YIK buka stesen minyak bantu jana pendapatan agensi pendidikan negeri - Utusan Malaysia

YIK buka stesen minyak bantu jana pendapatan agensi pendidikan negeri

MOHD. Amar Abdullah mengisi minyak kereta dinaikinya selepas merasmikan Stesen Minyak BHP Yayasan Islam Kelantan di Bandar Baru Tunjung, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pembukaan sebuah stesen minyak BHPetrol oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Bandar Baru Tunjung, di sini bakal menjana pendapatan sampingan kepada agensi pendidikan milik kerajaan negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pendapatan sampingan itu dilihat mampu mengurangkan bebanan kewangan kerajaan negeri dalam mengurus tadbir agensi-agensi di bawahnya.

Stesen minyak tersebut kata beliau, diuruskan sepenuhnya oleh anak syarikat YIK iaitu Akademi YIK Sdn. Bhd.

“Stesen minyak ini sebagai sebahagian usaha menjana pendapatan sampingan.. nak menampung keseluruhan operasi (kerajaan negeri), tidak mampu kerana keuntungan stesen minyak tidak besar.

“Perniagaan stesen minyak ini umpama kedai runcit, sekurang-kurangnya kita ada pendapatan sampingan. Sekiranya banyak lagi stesen minyak yang kita buka, lebih banyak pendapatan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Stesen Minyak BHPetrol Bandar Baru Tunjung di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Bousted Petroleum Marketing Sdn. Bhd., Leftenan Jeneral (B) Datuk Khairuddin Mat Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Pembukaan BHPetrol di Bandar Baru Tunjung di sini merupakan rangkaian stesen minyak itu yang ke-16 di Kelantan dengan kedudukan strategik di Lebuh Raya Pasir Mas-Salor.

Mengulas mengenai operasi YIK, menurut Mohd. Amar, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM9.5 juta untuk membayar 2,619 guru dan kakitangan sekolah menengah agama setiap bulan manakala peruntukan pembangunan pula sebanyak RM4 juta.

“YIK ada memberi tanah kepada kerajaan negeri untuk kita mengusahakan ladang, namun tidak mencapai hasil seperti dijangka ekoran beberapa isu teknikal.

“Jadi, kita buka stesen minyak ini sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya