KWSP catat pendapatan pelaburan RM38.92 bilion

KWSP catat pendapatan pelaburan RM38.92 bilion pada separuh pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM38.92 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, meningkat tiga peratus berbanding RM37.90 bilion dalam tempoh yang sama 2024. 

Jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti sebanyak RM0.44 bilion yang belum direalisasikan, terutamanya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing. 

Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.

Sementara itu, jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua 2025 adalah sebanyak RM20.61 bilion, meningkat 22 peratus berbanding RM16.91 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pendekatan pelaburan jangka panjang KWSP yang pelbagai terus menghasilkan prestasi berdaya tahan, dengan peningkatan pendapatan bagi separuh tahun pertama berikutan pemulihan pasaran yang stabil, prestasi domestik yang kukuh dan pengurusan portfolio yang berdisiplin. 

Katanya, peningkatan dalam caruman dan pendapatan ini menyumbang kepada kenaikan lima peratus bagi jumlah aset pelaburan. 

“Penekanan kami terhadap aset berkualiti tinggi, terutamanya dalam sektor domestik utama, pengagihan aset yang berdisiplin dan strategi penyepaduan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) membolehkan kami mengambil peluang, di samping mengurus risiko dalam persekitaran global yang tidak menentu.

“Walaupun prestasi suku kedua menunjukkan peningkatan, KWSP kekal peka terhadap risiko penurunan berikutan perdagangan global yang perlahan, dasar perdagangan yang tidak menentu, peningkatan tekanan inflasi dan perubahan geopolitik. 

“Strategi kami dilaksanakan melalui langkah proaktif yang berwaspada serta pengurusan berhemah, dengan memberi tumpuan kepada daya tahan jangka panjang bagi melindungi simpanan persaraan ahli daripada cabaran luaran ini,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN