fbpx

24 September 2020, 5:08 pm

  TERKINI

Romli sang penglipur lara

ROMLI Mahmud ketika menjayakan persembahan Awang Batil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hei! Riuh rendah gegak gempita, Inilah hamba nak mula cerita, Hang tengok kat aku, aku tengok kat hang, Hang kuit aku, aku kuit kat hang, Hang gelak kat aku, aku gelak kat hang, Hang jeling kat aku, aku jeling kat hang, Hang kejip mata, aku kenyut misai, Hei beginilah mula ceritanya…

Itu bait-bait ayat pembukaan hikayat Awang Batil yang kebanyakan ceritanya diselitkan dengan unsur komedi tetapi mengandungi nasihat untuk masyarakat.

Jika melihat penonton mula merasa sedikit bosan dalam setiap kali persembahan, alatan muzik tambahan seperti biola, serunai dan rebana akan dimainkan bagi menaikkan kembali semangat mereka yang mengikuti cerita-cerita Awang Batil.

Baru-baru ini, wartawan Utusan Malaysia bersama beberapa rakan mengunjungi rumah Romli Mahmud di Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis.

Mereka bertuah apabila pewaris terakhir Awang Batil itu meluangkan masa bermain alatan muzik seperti biola, rebana dan serunai iaitu antara komponen dalam persembahan Awang Batil.

Sebagai anak seni berpengalaman, gesekan biola dan tiupan serunai lagu-lagu irama asli lama dan moden yang dimainkan Romli dengan penuh perasaan menyentuh perasaan kami.

Kami juga tidak kering gusi mendengar telatah Romli ketika bercerita. Itulah perwatakan Romli yang mengambarkan bakat semula jadi warga emas tersebut sebagai penglipur lara terakhir di negeri ini.

Romli, 66, lebih mesra dengan panggilan Bang Li berkata, dia mula aktif dalam persembahan Awang Batil sejak berusia lapan tahun dengan mengikut dan membantu bapanya membuat persembahan pada majlis-majlis perkahwinan serta memenuhi jemputan dari dalam dan luar negeri ini.

“Semua cerita (Awang Batil) ini ada dalam kepala Bang Li, tidak perlu letak buku di depan ketika membuat persembahan.

“Kita kena spontan dalam menyampaikan cerita kemudian diselitkan dengan lagu-lagu.

“Lagu-lagu pula mengikut kesesuaian, kalau Awang tengah sedih, kita main lagu sedih, kalau Awang gembira kita masukkan lagu-lagu rancak dengan unsur-unsur lawak.

Kebanyakan cerita Awang Batil berbentuk sindiran mengenai isu-isu semasa dalam masyarakat.

“Zaman dahulu, kami main dekat kampung-kampung untuk hiburkan orang termasuk pada majlis-majlis perkahwinan. Kalau dulu setiap satu-satu cerita Awang,” ujarnya.

 

Topeng berusia ratusan tahun yang digunakan Romli Mahmud ketika membuat persembahan Awang Batil.

 

JKKN Perlis perkenal program perantisan Awang Batil

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis telah memperkenalkan program perantisan Awang Batil bagi menarik generasi muda mendekati dan mempelajari kesenian tersebut dengan lebih mendalam sekali gus mempertahankan warisan dan budaya berkenaan daripada pupus ditelan zaman.

Pengarahnya, Megat Adnan Megat Ridzuan berkata, pihaknya juga secara berterusan mengadakan program termasuk bengkel dan seminar berkaitan kebudayaan Awang Batil.

Katanya, program-program berkenaan bukan sekadar berbentuk persembahan sebaliknya merangkumi aspek seperti penggunaan peralatan muzik dan prop yang digunakan dalam persembahan Awang Batil.

“Dunia digital yang mengaplikasikan teknologi terkini juga turut digunakan bagi menyebar luaskan ilmu warisan tradisi ini (Awang Batil) kepada khalayak ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Perlis baru-baru ini.

