PETALING JAYA: Penurunan bilangan penganggur dan kadar pengangguran semasa pada 3.5 peratus menunjukkan ekonomi negara stabil dan berada pada landasan yang baik, walaupun ada tekanan ke atas perdagangan negara yang lebih perlahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kadar 3.5 peratus juga menghampiri kadar yang lebih rendah pada 2019 iaitu 3.26 peratus sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.
Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2019 berkembang sebanyak 4.4 peratus, dan ini jelas menunjukkan ekonomi negara sedang menghampiri momentum sebelum pandemik melanda.
Jelasnya, ia selari dengan jangkaan kerajaan bahawa KDNK Malaysia 2023 dijangka berkembang antara empat hingga lima peratus.
“Ekonomi domestik akan menjadi teraju perkembangangan KDNK negara pada 2023 dan ini akan disokong oleh dasar-dasar fiskal kerajaan ke arah yang sama,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, beliau berkata, sektor perkhidmatan dijangka akan menjadi pemacu utama, terutamanya sektor pelancongan termasuk penerbangan, perhotelan apabila lebih banyak kegiatan atau program pelancongan diadakan di seluruh negara.
“Kedatangan pelancong asing juga dijangka akan terus meningkat dalam suku ketiga dan keempat tahun ini, berikutan pelbagai promosi galakkan aktiviti pelancongan terus aktif di seluruh negara.
“Manakala industri pembuatan atau perkilangan dijangka tumbuh lebih sederhana dengan penurunan permintaan dari luar negara, berikutan banyak kilang di Malaysia berada dalam rantaian pembuatan global,” ujarnya.
Kelmarin, Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan bilangan penganggur terus menurun pada Mei 2023 kepada 584,600 orang dengan kadar pengangguran 3.5 peratus, berbanding 586,900 orang pada April.
Pada bulan sama, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif yang merangkumi 80.5 peratus daripada jumlah penganggur seramai 470,400 orang.
Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 60.9 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 6.7 peratus.
Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada 3.5 peratus bagi keseluruhan tahun ini berbanding 3.8 peratus tahun lalu.
Penganalisisnya, Suhaimi Ilias berkata, sejajar dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) 2023 yang lebih perlahan pada 4.5 peratus, unjuran kadar pengangguran tahunan firma tersebut membayangkan kadar pengangguran bulanan untuk sebahagian besarnya bergerak `mengiring’ sepanjang tahun ini.
Katanya, ia selepas aliran menurun daripada 4.2 peratus pada Januari 2022 kepada 3.6 peratus pada September 2022 hingga Januari 2023.
“Ini berlaku apabila kadar pengangguran kekal pada 3.5 peratus pada Februari hingga Mei 2023. Oleh itu, purata bagi lima bulan pertama adalah sebanyak 3.5 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.
Suhaimi berkata, kadar pengangguran belia menyederhana selama tujuh bulan berturut-turut kepada 11.0 peratus pada Mei 2023 (Apr 2023: 11.1 peratus) tetapi kekal di atas daripada paras rendah sebelum pandemik sebanyak 9.9 peratus pada Disember 2019.
Menurutnya, satu lagi aliran struktur ketara yang sebahagiannya menyumbang kepada penurunan pengangguran belia ialah peningkatan dalam pekerjaan atau pekerja tidak formal memandangkan peningkatan yang berterusan dalam ‘Pekerja Akaun Sendiri’ sejak Jan 2021 pada 2.4 juta.
Jelasnya, pekerjaan tersebut meliputi mereka yang berpendapatan harian dan bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan serta pekebun kecil dan pekerja ekonomi gig.
“Ia meningkat lagi kepada 2.935 juta pada Mei 2023 daripada 2.92 juta pada Apr 2023, menghampiri rekod tertinggi 2.945 juta pada Oktober 2018.
“Boleh ditekankan juga, pertumbuhan dalam pekerjaan tidak formal (lima bulan 2023: naik 7.7 peratus; 2022: naik 9.7 peratus) mengatasi jumlah pertumbuhan guna tenaga (lima bulan 2022: naik 2.7 peratus; 2022: naik 3.5 peratus),” ujarnya. – UTUSAN










