LEBIHAN akaun semasa imbangan pembayaran Malaysia dijangka berjumlah RM41.3 bilion atau dua peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) pada 2026, disokong lebihan dalam akaun barangan dan perkhidmatan.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, pada separuh kedua 2026, lebihan akaun semasa dijangka berjumlah RM15.3 bilion atau 1.4 peratus daripada PNK.
“Lebihan itu disumbangkan aliran masuk bersih dalam akaun barangan dan defisit yang mengecil dalam akaun pendapatan primer, meskipun lebihan dalam akaun perkhidmatan mengecil dan defisit dalam akaun pendapatan sekunder lebih besar.
“Pada separuh pertama 2026, akaun semasa mencatat lebihan sebanyak RM25.9 bilion atau 2.6 peratus daripada PNK, didorong aliran masuk bersih yang lebih tinggi dalam akaun barangan serta pemulihan kepada lebihan dalam akaun perkhidmatan yang mengimbangi defisit lebih besar dalam akaun pendapatan,” katanya.
Lebihan dalam akaun barangan pula dijangka meningkat kepada RM135.9 bilion pada 2026, disokong peningkatan eksport barangan pembuatan dan perlombongan meskipun eksport barangan pertanian mencatat penurunan.
“Eksport produk elektrik dan elektronik (E&E), produk pembuatan lain serta barangan optik dan saintifik dijangka merekodkan peningkatan ketara selaras jualan semikonduktor global yang lebih kukuh, dipacu kitaran menaik teknologi dan permintaan rancak bagi kecerdasan buatan (AI).
“Di samping itu, Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada peningkatan eksport gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum.
“Bagaimanapun, import pada 2026 dijangka meningkat ketara susulan aktiviti pengembangan dan kepelbagaian perniagaan serta lonjakan pelaburan dalam sektor perkhidmatan, khususnya infrastruktur berkaitan AI,” katanya.
Sementara itu, akaun perkhidmatan dianggarkan mencatat aliran masuk bersih lebih besar sebanyak RM7.9 bilion, disokong peningkatan lebihan dalam akaun perjalanan yang mengimbangi defisit lebih besar dalam akaun pengangkutan dan akaun perkhidmatan lain.
“Akaun perjalanan diunjur mencatat lebihan RM54.9 bilion, didorong pelbagai inisiatif kerajaan untuk mempromosi dan memperkukuh aktiviti pelancongan.
“Inisiatif itu dijangka menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, menggalakkan tempoh penginapan lebih lama serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan hasil pelancongan dan menambah baik imbangan akaun perjalanan.
“Industri pengangkutan udara dijangka mendapat manfaat daripada limpahan industri pelancongan melalui peningkatan kekerapan penerbangan dan laluan terus baharu.
“Selain itu, syarikat pengangkutan domestik dijangka mencatat pendapatan lebih tinggi susulan tambang penerbangan dan caj pengangkutan yang kompetitif serta bayaran yang dijana daripada aktiviti lapangan terbang dan pelabuhan,” katanya,
Bagaimanapun, kebergantungan berterusan terhadap penyedia pengangkutan asing dijangka menyebabkan bayaran lebih tinggi bagi perkhidmatan pengangkutan, seterusnya mengakibatkan peningkatan aliran keluar bersih secara marginal kepada RM29.3 bilion dalam akaun pengangkutan pada 2026.
“Akaun perkhidmatan lain juga dianggarkan mencatat aliran keluar bersih lebih besar sebanyak RM17.7 bilion disebabkan peningkatan bayaran bagi perkhidmatan perniagaan lain serta perkhidmatan insurans dan pencen.
“Sementara itu, pendapatan lebih tinggi dijangka diperoleh daripada perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat; perkhidmatan pembuatan bagi input fizikal dimiliki pihak lain; serta perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan,” katanya.-UTUSAN











