SinggahKL perkenal senibina karya arkitek tempatan 

SinggahKL perkenal senibina karya arkitek tempatan 

ARKITEK tempatan bergambar selepas sidang media program SinggahKL 2024 anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) akan menganjurkan program SinggahKL 2024 pada 2 hingga 3 Mac ini, bagi mempromosikan senibina bangunan ikonik di Kuala Lumpur, hasil rekaan arkitek tempatan.

Program itu yang kali ketujuh dianjurkan, bertujuan memperkenal dan menampilkan kecemerlangan senibina bangunan di Kuala Lumpur secara eksklusif melalui penerokaan secara informatif di mana wakil firma pereka bentuk bangunan akan menjadi hos kepada pelawat.

Presiden PAM, Ar. Abu Zarim Abu Bakar  berkata, antara bangunan yang diketengahkan melalui program itu termasuk Urban Museum Kuala Lumpur (Ur Mu), Mitsui Shopping Park, Lalaport, AICB Building, Menara Hap Seng 3, W Hotel, Else Hotel, TNB Platinum, Star Residences, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Saloma Link , Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Arata Bukit Tunku dan International School of Kuala Lumpur.

Lokasi lain adalah Ceylonz Suites, Park Royal Hotel, Kapas Heights Condominium, Air Angin Metamorphosis in Architecture, Panggung Eksperimen Universiti Malaya, The Five Damansara dan PAM Centre.

“Peserta boleh memilih mana-mana bangunan untuk dilawati yang akan dipimpin oleh arkitek kami daripada PAM. Kebanyakan bangunan yang dilawati adalah bangunan yang meraih anugerah PAM,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Setakat ini, seramai 621 peserta telah bendaftar untuk menyertai program tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi SinggahKL peserta turut berpeluang melawat bangunan bukan awam yang biasanya tidak dibuka kepada lawatan orang ramai.

“Bangunan ikonik yang mempunyai senibina unik ini akan dibuka bagi memberi peluang kepada peserta melihat dan mempelajari secara terperinci senibina yang direka oleh arkitek tempatan,” katanya.

Jelas Abu Zarim, PAM bercadang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempromosikan program tersebut.

Di samping itu, PAM juga berhasrat mengembangkan program sama di negeri lain bagi memperkenalkan bangunan ikonik yang jarang dilawati pelancong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN