fbpx

MOST-Plus inovasi canggih patuhi SOP

Orang ramai mengambil kesempatan untuk mencuba penggunaan MOST-Plus di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin UiTM Shah Alam.

UMUM mengetahui situasi pandemik Covid-19 di negara ini masih belum pulih dengan jumlah kes yang direkodkan tidak menentu setiap hari.

Justeru, kerajaan kini menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka, pemeriksaan suhu badan dan sanitasi tangan. Bagi menyahut saranan itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan Internet Segala Benda (IoT) Malaysia (MARii)membangunkan alat pengesan pintar Covid-19 serba guna berteknologi tinggi.

Alat yang menggunakan Sistem Modular dan Terbuka (MOST-Plus) itu berfungsi khas untuk memeriksa suhu badan individu selain sanitasi tangan dan semburan automatik pada kasut.

Ia turut meliputi imbasan identiti dan penyediaan pelitup muka kepada individu yang diperiksa menerusi alat berkenaan. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof. Dr. Mohd Nazip Suratman berkata, teknologi alternatif itu dibangunkan penyelidik Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI) dan MARii sejak tiga bulan lalu.

MOST-Plus mengenengahkan konsep ‘karakuri’ iaitu konsep mekanikal yang membantu menaik taraf sistem dan pengurangan terhadap kebergantungan tenaga elektrik, pneumatik dan hidraulik.

“Teknologi tersebut menggunakan prinsip mekanikal iaitu tenaga tekanan kaki untuk menyahtasi sekali gus tidak memerlukan bateri atau tenaga elektrik.

“Seiring era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), MOST-Plus memberi penyelesaian integrasi automasi, pendigitalan data dan elemen mekanikal menerusi gabungan reka bentuk alat lebih ringan, tahan lasak dan kukuh,” katanya.

Baru-baru ini, alat pengesan pintar itu diperkenalkan secara rasmi sekali gus menjadikan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di negara ini yang berjaya membangunkan sistem alternatif tersebut.

Masjid UiTM Shah Alam, Selangor dan beberapa klinik kesihatan menjadi perintis awal penggunaan alat itu sebelum bakal diperluaskan di seluruh kampus universiti berkenaan kelak.

Kata Mohd Nazip, MOST-Plus dibangunkan dengan sistem perisian terbuka dan diprogramkan secara terperinci bagi memenuhi keperluan pengguna.

“Alat itu dapat mengambil bacaan suhu badan secara automatik dan status kesihatan pengguna tertera secara visual melalui lampu isyarat yang disediakan.

“Kad imbas bar kod digunakan untuk memberi kemudahan kepada pengguna tanpa perlu menulis atau menaip setiap kali mahu bergerak masuk ke kawasan baharu,” katanya.

Antara ciri-ciri tambahan lain adalah pemegang pelitup muka dan penyembur automatik kaki atau kasut yang amat berpotensi untuk digunakan di rumah ibadat, kilang, premis perniagaan dan lokasi tumpuan umum.

Mohd Nazip berkata, MOST-Plus dibangunkan bagi membantu mencegah penularan Covid-19 dengan menyediakan pelbagai penyelesaiaj dalam satu teknologi selain membantu komuniti dan pengusaha industri mematuhi SOP.

“Alat ini akan dikomersialkan di bawah MARii UiTM Satelit Nod yang akan dilancarkan sebelum hujung tahun ini.

“MARii UiTM Satelit Nod akan memiliki teknologi yang dapat digunakan untuk membantu industri automotif, automasi, robotik dan IoT  selain mendapat usaha sama penyelidik dari Korea, Jerman, Austria dan United Kingdom,” katanya.

Tambah beliau, UiTM turut giat menjalankan pelbagai penyelidikan lain ketika ini.

“Penyelidikan tersebut antaranya Kilang Digital dengan aplikasi Lean Augmented Reality, kereta solar, kereta sel bahan api hidrogen, kereta formula Persatuan Jurutera-jurutera Automatif (SAE), Teknologi Kimpalan Termaju, Pemodelan dan Simulasi untuk Teknologi Pembuatan dan Teknologi Cetakan Logam Tiga Dimensi.

“Selain itu, kita sedang membangunkan penyelidikan berkaitan pengangkutan dan prasarana, aeroangkasa, tenaga, minyak dan gas, pembuatan semula tanpa pembaziran bagi setiap industri dan organisasi,” katanya.

Ujar Mohd. Nazip, UiTM turut menyediakan geran penyelidikan pasca Covid-19 untuk penyelidikan berimpak tinggi terutama yang dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat susulan penularan virus terbabit.

“Geran yang disediakan melalui Dana Kecemerlangan Pendidikan dan Tabung Endowmen UiTM itu terkumpul menerusi sumbangan daripada alumni, kakitangan dan sektor korporat.

“Ini antara inisiatif di bawah Perancangan Strategik UiTM 2025 dalam merancakkan budaya penyelidikan translational yang dapat memberi manfaat kepada industri, masyarakat dan negara,” katanya.

 

Madani Sahari (kanan) mencuba penggunaan MOST- Plus sambil disaksikan oleh Dr. Mohd Nazip Suratman (tiga dari kiri) di Shah Alam, baru-baru ini. – Utusan/Syarafiq Abd. Samad

 

Peranti ditambah baik dengan aplikasi AI

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, pihaknya sedang menjalankan fasa penyelidikan untuk mempertingkatkan fungsi alat tersebut dengan menggunakan aplikasi teknologi kecergasan buatan (AI).

“Secara umumnya, kita hanya menjalankan pemeriksaan suhu badan bagi mengesan simptom pesakit Covid-19.

“Justeru, kami mahu menaik taraf alat tersebut untuk mengesan simptom-simptom utama yang lain seperti batuk, selesema dan sesak nafas.

“Ia akan dibangunkan bersama aplikasi telefon pintar dan laman sesawang dan dijangka siap dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurutnya, MOST-Plus turut akan dikomersialkan secara meluas kepada semua pemain industri di negara ini.

Justeru beliau berharap penggunaan alat tersebut dapat membantu menempuh norma baharu. seterusnya membolehkan penjanaan ekonomi berterusan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SMRI UiTM yang juga Ketua Unit Reka Cipta Mekanikal MOST-Plus, Dr. Noor Azlina Mohd. Salleh berkata, kerja-kerja penyelidikan tersebut mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

“Sepanjang tempoh itu, SMRI giat bekerjasama sepenuhnya dengan MARii untuk menyiapkan produk tersebut biar pun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami amat mengalukan semua pihak industri tempatan yang berminat untuk mendapatkan MOST-Plus kerana dianggap menepati piawaian ditetapkan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, inovasi itu berupaya meningkatkan kerja-kerja pemantauan yang lebih efektif terutama di kawasan sesak.

“Isyarat status kesihatan yang dijanakan oleh alat itu selepas suhu badan diambil melalui penggunaan konsep sistem visual dan lampu isyarat dapat membantu membendung penularan Covid-19.

“Mana-mana individu yang mencatatkan suhu tidak sihat iaitu melebihi 37.5 darjah Celsius dapat dihalang daripada memasuki sebarang premis sekali gus membantu mencegah penularan pandemik selain pematuhan terhadap SOP norma baru,” katanya.

Selain MOST-Plus, SMRI UiTM dan MARii akan membina sebuah pusat kecemerlangan di kampus induk bagi menghasilkan lebih banyak produk berteknologi tinggi seupama itu.

SMRI merupakan salah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM yang dilancarkan September tahun lalu.

Objektif penubuhan institut itu adalah bagi membantu industri, organisasi dan masyarakat dalam pemindahan teknologi dan pengetahuan menerusi penyelidikan, latihan bertaraf antarabangsa serta pembangunan modal insan dan perundingan.

Orang ramai atau industri tempatan yang berminat boleh melayari laman sesawang smri.uitm.edu.my untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut.

 

INFO MOST-Plus
» Semburan kaki pada masa yang sama.
» Lampu isyarat kesihatan akan berbunyi apabila berwarna merah bagi pemberi amaran kepada pihak pengurusan dan orang ramai bahawa individu itu dilarang memasuki premis.
» Lampu isyarat kesihatan alat ini mewakili fungsi berikut iaitu menerusi penggunaan warna-warna seperti kuning yang menandakan suhu sedang dibaca dan dianalisis, hijau menandakan suhu       di bawah 37.5 darjah dan sihat  serta  merah yang menandakan demam untuk suhu melebihi 37.5 darjah.
» Alat ini juga boleh disepadukan dengan pemantauan sistem kehadiran dan sistem sumber manusia sebarang industri atau organisasi
» Ringan, teguh dan mudah alih.
» Papan iklan disertakan untuk paparan SOP atau tujuan pengiklanan.
» Kotak pemegang pelitup muka dan pemanjang  pelitup muka juga boleh menjadi pilihan pembeli yang berminat.

 

 

 

 

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!