TimeTec perkenal pembayaran tempat letak kereta secara QR

TimeTec perkenal pembayaran tempat letak kereta secara QR

Tempat letak kereta QR
KAEDAH pembayaran tempat letak kereta secara QR diperkenalkan TimeTec di 10 lokasi sekitar Lembah Klang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: TimeTec Parking memperkenal kaedah bayaran tempat letak kereta menggunakan kod QR menerusi sistem pembayaran ‘DuitNow QRPay’.

Pelaksanaan sistem berkenaan adalah menerusi kerjasama dengan sebuah institusi kewangan terkemuka serta pengendali rangkaian pembayaran nasional tempatan yang membolehkan pengguna menikmati kemudahan lain dalam pembayaran tanpa tunai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Teh Hon Seng dalam kenyataannya berkata, sistem tersebut menggunakan teknologi pengecaman nombor pendaftaran kenderaan bermula dari proses kemasukan sehingga keluar.

“Caj parkir akan dikira secara automatik dan kod QR DuitNow dinamik dipaparkan di lorong keluar untuk diimbas menggunakan mana-mana e-dompet atau aplikasi perbankan yang menyokong kaedah berkenaan, sebelum palang pagar dibuka.

“Pengenalan QRPay memberi lebih banyak pilihan pembayaran selain kad, malah berpotensi menjadi kaedah utama dalam industri parkir,” katanya.

Tambahnya, integrasi DuitNow QRPay bersama sistem eWallet Direct menetapkan penanda aras baharu dari segi kemudahan pengguna dan kecekapan operasi.

Sistem tersebut kini sudah diaktifkan di 10 lokasi parkir sekitar Lembah Klang, termasuk Zest Point, UTC Selangor dan Link2 Bukit Jalil, dengan sasaran diperluaskan kepada 100 lokasi menjelang suku pertama 2026, termasuk di Menara Merdeka 118. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN