlinya, maka akan lahir beribu jenis kepelikan. Bagaimana mungkin seorang bidang hadis yang tidak menceburi ilmu tasauf berfatwa dalam hal tasauf?
Mungkin inilah sebab Jabatan Mufti Negeri Sembilan membentuk Jilsah Thuruq Sufiyyah sebagai dewan pengukur tarekat-tarekat tasauf. Mungkin perkara ini juga disedari di peringkat kebangsaan di mana Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membentuk Panel Pakar Tasauf untuk menilai isu-isu dalam bidang tersebut.
Selain itu, institusi-institusi fatwa di Malaysia mungkin perlu sedikit berani untuk memastikan setiap fatwa yang dikeluarkan perlu transparensi dan dapat diakses oleh ahli akademik dan awam. Ini penting kerana fatwa diharap dapat diterima oleh masyarakat.
Maka ulama perlu menjelaskan dengan hujah-hujah yang kuat sehingga dapat dinilai dan dikaji dengan adil. Ahli akademik pula amat berharap dapat membaca hujahan-hujah yang menjadi pertimbangan keluarnya fatwa tersebut.
Cuba bandingkan dengan institusi-institusi fatwa dunia yang terkenal seperti Dar al-Ifta’ Mesir (Lembaga Fatwa Kerjaan Mesir), Lembaga Fatwa Jordan dan Majlis Ilmi A’la Maghribi; semuanya memasyhurkan fatwa mereka lengkap dengan sumber rujukan serta hujahan untuk dibaca dan dilihat oleh semua orang. Lebih menarik, Majlis Ulama Indonesia (MUI) juga sangat telus dalam fatwa mereka.
Nahdatul Ulama salah satu NGO Islam terbesar dunia juga mengadakan muzakarah fikah secara terbuka. Bahkan Kementerian Agama Indonesia ketika melakukan ‘Sidang Isbat Anak Bulan’ juga ditayangkan secara langsung di TV perdana Indonesia.
Supaya fatwa lebih kuat, maka perkara-perkara ini boleh menjadi pertimbangan kepada institusi-institusi fatwa di Malaysia agar lebih mudah dan setidak-tidaknya menjadi bahan ilmiah kepada para akademik yang menjadi bahan untuk melakukan kajian-kajian akademik di institusi mereka.
Apapun itu, kejayaan multaqa ini adalah perkara yang perlu dibanggakan dan penulis mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat, terutamanya Jakim sebagai urus setia. Syabas!
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)










