Panasonic lancar solusi kehidupan pintar bersepadu, sistem pengawasan AI

Panasonic lancar solusi kehidupan pintar bersepadu, sistem pengawasan AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANASONIC Malaysia secara rasmi mengumumkan pelancaran dua ekosistem penyelesaian utama generasi baharu untuk pasaran tempatan sebagai langkah strategik memacu transformasi digital negara.

Langkah ini memperlihatkan pengenalan Penyelesaian Kehidupan Pintar Panasonic S.iCITY dan Ekosistem Pengawasan Pintar AI Panasonic bagi memperkasakan komuniti yang lebih selamat, pintar dan lestari.

Dua penyelesaian baharu ini melangkaui penawaran berasaskan produk tradisional dengan menawarkan ekosistem saling berhubung sepenuhnya bagi mengintegrasikan teknologi gaya hidup dalam satu pengalaman lancar.

Inovasi berpandukan penyelesaian ini diperkenalkan bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap persekitaran yang lebih selamat, cekap tenaga serta saling berhubung untuk pasaran masa kini.

Pengarah Bersekutu Penyelesaian Sistem Panasonic Malaysia, Seelan Kandasamy berkata, pelancaran itu menandakan transformasi syarikat daripada penyedia perkakasan tradisional kepada rakan penyelesaian pintar yang menyeluruh.

“Kami bukan sekadar memperkenalkan produk, sebaliknya kami menawarkan ekosistem bersepadu yang meningkatkan cara kehidupan individu, bekerja, belajar, dan berinteraksi dalam persekitaran yang lebih selamat serta lestari.

“Melalui ekosistem Kehidupan Pintar dan Pengawasan AI ini, kami berhasrat untuk menyediakan penyelesaian yang berteraskan tiga paksi utama iaitu Keselamatan, Kemudahan, dan Keselesaan,” katanya semasa majlis pelancaran baru-baru ini.

Tambah beliau, fokus syarikat adalah mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemaju, pemilik perniagaan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, serta pengguna akhir menerusi kebolehpercayaan automasi pintar.

Panasonic S.iCITY

Teras utama kepada pelancaran ini ialah Penyelesaian Kehidupan Pintar Panasonic S.iCITY, sebuah ekosistem rumah pintar yang dibangunkan secara menyeluruh untuk menyokong pembangunan kediaman masa kini dan masa hadapan.

Dikuasakan oleh seni bina hibrid Zigbee 3.0 serta Wi-Fi, ekosistem Rumah Pintar ini membolehkan pengguna mengawal pelbagai peranti berhubung melalui satu aplikasi mudah alih yang mudah.

Sistem tersebut menawarkan keupayaan untuk menguruskan fungsi pencahayaan, langsir bermotor, penghawa dingin, peralatan elektrik, kunci pintar, serta sensor keselamatan gas dengan lebih responsif.

Panasonic memposisikan S.iCITY sebagai platform kehidupan pintar holistik yang direka untuk meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan penghuni, serta kelestarian jangka panjang untuk pemilik bangunan.

Platform ini menyokong pengurusan berpusat, automasi pintar, kawalan senario, akses pintar, pengurusan pelawat, pemantauan kebocoran gas, integrasi pembantu suara dan pemantauan tenaga masa hadapan.

Dengan pilihan senario automasi seperti “Good Night”, “Away Mode” dan “Movie Mode”, platform ini menawarkan kemudahan intuitif di samping membantu pengguna mengurangkan penggunaan tenaga.

Penyelesaian ini juga diintegrasikan dengan ekosistem Panasonic yang lebih luas, termasuk sistem penyaman udara jenis inverter yang berkecekapkan tenaga, peti sejuk, mesin basuh, serta peralatan rumah berhubung yang lain.

Ekosistem Pengawasan Pintar AI

Bagi aspek keselamatan, Ekosistem Pengawasan Pintar AI Panasonic yang baharu pula diperkenalkan sebagai sebuah penyelesaian keselamatan secara menyeluruh untuk infrastruktur moden serta keselamatan awam.

Ekosistem pengawasan ini terdiri daripada rangkaian kamera keselamatan terkini Panasonic Siri E, Siri V dan Siri P, yang direka untuk beroperasi dalam pelbagai persekitaran.

Bagi menyokong pengawasan berskala besar bertaraf perusahaan, rangkaian kamera ini turut disokong oleh Perakam Video Rangkaian (NVR) bertaraf perusahaan serta Sistem Pengurusan Video (VMS).

Dibina dengan analitik berasaskan AI, perlindungan keselamatan siber, keserasian seni bina terbuka, dan automasi pintar, sistem ini membolehkan organisasi beralih daripada pemantauan reaktif kepada operasi proaktif.

Antara keupayaan utama termasuk video analitik berpandukan AI, pengesanan pencerobohan dan perimeter pintar, teknologi pengecaman wajah, serta sistem Pengecaman Plat Kenderaan (ANPR).

Sistem pengawasan ini turut menyokong penyelesaian pengimejan terma, pengurusan insiden pintar, serta seni bina sistem keselamatan siber yang ketat bagi mengukuhkan ketahanan operasi organisasi.

Menyokong Agenda Kelestarian Negara

Pendekatan bersepadu syarikat yang menggabungkan automasi pintar dengan teknologi mesra alam ini turut menyokong pemaju dan organisasi yang berusaha mencapai pematuhan Bangunan Hijau dan ESG.

Siri penyelesaian pintar bersepadu yang dibina berpandukan kejuruteraan Jepun yang dipercayai ini kini boleh didapati melalui rangkaian pengedar sah Panasonic di seluruh negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN