LANGKAWI: Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya, BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) akan membangunkan perumahan mampu milik di Pulau Langkawi dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM60.7 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, projek yang akan dikenali dengan nama Aman Nusa itu dibangunkan di atas tanah seluas 6.83 hektar tidak jauh dari pusat bandar Kuah.
“BDB telah memperuntukkan pembangunan 35 unit Rumah Kasih Rakyat, 12 unit Rumah Makmur Kedah dan sembilan unit Rumah Aman Kedah.
“Di samping itu, Aman Nusa turut merangkumi perancangan pembinaan 120 unit rumah teres satu tingkat dan 27 unit kedai pejabat dua tingkat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perumahan Mampu Milik Aman Nusa di Hotel Adya, Kuah, di sini.
Jelasnya, Rumah Kasih Rakyat merupakan rumah kos rendah dan Rumah Aman Kedah dan Rumah Makmur Kedah pula rumah kos sederhana rendah dan kos sederhana dengan harga antara RM45,000 hingga RM350,000.
Sementara itu, Pengerusi BDB, Sr. Che Had Dhali berkata, projek pembangunan Aman Nusa dijangka bermula pada hujung tahun ini dan bakal disiapkan pada 2025.
“BDB melihat terdapat peluang untuk kami sebagai anak syarikat kerajaan negeri terlibat dalam pembangunan sektor perumahan di Langkawi berdasarkan data kenaikan penduduk daripada Jabatan Perangkaan Negara yang melihat 95,000 penduduk pada 2010, 112,000 orang (2020) dan tahun ini mencecah 120,000 penduduk,” ujarnya.
Tambahnya, pembangunan Aman Nusa diharap menjadi pemangkin kepada sektor pembangunan hartanah di pulau pelancongan itu, sekaligus meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat. – UTUSAN










