Batik Air lancar semula laluan Colombo–Kuala Lumpur

Batik Air lancar semula laluan Colombo–Kuala Lumpur sempena TMM 2026

CHANDRAN Rama Muthy.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Batik Air melancarkan semula perkhidmatan laluan Colombo–Kuala Lumpur dengan ketibaan Penerbangan OD298 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1), sekali gus menghubungkan semula Malaysia dan Sri Lanka.

Laluan Colombo sebelum ini merupakan sebahagian daripada rangkaian antarabangsa syarikat penerbangan itu, namun digantung pada awal 2024 susulan pelarasan semula rangkaian secara menyeluruh. 

Pengoperasian semula laluan itu mencerminkan peningkatan kukuh trafik penumpang antara kedua-dua negara, selain menzahirkan komitmen berterusan Batik Air dalam memperkukuh hubungan serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pelancaran semula laluan itu juga mencerminkan strategi syarikat dalam memperkukuh kesalinghubungan serantau, selain menyokong aspirasi sektor pelancongan negara.

“Operasi semula laluan Colombo merupakan langkah penting dalam membina semula rangkaian kami seiring dengan pemulihan permintaan perjalanan. 

“Menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, laluan ini mengukuhkan peranan Kuala Lumpur sebagai hab strategik.

“Ia sekali gus membolehkan kami menarik lebih ramai pelancong dari Subbenua India serta pasaran utama Asia Utara termasuk China, Jepun dan Korea Selatan. 

“Batik Air kekal komited dalam menyediakan kesalinghubungan yang lancar serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan Malaysia,” katanya dalam kenyataan. 

Langkah itu hadir pada masa strategik menjelang TMM 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama kepada pelancong serantau. 

Laluan berkenaan dijangka merancakkan pergerakan pelancong antara Sri Lanka dan Malaysia, di samping menawarkan sambungan penerbangan yang lebih lancar ke rangkaian Batik Air di seluruh Asia Pasifik.

Sementara itu, ketibaan sulung penerbangan itu pada semalam turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung dan Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika), Nuwal Fadhilah Ku Azmi. 

Penumpang disambut mesra setibanya di KLIA Terminal 1 dengan pemberian cenderamata khas oleh Tourism Malaysia, di samping kehadiran maskot Wira dan Manja yang memeriahkan suasana.

Pengoperasian semula laluan Colombo–Kuala Lumpur itu turut mengukuhkan kedudukan Batik Air sebagai penghubung utama di rantau ini.

Ia selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perniagaan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara, di samping menawarkan kemudahan perjalanan yang lebih baik kepada penumpang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN