PETALING JAYA: Perluasan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) daripada 30 kepada 50 konstituen dijangka hanya memberi kesan terhad terhadap saham perbankan, dengan anggaran aliran keluar pasif bersih sekitar RM180 juta, menurut TA Securities Holdings Berhad.
Firma pembrokeran berkata, walaupun pengurangan wajaran sektor kewangan dalam FBM KLCI daripada 42.7 peratus kepada 36.6 peratus selepas pelaksanaan penuh berpotensi mencetuskan jualan pasif terhadap konstituen bank sedia ada, magnitud aliran tersebut tidak cukup besar untuk memberi tekanan material terhadap sektor.
Berdasarkan anggaran aset di bawah pengurusan (AUM) pasif yang menjejaki FBM KLCI sebanyak RM3 bilion, firma itu menganggarkan jualan pasif kasar sekitar RM202 juta terhadap enam konstituen bank sedia ada.
“Jumlah itu sebahagiannya diimbangi potensi aliran masuk sekitar RM22 juta kepada Alliance Bank sekiranya bank berkenaan dimasukkan sebagai konstituen baharu indeks yang diperluaskan.
“Ini menunjukkan pengurangan wajaran sektor kewangan tidak mungkin diterjemahkan kepada tekanan jualan material terhadap saham perbankan.
“Sebaliknya, penstrukturan semula itu lebih kepada potensi turun naik sementara pada saham tertentu serta penyusunan semula portfolio sekitar tarikh pelaksanaan,” katanya dalam nota penyelidikan.
TA Securities berkata, kesan aliran dana juga dijangka lebih terkawal kerana perubahan indeks akan dilaksanakan dalam dua fasa, masing-masing pada Disember 2026 dan Jun 2027.
Menurutnya, dengan andaian AUM pasif RM3 bilion dan wajaran indeks tidak berubah, kira-kira separuh daripada aliran dana yang dianggarkan akan berlaku pada fasa pertama, manakala pelarasan selebihnya berlaku apabila 20 konstituen baharu mencapai wajaran penuh pada Jun 2027.
“Sekiranya AUM pasif lebih tinggi pada RM5 bilion, anggaran aliran keluar bersih hanya sekitar RM300 juta, bersamaan kira-kira 0.1 peratus daripada gabungan permodalan pasaran bebas apungan bank yang terjejas.
“Peluasan indeks merupakan peristiwa aliran dana langsung yang agak sederhana kekal walaupun berdasarkan julat andaian AUM pasif yang munasabah,” ujarnya.
Dalam pada itu, firma berkata, Alliance Bank muncul sebagai antara saham yang berpotensi mendapat manfaat teknikal daripada perubahan indeks sekiranya dipilih sebagai salah satu daripada 20 konstituen baharu FBM KLCI.
TA Securities menganggarkan bank itu boleh menerima permintaan pasif tambahan sekitar RM21.8 juta, berdasarkan potensi peningkatan wajaran indeks sebanyak 0.73 peratus dan anggaran AUM pasif RM3 bilion.
Menurutnya, potensi kemasukan ke dalam indeks memberikan pemangkin teknikal tambahan kepada Alliance Bank yang turut disokong prestasi asas.
“Pinjaman kasar bank itu berkembang 9.5 peratus tahun ke tahun, jauh mengatasi pertumbuhan industri sekitar lima peratus, manakala kos kredit bersih susut kepada 0.3 mata asas daripada 14.4 mata asas setahun sebelumnya,” jelasnya.
TA Securities mengunjurkan pendapatan sektor perbankan berkembang 4.8 peratus pada 2026 dan 5.1 peratus pada 2027, manakala purata pulangan atas ekuiti (ROE) dijangka kekal sekitar 10.2 hingga 10.3 peratus. – UTUSAN










