Malaysia perlu bersedia berdepan peningkatan kos bahan api

Malaysia perlu bersedia berdepan peningkatan kos bahan api

SITI Safinah Salleh menunjukkan laporan ketika membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026 di Putrajaya, semalam.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia perlu bersedia untuk berdepan kemungkinan peningkatan kos bahan api untuk penjanaan elektrik susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang masih berterusan ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Su­ruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, bagaimanapun, kesan terhadap peningkatan kos itu masih terkawal berikutan sebahagian besar bekalan gas asli adalah daripada sumber domestik.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus gas asli bagi penjanaan elektrik di negara ini merupakan daripada sumber domestik sekali gus mengurangkan pendedahan langsung terhadap turun naik harga global.

“Kita di Malaysia untuk penjanaan elektrik daripada segi penggunaan gas asli, majoriti adalah daripada sumber domestik. Oleh demikian, kenaikan itu tidak terlalu ketara.

“Namun ada juga kurang daripada 20 peratus yang masih lagi akan terdedah kepada risiko kenaikan kos kerana kita ada import gas asli tersebut dari negara lain, bukan dari Timur Tengah atau Asia Barat tetapi kebanyakannya dari Australia.

“Harga bahan api tersebut berkait juga dengan harga bahan api pasaran jadi apabila harga bahan api di pasaran seperti Brent meningkat, kita juga akan merasa kesan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Siti Safinah menjelaskan, kenaikan kos tenaga dipengaruhi tiga faktor utama iaitu harga bahan api di pasaran, kos penghantaran melalui perkapalan serta kos insurans.

Katanya, antara langkah yang boleh diambil untuk masyarakat lebih berjimat cermat adalah termasuk membeli barangan elektrik yang lebih cekap tenaga serta menilai semula penggunaan tenaga di rumah.

“Masyarakat perlu bersedia untuk kenaikan kos walaupun kenaikan kita mungkin tidak terlalu tinggi atau tidak terkesan berbanding dengan beberapa negara lain tetapi masih ada kenaikan kos,” ujarnya.

Sementara itu, Siti Safinah berkata, cuaca lebih panas yang melanda Malaysia ketika ini dijangka menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik terutamanya melibatkan kediaman.

Menurutnya, peningkatan penggunaan elektrik itu terutamanya kerana penyaman udara dan sistem penyejukan rumah yang dijangka digunakan dengan lebih kerap.

“Perkara lain yang menjadi perhatian kami dan ini juga melibatkan faktor luaran adalah kita akan memasuki musim yang lebih panas.

“Bagi Malaysia, ini bermakna permintaan elektrik dijangka mula meningkat. Kami menjangkakan perkara ini biasanya akan berlaku pada bulan Mei.

“Pada bulan Mei nanti, dise­babkan cuaca yang lebih panas, terutamanya di kediaman, penggunaan penyaman udara dan sistem penyejukan dijangka meningkat dengan lebih kerap.

“Keadaan ini sebenarnya akan menyebabkan tekanan ke atas sistem jika penggunaan meningkat dengan banyak dan ia perlu diketahui dan diberi perhatian oleh orang ramai.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN