Pelaburan RM218.5 bilion pacu sektor pembinaan

Pelaburan RM218.5 bilion pacu sektor pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan diluluskan bernilai RM218.5 bilion di Malaysia bagi separuh pertama 2026, termasuk peningkatan ketara dalam projek pusat data dan kecerdasan buatan (AI), dijangka terus membuka peluang besar kepada sektor pembinaan negara.

RHB Research berkata, perkembangan itu mengukuhkan pandangan positif terhadap sektor pembinaan Malaysia dengan mengekalkan saranan Overweight, meskipun industri berdepan cabaran peningkatan kos bahan binaan dan kekurangan tenaga kerja.

Firma penyelidikan itu turut menamakan Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Kerjaya Prospek Group Berhad sebagai pilihan utama dalam sektor berkenaan.

Menurut RHB Research, daripada 10 syarikat pembinaan di bawah liputannya yang melaporkan keputusan kewangan bagi suku terbaru, enam memenuhi jangkaan, tiga mengatasi unjuran manakala hanya satu gagal mencapai sasaran.

Prestasi itu menunjukkan sektor pembinaan secara keseluruhannya masih berada pada landasan positif, dengan kontraktor terus mempunyai ruang untuk mengembangkan buku pesanan masing-masing.

RHB Research berkata, perkembangan pesat industri pusat data menjadi antara pemacu utama permintaan kerja pembinaan di Malaysia ketika ini.

“Jumlah pelaburan diluluskan negara mencecah RM218.5 bilion pada separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan kira-kira 44 peratus daripadanya berkaitan projek pusat data dan AI.

“Johor khususnya mempunyai saluran pembangunan pusat data berkapasiti sehingga 2,486 megawatt (MW), yang berpotensi diterjemahkan kepada nilai kerja pembinaan sekitar RM49.7 bilion berdasarkan anggaran konservatif kos pembinaan RM20 juta bagi setiap MW.

“Peningkatan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan pengkomputeran awan turut dijangka memberi kesan limpahan kepada rantaian nilai semikonduktor, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap bangunan perindustrian,” katanya dalam nota penyelidikan.

Perkembangan itu turut disokong peningkatan aktiviti hartanah perindustrian, dengan nilai transaksi di Pulau Pinang dan Johor masing-masing melonjak 68 peratus dan 33 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026.

Bagi syarikat pembinaan utama, RHB Research berkata margin keuntungan bersih Sunway Construction dan Kerjaya Prospek kekal kukuh pada suku kedua 2026, antaranya disokong tempoh pelaksanaan projek pusat data yang lebih pantas.

Sebahagian kontrak pusat data juga menggunakan kaedah kos tambah keuntungan (cost-plus), berbanding kontrak harga pukal tetap, sekali gus memberikan fleksibiliti lebih tinggi kepada kontraktor dalam menguruskan peningkatan kos.

Bagaimanapun, tekanan kos masih memberi kesan kepada sesetengah pemain industri.

“Kontraktor kerja cerucuk, Econpile Holdings Berhad misalnya, menyaksikan margin bersihnya susut kepada 3.2 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 10.5 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya, susulan peningkatan kos diesel.

Dari segi harga bahan binaan pula, harga bar keluli turun 9.5 peratus tahun ke tahun pada Julai kepada kira-kira RM2,130 satu tan, iaitu paras terendah sejak Jun 2025,” katanya.

Sebaliknya, harga purata simen di Semenanjung Malaysia meningkat 8 peratus kepada RM25.27 bagi setiap beg seberat 50 kilogram.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×