fbpx

Kampung Malaysia: Dari khemah ke rumah

SEBANYAK RM1.19 juta diperlukan dalam tempoh dua bulan bagi membina baki 80 rumah, masjid dan sekolah.

oleh RAZALI AWANG

Cerita pasangan tua dari kem pelarian di Sahil, utara Syria yang meluahkan isi hati betapa rindunya untuk membuka kunci dan membuka tombol pintu rumah benar-benar menyentuh hati.

Segala rutin yang satu ketika dulu dianggap sebagai nikmat mempunyai rumah, pintu masuk, tingkap, ruang tamu, dapur dan halaman kini tinggal kenangan.

Segala yang pernah dikecapi sebelum ini kekal sebagai ingatan dan kebanyakan mereka masih meletakkan harapan satu hari kelak akan dapat memiliki semula tempat berteduh yang dipanggil rumah.

Impian itu cuba dipenuhi Syria Care dengan membangunkan Projek Wakaf Perumahan Pelarian Syria, Kampung Malaysia di Al Bardaqli, Atma, yang dilancarkan 2 April lalu.

Pembinaan projek hasil sumbangan wakaf daripada pelbagai individu dan pihak adalah salah satu bentuk penyelesaian jangka panjang kepada mangsa konflik yang selama ini hidup dalam keadaan berasak-asak tanpa kemudahan asas dan melarat.

Menggunakan motto ‘dari khemah ke rumah’, orang ramai boleh menyumbang dengan membeli lot-lot wakaf pada harga minimum.

Bagi melengkapkan pembinaan sebuah rumah yang berukuran 506 kaki persegi ia memerlukan RM7,590.00.

          Siti Sakinah Meor Omar Baki

 

Menurut Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, tawaran bermula dari RM30 adalah bagi memberi peluang lebih ramai orang ramai mengambil bahagian tanpa merasa terbeban.

“Kita ingin menggalakkan orang ramai mengambil bahagian dengan wakaf. Ia adalah pelaburan akhirat. Ganjaran Allah amat besar kepada mereka yang membelanjakan rezeki pada jalan-Nya.” katanya.

Mengikut perancangan, 292 rumah beserta sebuah masjid, sekolah, pasaraya mini, klinik, pejabat pengurusan dan padang permainan juga akan didirikan bagi melengkapkan prasarana yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM3.1 juta.

Sebaik sahaja dilancarkan, kerja-kerja pembinaannya telah dilakukan secara berperingkat-peringkat dan kini telah memasuki fasa keempat.

Setakat ini lebih 210 unit rumah telah siap dan jika semuanya berjalan lancar, ia akan mula dihuni sebelum tiba musim sejuk.

“Sebab itu kami kini begitu berharap lot-lot wakaf yang berbaki akan dapat dipenuhi seberapa segera. Seboleh-bolehnya sebelum Oktober kerana ketika itu sudahpun hendak masuk musim sejuk di sana.

“Cuaca di kawasan berkenaan ekstrem. Kalau musim panas sampai melebihi 40 selsius dan ketika musim sejuk boleh jadi negatif,” jelasnya.

Sebarang kelewatan akan menyukarkan lagi keadaan yang sememangnya teruk kerana di kawasan yang sempit di utara Idlib pada ketika ini terdapat hampir 4 juta pelarian.

Tambahnya lagi, bagi tujuan berkenaan pihaknya memerlukan dana sebanyak RM1.19 juta untuk melengkapkan projek berkenaan.

“Bagi membina baki 80 rumah, ia memerlukan dana sebanyak RM607,200 manakala masjid RM63,784 dan sekolah pula RM203,434,” katanya.

Menurut Siti Sakinah, rumah berkenaan tidak akan diwakaf dalam bentuk persendirian kepada pelarian. Sebaliknya ia berupa penempatan sementara yang disediakan sebelum mereka mendapat rumah kekal.

Menyentuh mengenai risiko kemungkinan menjadi sasaran serangan tentera rejim Bashar al Assad dan sekutunya, dia berkata pemilihan tapak di Al Baradaqli dibuat berdasarkan kepada beberapa faktor dan paling penting keselamatan jangka panjang.

Ia dianggap kawasan selamat kerana berada dalam kawasan pemantauan tentera Turki dan jaraknya kira-kir tiga kilometer dari sempadan Syria-Turki.

GFX Projek

» 292 buah rumah
» Sekolah
» Sebuah masjid
» Pasar raya mini
» Klinik
» Pejabat pengurusan
» Padang permainan
» Kos keseluruhan sebanyak RM3.1 juta

 

Razali Awang ialah Penasihat Media Syria Care.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN