ORANG kurang upaya (OKU) sama ada pekerja atau pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) disifatkan bertuah.
Sebabnya, ada dua kenderaan OKU tersedia malah ada pemasangan serta latihan Mesin Pencetak Braille.
Semua itu adalah hasil keprihatinan institusi berkenaan. Ia berjaya direalisasi hasil sumbangan orang ramai dan institusi lain, menerusi Dana Wakaf Ilmu UPM.
Ada juga pembangunan aplikasi Buku Audio oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UPM. Menerusinya, para pelajar dan kakitangan berpeluang ‘menderma’ suara mereka bagi membantu golongan OKU penglihatan mengulangkaji nota menerusi suara pembacaan yang dirakamkan oleh rakan-rakan dalam aplikasi tersebut.
Ia dijayakan di bawah penyelarasan Zuhaimi Abdul Rahim dari WAZAN.
Sementara itu, sambutan Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU, UPM 2020 baru-baru ini menjadi kesinambungan bantuan kepada insan istimewa ini.
Melalui kempen itu, pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UPM akan meneliti semua aspek keperluan warga OKU melalui kursus serta bengkel dijalankan.
Sehingga Oktober 2020, terdapat 53 pelajar OKU dan lima staf OKU akademik dan bukan akademik di UPM. Mereka terdiri daripada tujuh kategori ketidakupayaan iaitu OKU penglihatan, pendengaran, fizikal, pertuturan, pembelajaran, mental dan pelbagai.
Sebagai usaha mendekati, pelbagai program turut dianjurkan termasuklah kursus bahasa isyarat, sesi ramah mesra dan dialog Khas Pelajar OKU bersama Timbalan Naib Canselor (HEPA), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu. Kempen berlangsung selama seminggu bermula 16 November lalu.
Program berkenaan diharap menjadi platform kepada pelajar dan staf mengetahui perkhidmatan disediakan institusi pendidikan itu untuk OKU.
Dasar Inklusif OKU UPM diwujudkan pada 8 September lalu. Ia ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullai.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Hari OKU Antarabangsa pada 3 Disember sejak tahun 1992 untuk sambutan setiap tahun.
Selaras dengan komitmen antarabangsa, Kerajaan Malaysia turut meraikan hari OKU setiap tahun sejak 1994.










