Amar bukan jenis goyang kaki! - Amyra - Utusan Malaysia

Amar bukan jenis goyang kaki! – Amyra

Amyra Rosli - MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melangkah anggun dengan senyuman manis terukir di wajah, tidak keterlaluan jika ada yang melabel pelakon ini sebagai bintang seni yang bakal bergelar seorang primadona. Namun, itu jika dia bijak melukis kanvas seninya.

Sementelah, dunia seni dinihari tidak seperti dahulu. Kejayaan seseorang diukur selari bakat dan populariti dalam media sosial. Maka, sukar untuk kita menentukan hayat seseorang dalam industri.

Bersua bicara dengan Amyra Rosli, tutur kata sopan dan lembutnya pasti mencuri hati siapa yang mendengar. Cukup santun melontar jawapan, pengalaman hampir sembilan tahun berkelana merentas lautan seni banyak mengajar.

Melihatkan dia lebih ke depan berbanding suami yang juga seorang pelakon, Amar Baharin, ada yang mula bertanya, benarkah dia kini menanggung keluarga? Sementelah kejayaan drama Nur antara sebab Amyra kini menjadi rebutan produser drama tempatan.

Hanya tergelak seraya menggelengkan kepala, Amyra menegaskan suaminya bukan jenis goyang kaki kira duit di rumah. Sebaliknya, Amar lebih rajin bekerja mencari rezeki demi kelangsungan hidup mereka empat beranak.

“Alhamdulillah, saya sangat bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya memang jarang kongsi tentang peribadi dalam laman sosial. Mungkin sebab itu ada yang beranggap jahat sebegitu. Tiada istilah tanggung suami atau keluarga pun.

“Amar sendiri sentiasa ada jalan untuk tambah rezeki. Dia tahu tanggungjawab sebagai suami. Kalau tiada tawaran sekalipun, dia pasti ada jalan. Saya pun tidak kisah untuk membantu keluarga. Adat berumah tangga kan?” jelas pelakon berusia 29 tahun ini.

Tiada kecil hati atau tersinggung dek desas desus itu, di relung mata Amyra, jelas dia bahagia melayari bahtera rumah tangga bersama suami. Masing-masing tahu peranan. Tidak ada yang lupa diri atau berat tulang.

Malah, dia yang juga anak kepada pemain industri tahu benar selok belok dunia seni. Baginya, sudah menjadi kebiasaan jika ada pihak mula beranggapan yang bukan-bukan. Itu adalah lumrah, jika ambil kisah pasti hati sendiri terluka.

“Kami berdua (bersama Amar) sudah matang. Sekarang kalau kami cakap pun terus terang, tidak ada istilah simpan dalam hati. Kepercayaan itu penting. Semua orang buat silap, sekarang tugas kita untuk saling memahami.

“Saya lahir dari keluarga yang juga pemain industri. Malah, saya lebih selesa berkawan dengan ahli keluarga. Kalau nak cakap tidak ramai kawan sepermainan satu industri, memang betul. Sebab saya memang suka buat hal sendiri.

“Tapi tak bermaksud saya tidak selesa atau kenal sesiapa. Ada juga kenalan dalam industri tetapi lebih rapat dengan keluar­ga. Kawan boleh pilih tetapi keluarga tidak,” kata bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini.

Atur langkah seni

Mencetus fenomena dengan watak Nur, pelakon ini sudah terbiasa andai sahaja peminat yang memanggilnya dengan nama itu. Dia seharusnya berbangga kerana berjaya mencipta kejayaan menerusi watak cukup ikonik itu.

Namun timbul persoalan, adakah jenama Nur itu selamanya mengunci kaki pelakon cantik itu? Mampukah dia mewarna kanvas seninya dengan watak ikonik lain? Adakah dia terlalu selesa berdiri sebagai Nur semata?

Mengakui bukan mudah menerima tawaran watak ikonik seperti itu lagi, Amyra bagaimanapun sedar dia perlu menambah rempah ratus dalam masakan seninya. Tidak hanya berputar dalam satu ruang sahaja.

“Nur adalah rezeki yang cukup saya syukuri. Memilih watak itu penting tetapi untuk pastikan sama ada drama tersebut meletup dan menjadi kegilaan ramai itu di luar bidang kuasa saya. Saya cuba yang terbaik menjiwai sesuatu watak.

“Saya tidak mahu terlalu mencuba dan memikirkan bagaimana untuk cari watak seperti Nur. Saya tak nak susahkan diri sendiri. Apa yang diutamakan, adalah kualiti lakonan. Mungkin ada drama lakonan saya kurang boom, tetapi sekurangnya saya sudah bagi yang terbaik.

“Nak keluar dari radar watak Nur itu bukan mudah dan ambil masa lama. Saya juga sudah bersedia kembali ke set penggambaran,” kata pelakon Kau Yang Satu ini.

Tidak menolak untuk mahu mula berniaga, jelas Amyra, dia sedar hayat seorang pelakon tidak ada tentunya. Populariti juga ada pasang surut. Maka, dia seharusnya perlu mula mencari ruang rezeki lain demi kelangsungan hidup.

Namun seperti biasa, dia dan suami belum ada produk untuk dipasarkan. Mereka berdua tidak mahu terburu-buru. Bagi Amyra, lebih baik dia perlahan mengatur strategi agar tak tersilap langkah.

“Memang itu perancangan saya dan suami. Oleh itu, Amar banyak luang masa mempelajari selok belok perniagaan. Dia mahu betul-betul merancang sebab bila bercakap soal duit ini, setiap peniaga ada untung ruginya,” katanya yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga.

Mahu terus menjamin kedudukan dalam industri, Amyra turut mengambil berat soal kecantikan dan jenama diri. Tidak hairan, selepas mengenakan hijab, dia sangat menjaga imej supaya selari dengan penghijrahannya.

“Bertudung bukan halangan. Kita sudah ada barisan pelakon wanita bertudung yang semuanya popular dan berjaya. Tidak ada yang pelik malah lebih selesa.

“Saya juga perlu minta izin suami sebelum menjayakan satu-satu drama. Malah, kini saya ibu kepada dua orang anak, kena bahagi masa dengan bijak, tak boleh fikir diri sendiri sahaja,” kata ibu kepada Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa ini. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN