MSM cadang harga gula dinaikkan RM3.85 - Utusan Malaysia

MSM cadang harga gula dinaikkan RM3.85

DUA pekerja memeriksa bungkusan gula di kilang MSM di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencadangkan supaya harga gula peket sekilogram dinaikkan kepada RM3.85, berbanding RM2.85 pada ketika ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM, Hasni Ahmad berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan kerana kos operasi telah meningkat ekoran pelbagai faktor global, malah pihaknya kini beroperasi dalam kerugian.

“Langkah ini perlu dibuat kerana kos pengeluaran sudah tidak boleh dikawal atas beberapa faktor, antaranya perang di Ukraine, perang di Timur Tengah dan kejatuhan nilai mata wang ringgit.

“Oleh itu, kita perlu jual pada harga yang bersesuaian dan kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak kerajaan berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena program lawatan media ke MSM Johor di Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Hasni turut memaklumkan rancangan syarikat tersebut untuk mengeksport gula ke Singapura tahun ini.

“Berkenaan eksport gula, pasaran serantau yang sedang kita berikan tumpuan adalah Singapura, kita jangka akan mula eksport sama ada suku pertama atau suku kedua tahun ini.

“Namun ingin ditegaskan, langkah mengeksport gula itu tidak akan menjejaskan bekalan gula dalam pasaran tempatan. Tidak perlu bimbang kerana eksport gula tidak beri impak kepada pasaran tempatan, jangan risau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan memberikan penekanan terhadap usaha keselamatan makanan, khususnya melibatkan produk gula kerana ia merupakan satu keperluan asas rakyat.

“Kita perlu mempunyai sumber gula mentah sendiri, antara cadangan termasuk mewujudkan ladang tebu sendiri. Ini penting kerana ketika ini negara seperti India dan Thailand sudah melarang eksport gula mentah dan bekalan kita terima dari Brazil.

“Apa akan berlaku sekiranya Brazil juga melarang eksport gula mentah. Jadi, perkara ini perlu diberikan perhatian untuk keselamatan makanan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya