Maybank perkenal Savings+, potensi pulangan sehingga 3.32 peratus - Utusan Malaysia

Maybank perkenal Savings+, potensi pulangan sehingga 3.32 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malayan Banking Bhd (Maybank) memperkenalkan Savings+, ciri pelaburan pasaran wang baharu dalam aplikasi MAE yang membolehkan pelanggan memanfaatkan lebihan tunai mereka tanpa perlu menggunakan platform atau aplikasi pelaburan berasingan.

Melalui Savings+, pelanggan boleh melabur dalam dana pasaran wang patuh Syariah yang diuruskan Maybank Asset Management Sdn. Bhd., dengan pelaburan berkenaan bertujuan mengekalkan kecairan melalui aset cair dan berjangka pendek.

Ciri itu menawarkan potensi pulangan sehingga 3.32 peratus setahun, dengan pelanggan boleh memulakan pelaburan serendah RM10.

Pulangan dikira setiap hari dan dikreditkan secara bulanan, manakala tiada tempoh penguncian dikenakan bagi pelaburan tersebut.

Maybank berkata, urus niaga pelaburan dan pengeluaran pula akan diproses dalam tempoh purata dua hari bekerja.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia Maybank, Mohd. Amri Mohd. Sofian berkata, Savings+ diperkenalkan bagi menjadikan pelaburan lebih mudah diakses dan sebahagian daripada urusan kewangan harian pelanggan.

“Di Maybank, kami yakin bahawa pelaburan seharusnya semudah urusan perbankan harian dan mudah diakses oleh semua.

“Melalui Savings+, pelanggan boleh memulakan pelaburan mereka serendah RM10 sambil menguruskan wang mereka menerusi aplikasi MAE yang sememangnya digunakan setiap hari,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan melalui penyelesaian pembinaan kekayaan yang mudah, mudah diakses dan relevan kepada rakyat Malaysia.

Savings+ direka sepenuhnya secara digital menerusi aplikasi MAE, membolehkan pelanggan mendaftar, membuat pelaburan, memantau prestasi serta menetapkan pelaburan automatik secara bulanan dalam satu platform.

Untuk memulakan pelaburan, pelanggan hanya perlu membuka aplikasi MAE, memilih ikon “Savings+” di bawah menu “View All”, melengkapkan proses pendaftaran termasuk Penilaian Kesesuaian dan membuat pelaburan permulaan serendah RM10.

Maybank berkata, Savings+ turut memperluaskan rangkaian penyelesaian pelaburan digital yang tersedia menerusi MAE, melengkapi pilihan sedia ada seperti Maybank Islamic Gold Account-i, Maybank Goal-Based Investment dan pelaburan ASNB.

Inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Maybank di bawah ROAR30 untuk menyediakan pengalaman kewangan yang lebih lancar dan berteraskan keperluan pelanggan menerusi pendigitalan serta inovasi.

Savings+ kini tersedia kepada semua pelanggan baharu dan sedia ada Maybank.

Bagaimanapun, Maybank menjelaskan potensi pulangan sehingga 3.32 peratus setahun itu adalah berdasarkan prestasi setakat 30 Jun 2026 dan tidak dijamin, selain boleh berubah mengikut keadaan pasaran serta prestasi dana.

Savings+ juga merupakan pelaburan dalam dana pasaran wang dan bukan akaun simpanan atau akaun deposit.

Pelanggan disarankan merujuk dokumen pendedahan produk bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk fi, risiko dan tempoh pemprosesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×