TERDAPAT perubahan dalam pasaran global motosikal apabila penjualan motosikal genre ‘sport’ seolah-olah menurun dengan begitu drastik skali sejak akhir-akhir ini. Bagi pasaran Asia, permintaan terhadap motosikal-motosikal jenis skuter ternyata mendominasi penjualan. Dalam pada itu, terdapat kemunculan permintaan motosikal jenis dwiguna, atau pun jenis ‘adventure’ yang lasak ini.
Jika sebelum ini, jenama-jenama daripada negara matahari terbit lebih mendominasi motosikal dwiguna yang rata-rata mempunyai kapasiti enjin dari 500 sehingga ke 700cc. Sementara itu, jenama-jenama dari Eropah lebih menumpukan pada jentera dwiguna berkapasiti 900-1200cc.
Disebalik keadaan ini, kesemua jenama ini sedar akan keperluan untuk menakluki pasaran motosikal terbesar dunia, iaitu Asia Tenggara. Permintaan untuk motosikal yang boleh digunakan dalam apa jua bentuk permukaan jalan raya atau setidak-tidaknya motosikal jenis jalanan. Pasaran ini tidak memerlukan kapasiti enjin yang tinggi yang boleh menyebabkan harga jualan yang terlalu tinggi untuk dimilikki.
Kini, CFMOTO hadir untuk memenuhi permintaan tersebut dengan model 450MT. Saya berpeluang untuk menghadiri perlancaran dan tunggang uji berkumpulan bersama dengan media-media permotoran dunia di Filipina baru-baru ini. Ikuti hasil tunggang uji CFMOTO 450MT ini.
REKA BENTUK FIZIKAL
Dari pandangan pertama, sememangnya kita sudah boleh mengetahui ‘genre’ motosikal ini. Lasak, dwiguna dan juga jaminan keseronokan menunggang dalam apa jua jenis permukaan laluan atau jalan.
Dari segi fizikalnya, ia seolah-olah sama kategori (malah rupanya juga hampir sama!) dengan motosikal dwiguna Yamaha Tenere 700, Honda Transalp 750, Ducati Desert X atau KTM Adventure 390. Malah, saiz fizikalnya juga seperti sebuah motosikal berkapasiti tinggi jika diamati dari dekat.
Penggunaan roda hadapan bersaiz 21 inci dan roda belakang 18 inci, sama seperti motosikal-motosikal dwiguna yang mempunyai enjin berkapasiti tinggi tersebut. Malah, penggunaan jenis jejari ‘lidi’ dan bukannya ‘sport rims’, turut menyerlahkan imejnya yang bersungguh-sungguh untuk memenuhi citarasa peminat motosikal kategori ini.
Suspensi terbalik hadapan, jenis KYB, turut memberikan imej terkini. Lebih menakjubkan lagi, ianya boleh dilaras sepenuhnya dan bukan hanya sebagai hiasan. Walaupun begitu, suspensi tunggal belakangnya bukan jenis boleh laras, mungkin sebagai langkah untuk mengurangkan harga jualannya di pasaran nanti.
Tangki bahan apinya juga kelihatan besar dan apabila diselidiki spesifikasinya, ianya ternyata bersaiz demikian kerana mempunyai kapasiti 17.5 litar untuk petrol. Fakta ini ternyata membuat para pemiliknya seronok akan kebolehan motosikal boleh ditunggang dalam jarak yang lebih jauh.
Meter TFT, satu peralatan motosikal yang wajib ada pada model-model baharu kini, turut disertakan dan menjanjikan pengemudian yang lebih menarik dengan kebolehan melihat info-info motosikal yang sedang ditunggang.
PENUNGGANGAN
Saya berpeluang menunggangnya dalam kedua-dua jenis permukaan utama, iaitu atas jalan raya bertar (atau dalam kes di Filipina, jalan raya adalah jenis konkrit) dan laluan ‘off-road’ yang sudah tentunya berpasir, berbatu serta berbukit bukau.
Apabila anda mula memanjatnya untuk ditunggang, ia tidak langsung memberikan imej bahawa ia sebuah motosikal kecil, walau berkapasiti hanya 449.5cc. Ketinggian pelananya iatu 820mm menjanjikan bahawa ia bakal menyukarkan penunggang yang kurang daripada 5’5”, akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kepada peminat motosikal lasak atau dwi-guna.
Penunggangan atas jalan raya yang berliku-liku memberi informasi bahawa sistem suspensi depan dan belakangnya bertindak cemerlang dalam pengambilan selekoh-selekoh dalam kelajuan tinggi. Penggunaan tayar berjenama CST daripada China ini ternyata memberikan cengkaman yang agak baik ketika sesi tunggang uji atas jalanraya ini. Penggunaan roda hadapan bersaiz 21” ternyata memberikan kemudahan untuk pengemudian motosikal dalam selekoh-selekoh tajam jalanraya. Namun begitu, pada tunggangan atas laluan yang sedikit lurus dan dan kelajuan yang melebihi 100kmj, ternyata bar handelnya terasa sedikit terapung atau bergoyang.
Penunggangan atas laluan ‘off road’ pula, sudah pasti CFMOTO 450MT ini berada dalam elemennya. Kali ini, roda 21” tersebut memberikan kemudahan untuk mengemudi atas permukaan berpasir atau berbatu, yang sudah tentu agak longgar serta mudah tergelincir akibat daripada kekurangan cengkaman atas permukaan sebegini.
Berat kering motosikal ini, yang dikatakan agak ringan (175 kilogram), begitupun agak memerlukan tenaga yang banyak juga apabila cuba menegakkannya dalam keadaan tangki petrol dan minyak enjin yang penuh, sewaktu saya jatuh tergelincir dalam satu segmen berpasir yang dalam, ketika pendakian bukit.
Ketika merentas laluan desa dan sungai-sungai dalam sesi tunggangan lasak, saya dapat merasakan kekuatan motosikal ini terutama dari segi suspensinya dapat dioptimakan lagi sekiranya penggunaan penyerap hentakan tunggal belakang yang boleh laras.
KESIMPULAN
Saya dapat rasakan, CFMOTO 450MT ini bakal menjadi kegilaan ramai, terutama mereka yang meminati penunggangan lasak atau dwiguna. Faktor tarikan utamanya adalah saiz fizikalnya adalah hampir sama dengan model berkapasiti 700-900cc. Manakala, faktor tarikan keduanya adalah spesifikasi mekanikal dan elektroniknya iaitu seperti brek ABS dwi channel yang boleh dipadamkan dengan hanya satu butang atau suis, sistem cengkaman roda atau traction control, yang mana kedua-dua sistem ini disediakan oleh Bosch. Faktor tarikan ketiganya, saya yakin daripada kuasa kapasiti enjinnya yang lebih kecil itu dan menyebabkan harga jualannya bakal menjadi tarikan sebenar.
Skrin pelindung angin yang boleh dilaraskan, turut memberikan satu kelebihan serta meter TFT tersebut, akan menaikkan lagi keinginan anda untuk memilikkinya.
Apakah CFMOTO 450MT ini tiada langsung kelemahan? Agak sukar untuk saya mencarinya, tetapi sekiranya ianya satu kemestian yang perlu saya katakan di sini, faktor tarikan utamanya itu iaitu kapasiti enjin 450cc tersebut, yang menyebabkan harga jualannya bakal menjadi mampu milik, bagi saya, adalah sebagai salah satu kelemahannya.
Oleh kerana kapasitinya enjinnya yang rendah, kuasa penghantaran enjinnya, boleh dikatakan ditahap biasa sahaja. Anda harus pandai ‘bermain’ gear apabila melalui pelbagai bentuk permukaan. Menggunakan gear yang rendah untuk lebih berkuasa dan kekerapan keperluan menukar gear, walau tidak menyusahkan, memerlukan sedikit kebiasaan. Mungkin saya seringkali menunggang uji motosikal dwi guna yang berkapasati tinggi seperti 700cc – 1200cc sebelum ini, menyebabkan saya merasakan enjin 450MT ini kurang berkuasa.
Begitupun, ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Untuk berupaya memilikki motosikal berprestasi tinggi ini, ianya akan memerlukan sedikit kompromi iaitu dengan pengurangan kapasiti kuasa enjin.
Dijangkakan akan tiba ke perairan Malaysia beberapa bulan lagi dan harga jualannya dijangkakan dalam lingkungan RM30,000 seunit.-UTUSAN










