PETALING JAYA: MNRB Holdings Berhad (MNRB) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) tertinggi dalam sejarah sebanyak RM168.4 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir 30 Jun 2025, peningkatan 82.7 peratus daripada RM92.2 juta suku sama tahun sebelumnya.
Prestasi kukuh ini dipacu oleh pertumbuhan hasil insurans dan takaful yang memberangsangkan, serta pengalaman tuntutan yang positif, khususnya dalam segmen insurans semula dan retakaful.
Pada suku sama, hasil insurans dan takaful kumpulan meningkat 15.8 peratus kepada RM866.3 juta, berbanding RM748.4 juta pada suku pertama tahun sebelumnya, disokong oleh prestasi kukuh dalam perniagaan insurans semula dan takaful am.
Selain prestasi kukuh insurans semula dan takaful, hasil pelaburan turut menyumbang positif kepada pendapatan keseluruhan kumpulan.
Disokong oleh keuntungan nilai saksama yang lebih tinggi hasil daripada keadaan pasaran bon dan ekuiti yang menggalakkan, kumpulan merekodkan hasil pelaburan sebanyak RM165.0 juta pada suku tersebut, peningkatan 23.5 peratus daripada RM133.6 juta tempoh sama tahun lalu.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, permulaan tahun kewangan 2926 yang kukuh dipacu oleh kekuatan perniagaan insurans semula dan takaful syarikat.
Katanya, keputusan perkhidmatan insurans dan takaful kumpulan meningkat 223.5 peratus didorong oleh pertumbuhan kukuh hasil insurans dan takaful.
“Keputusan ini mengesahkan usaha transformasi kami dan fokus terhadap peningkatan nilai jangka panjang.
“Kami kekal komited untuk melaksanakan inisiatif utama bagi mengukuhkan dan mengembangkan kehadiran pasaran dan saluran pengedaran, meningkatkan kecekapan operasi dan memajukan pembangunan bakat,” katanya.
Mengulas prospek masa hadapan, Rudy Rodzila berkata, tumpuan akan diberikan kepada pengukuhan segmen perniagaan teras melalui kepelbagaian risiko yang dioptimumkan, kecekapan operasi, kerjasama strategik dan inovasi produk.
“Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam pengurusan aset yang berhemat dengan memberi tumpuan kepada pemeliharaan modal untuk mengharungi turun naik pasaran jangka pendek.
“Dengan asas yang kukuh dan model perniagaan yang berdaya tahan, MNRB berada pada kedudukan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri yang penuh cabaran ini,” ujarnya. – UTUSAN