fbpx

24 September 2020, 4:57 pm

  TERKINI

Tiga sahabat buktikan projek tanaman buah tin menguntungkan

AHMAD Shahrin Ismail (tengah) menunjukkan pokok buah tin yang ditanamnya di Sungai Soi, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOHAMAD AZIM FITRI ABD. AZIZ

 

Bermula dengan hanya menanam di kawasan rumah sebagai hobi mengisi masa lapang ia bertukar menjadi aktiviti ekonomi yang menjana pulangan lumayan apabila tanaman buah tin yang diusahakan secara komersial mula membuahkan hasil.

Bagi Ahmad Shahrin Ismail, 39, tanaman buah tin jenis Masui Dauphine (MD) yang diusahakan di kawasan tanah seluas 0.4 hektar di Sungai Soi, Kuantan, sejak setahun lalu sudah mendatangkan hasil dan mendapat permintaan menggalakkan daripada penduduk di daerah tersebut.

Ahmad Shahrin yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat minyak memberitahu, dia bermula secara suka-suka dengan menanam buah tin di kawasan rumah sebelum mengusahakan secara komersial selepas mendapati tanaman itu mudah diuruskan selain mempunyai banyak khasiat.

Melihat ia satu peluang keemasan, dia bersama dua lagi rakannya Rosdan Omar, 56, dan Zulkefli Ramli, 44, mula berkongsi modal sebelum mencari kawasan tanah bersesuaian.

“Selepas kami berbincang dan membuat kajian akhirnya kami putuskan untuk menanam buah tin jenis MD ini secara komersial.

“Kami kemudian jumpa lokasi yang sesuai di Sungai Soi dengan kadar sewaan RM1,200 sebulan dengan kontrak lima tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bapa kepada empat anak itu memaklumkan, selepas setahun mengusahakan tanaman buah tin itu modal yang dikeluarkan mereka bertiga kira-kira RM200,000 meliputi kos mengupah pekerja, baja, pembinaan struktur pelindung hujan (SPH) dan kos operasi.

Anak kelahiran Kuala Terengganu itu memberitahu kini dia boleh tersenyum apabila pulangan yang dijana hasil penjualan buah tin itu cukup memberangsangkan.

Berkongsi lebih lanjut Ahmad Shahrin berkata, lebih 600 pokok tin sudah ditanam dan berbuah dengan baik hingga kini.

Menurutnya, sepokok tanaman tersebut mampu menghasilkan antara 90 hingga 120 buah dalam satu musim.

“Tempoh semusim buah tin enam bulan, dan dalam tempoh tiga bulan ia sudah boleh dipetik dan dijual.

“Kami turut menawarkan kepada pembeli untuk merasai pengalaman memetik sendiri buah tin di ladang.

“Kami pasarkan buah tin ini pada harga RM20 bagi setiap 250 gram dan turut dijual dalam kuantiti yang besar bergantung kepada permintaan,” katanya yang berhasrat meluaskan lagi kawasan penanaman pada masa depan.

 

 

Menurut Ahmad Shahrin, penjagaan pokok buah tin tidaklah sukar seperti yang disangka. Tanaman tersebut mudah diurus dan lebih subur dalam keadaan cuaca panas dan kering.

Katanya, iklim Khatulistiwa amat sesuai dengan tanaman buah tin kerana ia panas sepanjang tahun dan tidak mempunyai musim sejuk seperti di negara Asia Barat .

Menurutnya, bagi memastikan pokok tin tumbuh subur, tanaman tersebut hendaklah dibaja setiap hari selain perlu ditanam pada jarak antara satu hingga lima meter.

“Kerja-kerja memangkas juga perlu dilakukan selepas habis satu musim bertujuan memastikan dahan yang baru tumbuh dan menghasilkan buah yang lebih baik,” katanya.

Ahmad Shahrin berkata, segala usaha dan pelaburan dibuat bersama rakan kongsi tidak akan berjaya jika tidak dibantu pekerjanya Muhammad Qayyum Mohd. Shaimi, 24, yang berpengalaman dalam mengurus serta menanam pokok tin.

Katanya, dia tidak mengikuti mana-mana kursus daripada agensi kerajaan atau profesional sebaliknya banyak mempelajarinya daripada rakan-rakan yang telah menanam atau mempunyai ladang buah tin.

“Saya mewujudkan kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada penanam buah tin, daripada situ kami bertukar maklumat dan bertanya mengenai cara menguruskan buah tin secara lebih sistematik dan tersusun,” katanya.

Segala usaha dan penat lelah bersama rakan kongsi itu kini berjaya membuka mata banyak pihak.

Ini termasuklah antaranya Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang sudi menawarkan bantuan diperlukan selain menjalinkan kerjasama strategik untuk memajukan tanaman yang diusahakannya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN