Bustana Kucing lokasi kucing mendapat perlindungan. Di situ ia diberi makan, dimandikan dan dijaga dengan serapi mungkin. Tidak hairanlah sekiranya ada yang menganggap Bustana Kucing sebagai ‘syurga’ kucing gelandangan.
Insan berhati mulia, Mohd. Taufik Md. Zin, 54, berkata, rumah tersebut dibina selepas hatinya berasa kesal dan sayu melihat kucing gelandangan terbiar tanpa mendapat perlindungan.
“Sejak mengendalikan pusat ini, saya menanggung kos menjaga haiwan berkenaan RM20,000 bagi kira-kira 500 ekor kucing.
“Nasib baik setiap bulan saya mendapat sumbangan orang ramai terutama dalam kalangan pencinta haiwan comel ini,” ceritanya yang juga pengasas Bustana Kucing.
Pusat perlindungan haiwan terbiar itu terletak di Taman Ular Reptilia Perlis, Taman Batu Pahat dan semua kucing terbiar boleh dihantar ke sini tanpa kos.
Pusat itu meliputi tiga bahagian iaitu sangkar utama, ruangan kucing baharu dilahirkan serta tempat rawatan untuk haiwan sakit.
Mohd. Taufik berkata, pada masa depan beliau menyasarkan untuk memperluaskan sangkar bagi meningkatkan kapasiti kepada 3,000 hingga 4,000 ekor kucing dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Masalah pembuangan kerap berlaku pada kucing dewasa. Orang lebih tertarik ketika kucing masih kecil kerana ia comel, namun apabila sudah besar, kucing itu dibuang begitu sahaja,” katanya.
SAYANGI HAIWAN

Setiap manusia itu perlu menghormati haiwan. Kata Mohd. Taufik, kesedaran itu perlu kerana ia bukan sahaja dapat mengelakkan kekejaman terhadap haiwan malah mengurangkan masalah kucing terbiar.
“Walaupun kami mengadakan operasi menyelamatkan kucing seperti di masjid, sekolah, universiti, taman perumahan dan sebagainya tetapi masalah kucing terbiar masih ada.
“Oleh itu, lebih baik komuniti tersebut mengambil langkah mengharmonikan persekitaran mereka dengan kucing. Masing-masing bekerjasama memberi makan dan kalau sakit bawalah haiwan itu mendapatkan rawatan,” katanya.
Pengunjung Taman Ular Reptilia Perlis turut berpeluang mengunjungi taman berkenaan untuk memberi makanan dan membelai kucing di situ.
“Saya kira cara itu membantu menanam rasa kasih terhadap kucing,” katanya.
Apa pun, usaha insan baik budi ini berbaloi kerana ia menjadi tarikan pelancongan yang baharu di Perlis.