Tambah Megat Adnan, program perantisan Awang Batil yang diperkenalkan sejak 2016 itu bertujuan mencungkil dan melahirkan pelapis-pelapis baharu yang berminat mempelajari seni warisan budaya negeri Perlis itu.

Katanya, pelapis berkenaan bukan sahaja dapat mempelajari ilmu tersebut sebaliknya berkemampuan mengadakan persembahan Awang Batil.

“Antara langkah-langkah yang diambil dalam mempertahankan seni ini ialah dengan mengangkat ketokohan penglipur lara Awang Batil iaitu Romli Mahmud sebagai Tokoh Seni Budaya pada tahun 2012 selain menyalurkan peruntukan kewangan bagi membina dan mengadakan bengkel latihan.

“Bengkel di kawasan rumah Romli itu bertujuan pembelajaran, latihan amali selain sebagai rujukan masyarakat khususnya untuk para pengkaji, penyelidik dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Selain itu, menurut Megat Adnan, pihaknya juga sentiasa menjemput tokoh Awang Batil mengadakan persembahan dalam program-program anjuran JKKN termasuk Kementerian Pelancongan,

Seni dan Budaya melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada di dalam mahu pun luar negara seperti di Jepun sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kesenian dan persembahan Awang Batil tidak pernah dilupakan meskipun kekurangan tokoh dalam kesenian berkenaan.

“Bagi mempelajari dan mendalami sebagai seorang penglipur lara Awang Batil bukan mudah kerana ia memerlukan masa yang panjang khususnya daripada segi penguasaan skrip dan penceritaan selain kebolehan bermain beberapa alatan muzik untuk persembahan Awang Batil.

“Kita akan terus berusaha bagi memastikan kesenian Awang Batil ini tidak pupus ditelan arus moden. Kesenian ini perlu dikekalkan sebagai salah satu keunikan seni budaya Malaysia,” katanya.

 

SEJARAH KEWUJUDAN SENI AWANG BATIL

» Kesenian yang cukup terkenal di Perlis itu menampilkan persembahan cerita-cerita rakyat berkisar kehidupan sedih dan lucu watak yang dikenali sebagai Awang Batil.

» Topeng, batil dan serunai adalah komponen penting dalam persembahan Awang Batil bagi menghidupkan jalan cerita yang turut diwarnai dengan dialog spontan, jenaka serta nyanyian.

» Pada asalnya, Awang Batil merupakan penglipur lara yang dikenali terlebih dahulu dengan nama Awang Belanga kerana menggunakan belanga sebagai muzik iringan.

» Dalam babak tertentu, Awang Batil akan memakai topeng bagi menceritakan watak sama ada hulubalang atau ahli nujum.

» Kebiasaannya, persembahan Awang Batil dijayakan semasa majlis perkahwinan malah dianggap satu kemestian dalam kalangan orang Perlis suatu ketika dahulu.

» Batil dan topeng yang digunakan oleh Romli dalam persembahan adalah barang peninggalan terdahulu berusia ratusan tahun.

» Cerita lazim disampaikan oleh Awang Batil ialah seperti Awang Akad Narak, Awang Kambing Berak Keluar Emas, Awang Golok Besar yang kesemua diselitkan dengan unsur komedi tetapi mengandungi nasihat.

» Cerita lain yang cukup popular seperti Raja Dewa Lok, Raja Bersiung, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Jabat Jabit, Abu Nawas dan Awang Ada Duit Semua Jadi.

» Berdasarkan mitos, Awang Batil berasal daripada kisah Awang yang dibenci masyarakat kerana lahir tanpa bapa. Ibu Awang, Mek Siti Galing, mengandungkannya setelah terminum air daripada lopak bekas kaki seekor gajah putih jadi-jadian.

» Dipulaukan masyarakat, Awang dibawa oleh gajah itu ke dalam gua untuk belajar bermain batil. Hasil kemahiran yang diperolehi itu, Awang menghiburkan orang ramai sehingga diterima kembali oleh masyarakat.

 

 

 

 

 

 

 

POPULAR

BERITA BERKAITAN